Saturday, November 19, 2016

CATATAN SENJA SEORANG ANAK MUDA

Khusyuk aku mendengar kalam beliau. Beliau yang semakin dikenali atas catitan harian ringkasnya, 'Hari Ini Dalam Sejarah' sedang berkongsi pandangan dan pengalaman dalam merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Kota Bharu.

Terasa sahaja ingin ditaip satu persatu butiran itu untuk dikongsikan bersama teman-teman di media sosial. Namun kerana ucapannya terlalu lama (hampir sejam) dan tidak ingin artikel ini terlalu panjang, lalu coretan ini cuba memilih beberapa butiran penting saat ini untuk dikongsi bersama.

Beliau yang aku maksudkan adalah Al-Fadhil Dr Fadhli Ghani telah memulakan ucapan dengan cuba mengingatkan kembali teguran yang keluar daripada bicara Us Dr Riduan Nor ketika Usrah Gabungan Pemuda Kota Bharu beberapa hari lepas. Cuma dalam ucapan perasmiannya ini, beliau cuba mengulasnya dengan lebih dalam dengan menyarankan kepada pemuda PAS agar memperbaiki dan pertingkatkan beberapa perkara yang mungkin kita terlepas pandang di Kelantan.

a)      Pertama dari sudut TARBIYAH

PAS harus perkasakan kembali Tarbiyahnya.

Ketika PAS kalah pada tahun 1978, PAS diibaratkan seperti berada dalam satu kegelapan. Seolah tiada cahaya(harapan) untuk menang bagi hari-hari seterusnya kerana isu-isu yang sedang melanda PAS saat itu. Namun kegelapan itu bukanlah kelam yang selama-lamanya kerana  kemenangan berjaya dicapai kembali pada tahun 1990.

Sehinggalah hari ini Kelantan mengecapinya, HASIL KEKUATAN DALAMAN YANG DIBINA SELEPAS KEKALAHAN. Jasa-jasa orang dahulu begitu besar maknanya kepada kemenangan yang kita rasai hari ini di Kelantan. Bila dikaji, antara sebab kemenangan itu kembali datang dan Kelantan mampu dikekalkan adalah kerana PAS Kelantan mula mengatur rentak sebaik sahaja menimpa kekalahan. Pergerakan jamaah dan jati diri ahli mula diperkukuhkan bagi membentuk teras dalam Jamaah.

Tarbiyah kembali diperkasakan. Dewan Zulkifli telah menjadi saksi akan kewujudan kem-kem ini satu ketika dahulu. ATGNA mula merencanakan kuliah Dhuhanya dan setiap lapisan jentera penerangan parti dikerah untuk hadir. Kemudian wajib bagi mereka menyampaikan kembali butiran pengisian itu kepada orang lain sama seperti yang disampaikan oleh TGNA. Sehingga diceritakan, 'butiran pengisian yang sama' betul-betul sampai ke setiap lapisan masyarakat. Maknanya delivery maklumat Berjaya diselaraskan, sehingga segala benda yang dikehendaki oleh pimpinan/ATGNA disalurkan sebaiknya ke peringkat bawah. Kesatuan fikrah mula dibina secara berperingkat. Antara perkara yang ditekankan adalah pemahaman dalam berjemaah, bukannya sekadar memahami Islam secara umum.

b)      Kedua dari sudut PENGKADERAN

Dewasa ini bila kita berhadapan dengan isu-isu panas, antara yang banyak terkeliru adalah orang-orang muda. Terutamanya orang yang tidak melazimi aktiviti-aktiviti Tarbiyah Jemaah. Sebelum ini kita biarkan sahaja individu-individu yang condong kepada kita, dengan berteori sekurang-kurangnya mereka menyokong apa yang PAS perjuangkan. Bagi kita asal mereka mampu bertakbir dalam program kita, ia sudah memadai . Malangnya, bila ribut mula melanda PAS, ramai yang rapuh dan tumbang. Di sana, kita tersedar akan kesannya bila membiarkan orang muda kesampingkan proses pembinaan. Sedangkan proses pembinaan itu adalah penting bagi menjadikan mereka teras dalam Jemaah.

