Bismillah..
Cuba menulis sesantai
mungkin.
Kita Hari Ini
Sengaja membuka cerita ini
disebabkan situasi ini sering mengasak emosi saya selaku penuntut ilmu, sahabat,
anak, mahasiswa, aktivis dan lain-lain.
Pernah satu ketika saya terbaca
satu tulisan atau mungkin kenyataan (lupa di mana),, “Sampai bila gerakan
mahasiswa islam ingin terkehadapan jika setiap kali hadaf/target/VMO dibuat pada
satu sesi kepimpinan sebuah legasi, dan bilamana sampai pada sesi selepasnya ia
dibubar kembali. Kisah ini seterusnya berlaku pada generasi-generasi seterusnya.
Berulang dan terus berulang”. Mungkin berbeza matannya tapi maksudnya begitulah..
Saya akan cuba menjelaskan dan
memohon Allah jauhkan dari segala kekhilafan.
Contoh yang boleh saya berikan.
Pada zaman kepimpinan Amin, mereka bersepakat membawa agenda pemantapan
Nuqaba’. Tiba zaman Ali, Ali nekad membawa agenda pemantapan biah solehah.
Dalam masa yang sama agenda Abu masih terkapai-kapai. Tak sempat nak bina
tiang, baru je bina tapak, dah bina tapak lain. Terus terbengkalai dan tak
cukup masa kerana kebiasaanya setiap sesi hanya setahun. Seterusnya tiba pula
zaman Dolah, diubahnya pula agenda sebelumnya tanpa melihat kepada kelangsungan agenda-agenda sebelum ini.
Saya bukan menafikan bahawasanya
setiap matlamat digubal berdasarkan keadaan semasa. Saya cuma mengkritik
segelintir aktivis yang membina matlamat tanpa dikaji pembawakan sesi-sesi
sebelumnya. Tiada kaitan dengan anda? Tutup blog ini, teruskan kerja anda yang
masih banyak tergalas.
Merenung.
Saya terfikir, kenapa sebenarnya
hal ini terjadi.
Hari ini, gerakan islam mahasiswa
atau dengan nama formalnya Persatuan Mahasiswa Islam(PMI) setiap kampus seringkali
kehilangan tenaga-tenaga tua dalam menggerakkan agenda dakwah sesebuah
organisasi. Padahal bila diperhatikan secara tulus, wujud pelbagai potensi
dalam diri ahli kampus. Namun gagal dimanfaatkan sebaiknya. Adakah tenaga tua itu
disekat?.. atau ada kesilapan teknikal dalam menguruskan kedua-kedua golongan
mahasiswa ini? Golongan Tua dan Muda.
Siapa itu Golongan tua dan siapa
pula golongan muda?
Apa yang saya maksudkan dengan
golongan muda adalah mereka yang baru berkecimpung dalam aktiviti berpersatuan.
Individu yang Allah campakkan kesedaran DAKWAH dan ISLAH dalam jiwanya walhal mungkin
sahaja dahulu kala ketika zaman persekolahan dialah yang paling otai dan nakal,
pelajar pasif atau seumpamanya.
Dan golongan tua adalah golongan
yang sudah lama (yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah 3-5 tahun) bergiat dalam
dunia gerakan mahasiswa. Skop mahasiswa, bukannya umum. Mereka yang telah berkecimpung
dari alam persekolahan dan melanjutkan ke alam universiti samada peringkat
diploma, ijazah dan seterusnya. Saya lebih berminat untuk menjurus kepada
peringkat persekolahan , diploma dan ijazah kerana peringkat MA dan PHD
kebiasannya punya komitmen lain seperti berumah tangga dan seumpamanya. Dan saya
cuba jenamakan mereka dengan golongan TUA dalam gerakan dakwah kampus ini.
Kedua-dua kelompok ini punya
perbezaan yang ketara. Biasanya dalam berpandangan. Dan saya memerhatikan di
sinilah puncanya.
Bagi saya, di sinilah puncanya
yang menyebabkan gerakan dakwah secara berorganisasi dalam kelompok mahasiswa
terus lesu. Mungkin terdapat banyak faktor lain, namun faktor utama yang saya
ingin ketengahkan adalah gagalnya kita mengurus dan menyusun cara fikir mereka ke arah satu jalur/matlamat Ya, memang susah. Saya sendiri belum mempunyai
cara khusus.
Namun hari ini saya cuba untuk
menulis, membuka mata saya sendiri yang masih tertutup, atau mungkin juga satu
keluhan yang bersifat picisan. Masing-masing boleh berfikir dan satu sahaja
pesanan saya, jangan mudah membina persepsi kekal kerana di sanalah TEMBOK
BESAR terbina.
Kelompok Tua.
