Saturday, March 8, 2014

Bidang Bukan Asbab

Bismillahirrahmairrahim..

Kenapa sambung bidang Qiraat? Apa manfaatnya untuk kelangsungan Islam pada zaman sekarang? Masih relevankah ilmu ini untuk zaman sekarang? Begitulah antara soalan yang pernah diutarakan. Mungkin berbeza dari segi matan tetapi seerti dari segi maksud. Itu adalah terjahan soalan-soalan lama. Baru sekejap tadi, saya menerima inbox dari seorang junior menanyakan kepentingan Qiraat dalam agama dan terus merangsang semangat saya untuk menulis sedikit artikel walaupun soalan yang baru sekejap tadi tiada kaitan dengan lakaran ini.

Artikel saya kali ini bukan ingin mengetengahkan hujah bagi memberi jawapan akan kepentingan ilmu Qiraat. Cukuplah merujuk individu-individu mahupun mana-mana artikel-artikel lain bagi mencari kepentingan ilmu Qiraat dan kaitannya dalam Agama.

Asakan soalan itu kadang-kadang merimaskan jiwa. Membuatkan saya melihat suasana sekeliling. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya sahabat yang mempunyai pelbagai bidang kerana saya telah melalui dua madrasah yang berbeza sebelum tiba ke bumi Mesir ini. Madrasah Sains dan Madrasah Agama. Alhamdulillah.. walaupun saya tak sehebat mereka semua dalam pentas pengajian.




Bidang Bukan Asbab

Teman-teman yang dihormati. Bidang yang kita ambil bukanlah penentu untuk kita membantu Islam. Tetapi kesedaran yang terbina itulah adalah pemangkin kepada kekuatan tenaga membina Daulah. Cubalah lihat di sekeliling kita. Berapa ramai yang mengambil bidang-bidang agama seperti Syariah, Dakwah dan sebagainya namun hasil yang diaplikasikan agak menghampakan. Cuba jenguk kawan-kawan kita yang menjurus kepada bidang engineer, doktor atau seumpamanya. Kadang-kadang mereka lebih terkehadapan dalam membawa risalah Islam. Mereka lebih bersungguh-sungguh mendalami bidang agama berbanding individu yang telah menceburkan diri dalam bidang agama.

Saya pernah menziarahi rumah teman aliran sains yang mana paginya sebelum subuh diisi dengan menghafal hadis. Petangnya penuh dengan jadual talaqi bersama syeikh. Soalnya, apakah faktor sebenar yang mendorong kepada terbuminya Islam menyuburi alam? Adakah bidang yang mereka libatkan? Bidang pengajian sebenarnya adalah wasilah untuk melahirkan PAKAR-PAKAR bagi menjadi benteng agama dan kuncinya adalah KESEDARAN. Belajarlah ilmu apa sekalipun selagimana ia dinamakan sebagai Ilmu, ia tetap bermanfaat.  

                                              

Membentuk 'Program Windows'

Fikrah Islam. Itu adalah item sebenar yang perlu ada pada setiap jiwa pemuda. Ia ibarat ibu dalam akal seiras program (c) /intel inside di dalam komputer. Sekiranya bidang atau kerjayanya sebagai tukang cuci tandas sekalipun, ia tetap bermanfaat. “Sahaja aku cuci tandas ni kerana agama aku menekankan aspek kebersihan. Aku akan pastikan semua tandas yang aku ditugaskan bersih sebersih-bersihnya”. Cuba bayangkan? Andai dia belajar ilmu berkaitan dadah sekalipun, sekiranya dihubungkan kepada kesedaran bagi membantu Islam, ia adalah satu kebanggan. Contoh ini mungkin agak lucu tapi itulah hakikatnya apabila pembinaan kesedaran dan fikrah Islam dalam diri individu diterapkan. Maka, bidang bukanlah kayu ukur tapi ia adalah wasilah bagi melahirkan tenaga pakar.


الوعي قبل السعي

“Kesedaran perlu dititik beratkan sebelum bertindak”. Demikianlah lantunan dari bibir Syeikh Ali Jumaah yang sering kali disebut dalam ucapannya yang mana saya petik dari bicara Ust Nazrul (seorang pengisi yang tidak asing lagi di bumi Mesir ini).

Situasi muram melanda golongan mahasiswa apabila tenggelam dalam zon yang selesa/comfort zone walaupun ia selalu diulang-ulang oleh mana-mana pengisi ataupun penulis. Suasana ini perlu segera dicantas dan dibasmi. Cuba lihat dunia Malaysia kita. Malaysia menagih individu yang pakar dalam bidang ekonomi, politik dan pelbagai lagi satu hari kelak.  Kepakaran dalam bahasa Mat Salleh amat memaksa diri kita seharus mungkin menguasainya. Dalam masa yang sama mengukuhkan lagi bahasa arab yang sedia ada. Bagi saya, bahasa arab adalah menjadi bahasa input manakala bahasa melayu dan inggeris menjadi bahasa output dalam dunia dakwah. Antara Sumber dan Medan. Kita perlu sedar kita adalah Negara Majmu’. Bukan terhad kepada orang melayu atau islam sahaja. Jadi, usah membenci bahasa barat kerana ia juga adalah elemen penting. 

                                         

Apa Tugas Kita?

Setiap benda yang diatur pasti ada hikmahnya. Allah mencampakkan kita ke dalam bidang sedemikian mungkin kerana kita masih ada kelompangan terhadap ilmu-ilmu itu. Jika dicari hikmah, pasti banyak yang akan terserlah. Pasti.

Jadi, kemaskanlah bidang kita dan jenguklah sahabat-sahabat di sebelah kita ataupun di luar sana. Perhatikanlah sahabat kita di Jordan, Madinah, US, Malaysia dan Mesir itu sendiri. Bandingkanlah dengan kehidupan kita. Dengan itu, pasti kesedaran akan terbina lalu kita akan terbebas dari kepompong zon yang selesa.


Banyakkanlah membaca kerana ia akan membina akal kita. Di samping itu, rujukan kepada syeikh ataupun orang yang faqih amatlah penting dalam membina kefahaman.. Moga Allah kurniakan kita ilmu yang bermanfaat kepada diri, masyarakat dan Islam. Moga dijauhkan dari perpecahan..

No comments:

Post a Comment