Al-Fadhil juga mengajak pemuda memerhatikan peluang pengkaderan di setiap peringkat cukup banyak. Jika di Kelantan kita mempunyai sekolah YIK, kita ada UBES. Di lain negeri pula kita ada madrasah-madrasah(contohnya Darul Quran Rusila, Darul Ulum dsb) yang berada direct di bawah jamaah. Kurangnya adalah kita tidak cuba memanfaatkan sebaiknya. Sehingga hari ini adik-adik remaja di sekolah YIK walaupun sudah 4 tahun bermukim di sana tapi masih terbiar tanpa usrah. Adik-adik remaja ini mungkin hebat dalam ilmu-ilmu teras, namun gagal memahami konsep berjemaah yang kita kehendaki. Lihatlah bagaimana hari ini ISMA, IKRAM dsb (IRC) begitu serius menekankan berkenaan perkaderan. Mereka sedar satu ketika dahulu mereka pernah terputus perkaderan dan sekarang, mereka mula membina kembali. Mereka juga sedar satu ketika mereka telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Dr Zul dan seangkatannya.

Sekiranya berterusan begini, kita akan kehilangan pelapis untuk memikul beban perjuangan ini. Maka sewajarnya kita pendukung PAS perlu memikirkan cara untuk pertingkatkan pengkaderan di peringkat masing-masing. Samada kembali membangunkan sekolah-sekolah jamaah yang hampir rebah sebelum ini atau seumpamanya. Dengan menekankan kembali aspek pengkaderan, kita mampu membina fikrah-fikrah berjemaah daripada kecil lagi. Jika diperhatikan hari ini adik-adik kita tidak mengenali PAS dengan sebaiknya. Hakikatnya mereka kenal Pas itu hanya pada jasad ATGNA tetapi gagal memahami apa yang sedang PAS perjuangkan. Usah bicara berkenaan PAS, keperluan berjemaah pun kabur dan kelam.

Seterusnya, Al-Fadhil US Dr Fadhli Ghani melanjutkan bicaranya dengan membawa kami merenung kembali hakikat pergolakan yang sedang berlaku. Sememangnya kita harus beriman, setiap orang daripada kita mesti akan diuji oleh Allah S.W.T dalam melalui jalan kehidupan ini. Ujian datang untuk melihat siapa yang benar-benar beriman atau tidak. Allah S.W.T bila ingin mendatangkan ujian kepada orang yang sedang berjuang untuk agamaNya, sudah pasti Allah akan datangkan ujian yang boleh menggugat perjuangan yang kita dukungi selama ini.

Sejarah telah menceritakan kepada kita ahli PAS pernah diuji dengan ISA, diuji dengan wang dan sebagainya. Lalu harus kita menyedari, bilamana Allah mahu menguji manusia, Dia akan mencari titik yang paling kita lemah. Titik inilah yang tidak sama antara kita sebagai manusia. Ada orang lemah dengan harta, ada orang lemah dengan wanita dan ada juga yang lemah dengan pangkat. Mungkin bagi segelintir orang tiada masalah untuk hadir ke setiap program Jemaah dan mampu melaziminya setiap masa. Namun mungkin di sana pula, Allah mengujinya sudut kewangan. Ini kerana titik kelemahan kita berbeza.

Saat ini di dalam PAS, antara titik lemah yang ketara pada kita adalah ujian sebuah KETAATAN, KESETIAAN dan KEPERCAYAAN. Setelah hampir 60 tahun PAS bergerak, masyarakat semakin ramai mendekati PAS dan kita melihat seolah kemenangan sedang menghampiri kita.

Namun tiba-tiba mula ada yang buat kepala, tak dengar kata dan rasa diri mereka sahaja yang betul. Maka saat itu kita diuji dengan sebuah KETAATAN. Bila kita berkawan(bertahalluf), ada dalam kalangan kita keliru nak ikut PAS atau DAP. Saat itu kita mula diuji dengan sebuah KESETIAAN. Bila kita tengok ramai pemimpin lain yang cerdik pandai, kita mula berfikir samada pemimpin kita yang cerdik atau pemimpin orag lain yang lebih cerdik. Kita mula mempercayai ayah orang lain daripada ayah sendiri. Maka ketika itu kita diuji dengan ujian KEPERCAYAAN.

