Saturday, April 27, 2013

Kaedah IQAB yang semakin dilupakan..


Bismillah..

IQAB(denda/hukuman) adalah satu kaedah Tarbiyah yang semakin dilupakan dalam kalangan penjunjung kalam Tuhan sehinggakan para abna’ul harakah zaman kini berada dalam keadaan selesa dan semakin menebal rasa kemanjaan dalam diri mereka. Mereka seolah-olah khusyuk berpencak dan mahu bebas dari aturan yang ditetapkan.

Harakah Islamiyah mempunyai pelbagai rencah yang akan mematangkan ahli-ahlinya dengan perjalanan panjang. Seringkali kita dengar tutur kata Tarbiyah itu mampu mendidik jiwa kita menjadi insan yang Rabbani. Namun kita tak sedar hati kita mudah ‘rosak’ bila diberi Tarbiyah. Mungkin kerana faktor yang merasakan ‘aku lebih arif darinya’, lebih mulia atau seumpama itu.

Kembali kepada perbincangan kita.. Iqab kebiasaanya berkait rapat dengan Ibtila’(ujian). Iqab selalunya dikenakan kerana ‘tersadung’nya seseorang dalam aturan yang ditetapkan. Iqab juga diberikan kerana kegagalan melepasi ibtila’ yang hadir ke atasnya. Lazimnya ibtila’ akan hadir sebelum Iqab dikenakan namun tetap wujud peristiwa-peristiwa yang ibtila’ hadir semasa atau selepas hukuman diberikan.

Saya akan cuba membawa pembaca merenung kisah-kisah silam yang mengamalkan amalan-amalan Iqab dalam pentadbirannya.

Cuba kita imbau kisah di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman. Wujudkah kaedah IQAB pada zaman itu?.. Ingatkah kita pada ratu Balqis?.. dan seekor burung yang diberi nama Hud-Hud??.. Nabi Sulaiman pernah mengugut akan menyembelih Hud-Hud sekiranya ia gagal tampil bersama dengan alasan yang kukuh. Boleh rujuk artikel khusus berkaitan kisah ini. Saya tak berniat nak menceritakan kembali kisah itu. Cuma di sini saya ingin tekankan akan nilai kaedah Iqab antara seorang pemimpin dengan kelompok pimpinannya yang semakin terabai dari pengamatan kita semua.

Saya cuba mengajak lagi sahabat-sahabat mengimbau kisah-kisah silam iaitu kisah Talut dan Jalut. Juga wujud Ibtila’ dan Iqab dalam kisah ini iaitu ketika mana tentera Talut diuji dengan sebuah sungai lalu ada di kalangan tenteranya yang ter’sadung’ dengan arahan sehingga dihukumkan dengan pengguguran dari peperangan menentang Jalut. 

“Bahawasanya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya maka ia bukanlah daripadaku, dan sesiapa yang tidak meminumnya sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan tangannya. (ayat 249)

Kisah ini  memaparkan proses yang bermula dengan Ibtila’ lalu disusuli dengan Iqab(dihalang dari meneruskan peperangan). Untuk penjelasan lanjut boleh rujuk Al-quran pada muka surat 40-41, akhir juzu’ 2, surah al-Baqarah, ayat 247-252.



Sekali lagi bukti yang saya ingin rakamkan di dalam tulisan ini adalah kisah sahabat yang Mulia, Kaab Bin Malik. Kisah ini saya pernah sembahkan dalam post sebelum ini untuk rujukan ringkas sahabat-sahabat sekalian. Kisah ini memaparkan berlakunya proses Ibtila’ pada diri Kaab bin Malik dan dilanjutkan dengan Iqab dari Rasulullah lalu disusuli dengan Ibtila’ buat yang kesekian kalinya. Contohnya seperti pelawaan Raja Ghassan kepada Kaab bin Malik dan pelanjutan hukuman dengan memisahkan isterinya.



DI sini saya ingin menekankan akan nilai sebuah hukuman dalam gerakan-gerakan Islam.. Sejak kebelakangan ini, saya melihat kebanyakan aktivis-aktivis dakwah dimanjakan sehingga bebas berbuat apa saja tanpa ada had-had yang ditetapkan. Jika ada had sekalipun, ianya sekadar hiasan dalam berorganisasi.

Iqab itu wujud dalam pelbagai kaedah. Antaranya iqab dari segi ibadah pengabdian contohnya zikir, solat sunat taubat dan sebagainya. Wujud juga iqab dari sudut amalan kebajikan, contohnya seperti bersihkan tempat-tempat yang kotor, infakkan harta dan seumpamanya.

Perlu diingat, Iqab itu janganlah membawa kepada keaiban si pesalah. Iqab dikenakan agar menjadi peringatan untuk si pesalah dan individu-individu yang berada dalam organisasi tersebut. Sememangnya kaedah ini melatih jiwa para pendukung organisasi tersebut agar berdisiplin dan membersihkan hati mereka agar mencapai Ikhlas dalam mendukung sesuatu perkara.

Di antara isu semasa yang jelas kita lihat pada hari ini adalah seperti pengguguran Dr Hasan Ali dalam dalam Gerakan PAS. Pengguguran Ustaz Nasaruddin dari ahli majlis syura dan sebagainya jika ada.

Sekadar inilah tulisan yang saya cuba lakarkan. Sekadar perkongsian dan peringatan bersama dalam membawa risalah-risalah Islam. Wallahualam..


No comments:

Post a Comment