Saya agak tidak berpuas hati
dengan golongan ini. Satu soalan saya lontarkan, kenapa begitu sukar kalian
ingin bersama dengan gerak kerja organisasi/ persatuan?? Saya melihat kebanyakan
golongan ini lebih suka mengambil part/posisi dalam melontarkan idea semata.
Namun dalam menggerakkan idea agak sukar. Komitmen yang sememangnya
menghampakan. Masakan tidak, bila dilantik sebagai AJK program sekian-sekian,
kalian menolak dalam kelembutan. Walhal organisasi memerlukan tenaga-tenaga
lama di samping tenaga-tenaga baru yang biasanya mempunyai komitmen tinggi. Dan
disebabklan faktor inilah kalian semakin diketepikan dari jawatan-jawatan
penting sesebuah organisasi.
Lalu bila kelompok tua
berterusan dengan sifat sebegini, tidak peliklah mereka akan diketepikan dari
tenaga-tenaga penggerak program buat kesekian kalinya kerana komitmen yang
menghampakan. Bila diajak meeting, tak hadir. Bila dilantik Ajk, tolak. Kadang-kadang
sehingga menggagalkan perancangan sesebuah organisasi. Sehingga terpaksa
digubal kembali struktur jawatan sedia ada, ke hulu ke hilir mencari tenaga. Sehinggakan
picisan tenaga tua berbaki(yang masih punya komitmen tinggi) mula muak untuk
memberi peluang pada mereka.
Lalu tinggalah mereka bersama
dengan hal-hal mereka sendiri. Yang paling memedihkan bilamana keluar ura-ura
organisasi mengenepikan mereka dan seumpamanya. Kemudian terbinalah jurang
persepsi di antara kedua-dua pihak. Begitulah seterusnya dari tahun ke tahun.
Lemas dalam kabus yang dibina sendiri.
Namun, saya tidak menafikan
wujudnya sebab-sebab yang lain.
Kelompok Muda.
Tinggalah cebisan tenaga tua ini
bersama tenaga-tenaga baru yang ramai. Lalu dalam perjumpaan wujudlah
perbincangan yang biasa dibincang. Buat poster, edar. Buat iklan, siar. (Ini
tidak termasuk poster dan iklan yang tak berjalan). Daya dakwah yang digerakkan
tiada peningkatan, bergerak dalam kadar yang sama. Gerak kerja DAKWAH tidak
sepadu gerak kerja DAKYAH kaum kuffar dan sekufunya. Mungkin dengan istilah
lain, mengikut adat. Bila cuba membuat teknik brainstorm dalam meeting, 2/3
berdiam diri. Biasalah kerana masih baru dan cuba menyesuaikan diri. Bukan
hendak salahkan mereka kerana kelompok tua pun terbina dengan situasi sebegitu
juga pada mulanya.
Perhatikan, kelompok muda inilah
yang menjadi tulang belakang organisasi. Komitmennya ditagih organisasi dalam
menggerakkan program-program dakwah. Walaupun kadang-kadang bentuk programnya
mengikut adat, namun di sana banyak jasa-jasa yang mereka tabur demi
kesinambungan dakwah. Dakwah terus hidup. Kebajikan terus dijamin walaupun
wujud sedikit kelompangan.
Muhasabah Bersama.
Di sekeliling saya penuh dengan suara-suara/kritikan daripada teman-teman yang kadang-kadang sungguh membina untuk sesebuah organisasi. Tetapi saya kebuntuan jalan kerana kurang tenaga untuk menggerakkan idea-idea itu. Bila diajak bersama membawanya, kendur urat lehernya. Mujur ada tenaga-tenaga baru yang komitmennya tak mampu dihitung.
Kembalikanlah nafsu aktivismu
itu. Carilah titik persamaan. Bunuhlah perbezaan-perbezaan kecil yang melemahkan
gerak kerja dakwah kita. Bangunlah dari sofa empuk kita dan jenguklah ke luar
sana, dan tanyalah pada diri bagaimana kehidupan anak muda hari ini.
Sebenarnya kita saling
memerlukan. Kita sentiasa gagal mempertingkatkan momentum dakwah. Dakwah digerakkan
seperti biasa tapi masalah sosial terus merebak secara luar biasa. Letih untuk
memujuk orang lama, kerana pada mereka sudah ada kefahaman. Cuma terkadang
tersilap teknik dalam pengurusan sehingga melarikan diri dari berorganisasi.
Andai ingin membuat perubahan, sahutlah seruan ini, ayuhlah bersama-sama
menggerakkan organisasi utama di kampus masing-masing.
Dakwah itu tiada hak milik
mutlak.
Ia milik sesiapa sahaja yang
dirasakan layak.
Sebarkanlah ia ke seluruh pelusuk.
Tiada syarat tiada had.
Yang sebaiknya adalah katanya
diiring dengan jasad.
Dan,
Tarbiyah itu bekal pendakwah.
Sebagai Tajarud menempuh mehnah.