Semua ujian ini iaitu ujian taat, wala’ dan sikoh sedang melanda kita. Padahal ketika kita kecil remaja dahulu kita sentiasa melazimi tajuk-tajuk ini dan kita mudah menghuraikannya dalam setiap usrah. Lidah kita mudah menuturkannya dan kadang-kadang ligat menasihati adik-adik dan mad’u kita akan perkara ini.

Demikianlah itu, kisah tentera Talut cukup menjadi pengajaran yang besar buat kita dalam erti sebuah ketaatan, kesetian dan kepercayaan kita kepada jemaah. Di saat jauhnya medan pertempuran dan keletihan melanda, mereka melalui sebatang sungai. Dalam suasana yang letih dan dahaga itu, muncul pula arahan agar tidak meminumnya. Saat itu betapa ramai yang mempersoalkan arahan tersebut kecuali mereka yang sedikit. Namun di sana Allah menegaskan betapa banyak kumpulan yang sedikit mampu mengalahkan kumpulan yang banyak sebagai motivasi buat tentera Talut.

Moga setiap catitan ini bermanfaat untuk insan-insan yang sedang mendukung PAS. Kita sebagai murabituun, pendidik atau juru dakwah harus bermuhasabah kerana kita sekadar berpuas hati mendidik masyarakat secara separa sahaja. Asas dan pendidikan keperluan berjemaah kita abaikan sehingga ramai yang mula mengabaikan tanggungjawab dakwah dan berjemaah. Seterusnya menatijahkan masyarakat yang selesa hidup bersendirian atau sekadar menjaga perihal keluarga sendiri. Barangkali mereka berfikir, asalkan kami sekeluarga hidup dengan cara Islam itupun sudah mencukupi. Malangnya, mereka sebenar tercicir akan tanggungjawab bermasyarakat.



 
Sampai hari ini aku bersyukur kerana masih dikejapkan hati untuk bersama jemaah ini. Walaupun ada yang berhujah PAS ini bukannya sebuah agama dan hanyalah wasilah, tidak wajib untuk diikuti. Namun, aku menyedari wasilah inilah yang paling layak untuk aku serahkan segala apa yang ada bagi meletakkan Islam pada tempatnya untuk melunaskan beberapa tuntutan ayat Allah yang kita pelajari. Secara akhirnya pesanku, janganlah kita MENGHIDUPKAN MANA-MANA WADAH yang boleh MERENCATKAN WASILAH INI untuk terus menapak ke hadapan.

Syafiq Sarifuddin

Tuesday, October 4, 2016

Nilai Sebuah Kritikan

Kepada yg gemar mengambil posisi mengkritik dan juga yg dikritik, ini ada sedikit nasihat drpd Abu A'la al-Maududi dalam karangannya Tadzkiratud Duat pada bahagian yg membicarakan tentang kritikan :

Kritik itu BISANYA sangat BERBAHAYA jika tidak memerhati aturan²  ini :

1) Kritik tidak boleh disampaikan di setiap waktu dan forum, melainkan tempat² khusus dan atas izin, bahkan atas permintaan ketua jamaah setempat(cawangan).

2) Sebelum bangun memberi kritik, dia perlulah merenung diri dan meyakini bahawa Allah sedang melihatnya samada dia ikhlas menegur atau hanya terdorong kerana dasar emosi dan hawa nafsu.

3) Kritik tidak boleh disampaikan kecuali dengan bahasa mengesankan setiap pendengarnya bahawa kamu benar² inginkan islah, bukan membongkar aib dan mempermalukan.

4) Kamu harus meyakini dirimu sebelum menyampaikan kritikan bahawa sanggahanmu memiliki dasar kebenaran. Jika kamu menyampaikan kritikan tanpa renungkan terlebih dahulu, maka kamu bisa melakukan dosa yg menimbulkan kerosakan di muka bumi.

5) Bagi orang yg dikritik pula, harus mendengar kritik dengan sabar dan merenungkannya dengan adil dan objektif. Kemudian mengakui kebenaran yg ada dan menolak dengan bukti atas apa yg tidak benar. Sikap cemuhan terhadap kritikan hanyalah menjadi bukti kesombongan diri.

6) Tidak boleh terlalu panjang mata rantai kritik(pihak yg mengkritik) dan jawapannya(pihak yg dikritik). Juga jawapan atas jawapan agar tidak menimbulkan kebencian dan kedengkian yg berpanjangan antara satu sama lain. Jika bicara sudah jelas maka harus dihentikan.

Di dalam jemaah kalian, tiada seorang pun yang dikecualikan daripada kritikan. Saya yakin kritikan dengan cara seperti ini penting bagi kelangsungan sebuah jemaah. Kecuaian dalam saluran dan teknikal kritikan itu kebanyakannya memberi kecemasan ukhuwah sesama anggota jemaah.

-Petikan daripada Kitab Tazkiratud Duat, karangan Abu A'la al-Maududi-

~Kritik itu bisanya sangat berbahaya seandai salah bicara dan teknikalnya~

-PenaSiPenuntut-

Wednesday, August 17, 2016

Majlis Konvokesyen Graduan Al-Azhar

26 Oktober 2015

Alhamdulillah, Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar semalam berjalan lancar. Sedia maklum, majlis sekadar meraikan mereka² yg berjaya.

Gembira. Segan pun ada dengan tema pemakaian sebegitu.

Hari ini aku ingin sahabat² di luar melihat dua wajah insan yang cukup memberi makna dalam kehidupanku sehinggalah ke saat ini. Sejak drpd dahulu aku sentiasa menjadikan kalam ini sebagai azimat hidup,

"DOA IBU DAN AYAH BUKANLAH DOA SEBARANGAN"

Alhamdulillah ya Allah kerana masih kurniakan mereka mendamping hidupku sehingga saat ini.
Masih kemas tersisip dalam kotak ingatan ketika berada di fatrah peperiksaan yang lalu. Di saat aku belum membuat persiapan yang sebaiknya, mampu belum menguasai sebaiknya perbahasan² ilmu yang ada, umi dan abah di sana tak putus berdoa. Memberi motivasi yang mungkin tidak sepakar motivater² yg ada, namun amat memberi makna buat anakmu ini. 

Ya, cukup sekadar suara serak halus yang kadangnya diselangi batuk² dek keuzuran, menuturkan bait sayang dan penuh harapan pada si anak.

Aku yakin, genggaman segulung ijazah semalam bukanlah di atas kudratku sepenuhnya kerana diri ini lebih mengenali kemampuan diri sendiri. Banyak lagi ilmu² yg perlu diselongkar dan ditelaah.

Dan aku percaya, aku di sini hari ini kerana BERKAT DOA MEREKA SEBAGAI INSAN YANG MELAHIRKANKU. Diri ini bukanlah yang terbaik untuk memegang segulung ijazah Quran & Qiraat di bawah pengajian Qiraat Al-Azhar Shoubra. Hafazan yang ada pun masih caca merba banyak kekurangan, selok belok perbahasan Qiraat dsb. IAllah akan diusahakan sebelum kakiku menjejak bumi Malaysia. Doakan.

Namun, aku tetap bersyukur kerana banyak perkara yang dipermudahkan untuk aku lalui lorong2 pengajian ijazah ini, terutamanya ketika berada di fatrah akhir peperiksaan, berkat daripada doa mereka. Masih lagi terngiang bagaimana dipermudahkan soalan² ketika Exam Syafawi & bertulis beberapa bulan yg lalu. 

Di saat ramai teman² seperjuangan tidak diizinkan untuk mengakhiri lorong ini, aku dipilih. Moga tidak tergolong dalam golongan istidraj. Nauzubillah.

Sesuatu yg paling ditakuti, semangat belajar itu luntur dek umur yg semakin menginjak naik.

Moga sijil ini tidak menjadi fitnah buat diri yg kerdil. Yang pasti, sijil hanya simbolik kepada tamatnya satu² fasa pengajian. Tidak bermakna ilmu dan tempoh pengajian sudah genap dan matang.

Mohon doa daripada semua teman², doakan diri ini terus dikurniakan semangat bagi meneruskan kembara ilmu ke peringkat2 yg seterusnya. Terima kasih juga kepada teman² yg mendoakan diri ini sepanjang perkenalan. Jazakallahu Khairan Jaza'.

AKU HADIAHKAN SEGULUNG IJAZAH INI KEPADA UMI DAN ABAH YANG TERCINTA.

Syafiq Sarifuddin.



Friday, July 15, 2016

Solidariti Untuk Rohingya

Hari ini berkesempatan turun ke solidariti untuk Rohingya bersama² sahabat pengajian.

Bersama kami juga, rakyat² rohingya yg sedang menetap di Malaysia.. wajah dan suara mereka luahkan td cukup untuk menggambarkan perasaan² mereka.

Di bawah ini ada tulisan lama yg saya tulis berkenaan konflik di Rohingya. Tulisan ini ditulis khusus untuk sahabat pengajian di Shoubra satu ketika dahulu. Moga bermanfaat.

#########################

[Di Mana Rohingya Di Hati Mahasiswa Shoubra?]

Bismillahirrahmanirrahim..

ROHINGYA.

Burma secara rasminya meletakkan Budha sebagai agama rasmi di sana pada tahun 1961M. Pada 1982M, Burma diubah nama kepada Myanmar. Myanmar mempunyai 134 etnik dan salah satu daripadanya adalah etnik Rohingya yang kebanyakannya terdiri daripada orang islam. Kewujudan mereka sebagai etnik Rohingya dikatakan wujud pada tahun 1430M lagi di bawah kerajaan Arakan (Muslim Arakan) sebelum berlakunya kisah penggabungan kawasan bersama Burma daripada siri penjajahan dan kemerdekaan. Namun hari ini, mereka telah dinafikan hak penduduk dalam Akta Kerakyatan 1982M atas beberapa hujah seakan memutar belit sejarah.

Ini kerana ada tuduhan mengatakan mereka ini bukan berasal daripada Burma tetapi berasal daripada Benggali dan Chittagong. Ini adalah satu kekeliruan kerana di sana ada berlaku penghijrahan beramai-ramai ke Chittagong (sempadan Bangladesh-Burma) pada 1948M hasil sentimen nasionalis ultra Burma semasa penjajahan Jepun. Apabila Jepun diusir, mereka kembali ke tanah Arakan tersebut. Melalui pembacaan dan pemerhatian saya terhadap beberapa temuramah bersama pelarian Rohingya, tuduhan di atas ini seolah sekadar dicipta kerana ingin menjadikan alasan bagi menghapuskan etnik tersebut.

Isu Rohingya ini kembali naik ketika pertengahan Jun 2012, perkampungan Rohingya dibakar dan masjid turut dimusnahkan. Api kebencian kepada etnik ini terus dibina antaranya melemparkan tuduhan kepada beberapa lelaki Rohingya bahawa mereka telah merogol seorang perempuan beragama Budha. Seolah-olah api yang disimbah minyak, kebencian yang sudah tertanam makin marak menyala. Hal ini telah menyebabkan berlaku serangan lanjutan bagi menghapuskan populasi dan generasi Rohingya.

Disebabkan kronologi di atas inilah penduduk Rohingya melarikan diri secara beramai-ramai ke negara-negara sekitar bagi menyelamatkan diri. Seperti yang kita sedia maklum beberapa minggu lepas, rakyat kita sekali lagi dihebohkan dengan kedatangan mereka ke negara kita dan negara jiran. Apa yang menyedihkan, ada dalam kalangan rakyat kita seakan tidak mampu menerima mereka dengan kecaman meramaikan pendatang asing/PATI, penjenayah dan sebagainya.

PERLU SENSITIF TERHADAP KEZALIMAN

Saya berpendirian, biarlah kita disajikan dengan pelbagai sumber sejarah Muslim Rohingya itu samada mereka sebenarnya sudah lama bertapak di Arakan sejak abad 7 Masihi lagi atau mereka asalnya bukan daripada Burma asli ataupun pelbagai lagi fakta sejarah yang berbelit-belit. Apapun, yang menjadi keutamaan bagi kita adalah bersolidariti atas dasar kemanusian supaya etnik Rohingya ini tidak diperlakukan sedemikian rupa oleh sekumpulan masyarakat Myanmar yang menjadikan mereka seperti haiwan. Apatah lagi mereka itu umat Islam yang seharusnya kita cakna dan diberi pertolongan.

Ayuhlah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan bagi saudara kita di sana. Amatlah jelek jika kita memejamkan mata memekakkan telinga daripada isu luar dek kerana keamanan yang sudah kita kecap dalam hidup kita hari ini. Sedangkan umat Islam di luar sana diancam, ada yang hilang tempat tinggal, nyawa mereka dijadikan bahan latihan askar, tangisan derita anak kecil yang kematian ibubapa dan sebagainya.

SERUAN CAKNA UMMAH

Baru-baru ini kita berjaya menganjurkan satu program Bazaria yang bertemakan ‘Ummah Care’. Di sana ada diselitkan beberapa bentuk pengisian yang bersifat daurah kitab, penerangan visual, dan artikel bagi membangkitkan kecaknaan ahli kepada isu-isu seputar umat Islam. Antara penekanan isu yang dibuat pada program tersebut adalah berkaitan umat Islam Rohingya.

Kita DPM (MAQAZ) Shoubra menyedari kita hari ini masih belum mempunyai kecaknaan yang tinggi berkaitan isu-isu kemanusian khususnya berkaitan islam itu sendiri. Maka, saya menyeru agar kita semua dapat memberi penekanan secara berkala di peringkat individu atau gerakan dakwah mahasiswa bagi membangkitkan rasa cakna kita golongan mahasiswa kepada isu seputar umat Islam.

Tidak dilupakan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli yang setia mendokong agenda DPM secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberi khidmat sebagai ajk pelaksana program atau menjayakan program melalui penglibatan dan seumpamanya. Moga segala amal itu menjadi amal soleh yang diterima oleh Allah S.W.T.

-Isu Ummah Isu Bersama-

"Belajar Dan Berbakti"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Muhammad Syafiq Bin Mohd Sarifuddin
DPM (MAQAZ) Shoubra Sesi 2014/2015.

Tuesday, June 28, 2016

... Sambungan Post Pertama

Bismillahirrahmanirrahim..

Ahh.. jahilnya diriku. Keluhan dari dasar hati keluar tatkala usai satu kelas pengajian dengan seorang insan yang Allah anugerahkan kepadaku.

Saat ini aku sudah kembali ke Malaysia, setelah mana 3 tahun lebih berada di Mesir dengan pelbagai cerita yang membentuk aku hari ini.

Alhamdulillah, aku masih diizinkan Allah untuk berada dalam dunia penuntut ilmu. Misiku kali ini, bekerja sambil belajar.

Alahai diri.. hanya aku yang mengetahui akan kejahilan diri aku. Bila ada orang yg bertanya, sedang buat apa sekarang? Acuh tak acuh aku jawab sedang sambung belajar. Walaupun aku belum yakin dan pasti, berapa tahun akan kuhabiskan untuk berasa dalam level Sarjana ini.

Hari ke hari yang aku lalui, memberi gambaran kepada aku ia bukan satu benda yang mudah. Entahlah, aku berserah sahaja. Usaha masih tak seberapa pada pengajian sarjanaku ini.
Ibuku seringkali berleter, abahku sering bertanya.. bila proposal master akan siap? dah banyak bulan sudah berlalu..

Aku diamkan sahaja pada ibu, aku jawab pada ayah..

"Abah, ore(orang: bahasa diri) pernah bgtahu kepada abah dahulu, ore masih mahu berada dalam dunia seorang pelajar. Pernah ore minta untuk tetap di Mesir tp akhirnya pulang juga ore ke Malaysia kerana pinta ummi di corong telefon. Ore harap abah faham, Master ini hanya sekadar tempat ore duduk dan mendapatkan sijilnya, sementara diri cuba mencari ilmu di ceruk² guru yang ada."

Sekadarnya responku. Abah senyap, lalu diteruskan dengan nasihat² seorang bapa kepada seorang anak.

Entahlah, betapa girangnya hati aku bila ditemukan dengan seorang alim. Gelarannya Baba Mashadi Masyuti. Susur jalur pengajiannya selama 7 tahun di pondok pasir tumboh, kemudian 8 tahun di Makkah. Allah, aku benar² bersyukur masih ada tempat di sekitarku, insan yang mampu mengajar ilmu daripada kulit ke kulit.

Pengajian banyak berlangsung di malam hari, jadualnya sentiasa penuh.. celiknya IT si baba, setiap waktu ilmunya diupdate di dunia maya fb beliau. Hari² yg berlalu antara aku dan dia membuatkan aku malu pada diri. Ibarat tunggul kayu yang tidak punya apa-apa..

bersambung...