Saturday, April 27, 2013

Kaab bin Malik : Tarbiyah Rasulullah Melalui Kaedah Pemulauan


Bismillah..

Hari ini saya ingin mengajak sahabat sekalian merenung satu kisah popular terutamanya bagi insan yang bergelar abna’ul harakah.. saya yakin kisah ini pernah hinggap di telinga sahabat-sahabat samada ketika perbincangan usrah di bawah tajuk sirah nubuwwah ataupun mungkin pesanan khusus dari murabbi masing-masing. Kisah yang berkisar berkaitan satu kaedah TARBIYAH lembaran sirah silam yang diwasilahkan kepada sahabat baginda yang mulia, Kaab bin Malik.

Saya termanggu seketika bila mengimbas mengenai sirah Kaab bin Malik. Satu penceritaan menarik yang terlukis kepada sahabat Nabi bagi pengajaran kepada sekalian manusia di muka bumi ini. Mungkin sekadar ingatan kembali kepada kita yang selalu lupa. Kadang-kadang kita ingat je ceritanya namun terhijab dari melihat ibrahnya. Tulisan kali ini tak berniat untuk memperincikan selumatnya. Cukuplah sekadar gambaran awal bagi mereka yang ingin tahu dan punya kemahuan untuk menggapai Taqwa.

Satu ketika di saat panggilan perang dilaungkan, para sahabat berduyun menyahut seruan Rasulullah menuju ke medan perang yakni Perang Tabuk. Lalu diujilah Kaab bin Malik dengan ujian kebendaan yang mana ketika itu musim buah sampai kepada fasa penuaian. Tinggallah Kaab bin Malik bersama dua orang lagi sahabat yakni Murarah bin Malik dan Hilal bin Umayyah.

Dikisahkan, Kaab bin Malik berjalan di sekitar kawasan halamannya dan sedar kelibat pemuda langsung hilang dari pemandangan matanya. Jasad yang wujud di sekitar perkampungannya hanyalah terdiri dari golongan lelaki tua, kurang upaya, wanita dan kanak-kanak sahaja. Maka, hadirlah rasa sesal di atas pengecualian dirinya. Beliau menyesal di atas kegagalan beliau melepasi Ibtila’/ujian yang dihadirkan Allah ke atasnya. 

Seusai peperangan, Kaab bin Malik segera bertemu dengan Baginda s.a.w dengan membawa sejuta penyesalan dan memohon keampunan di atas kesalahannya itu. Lalu baginda memohon penjelasan dari pihak Kaab bin Malik sebab-sebab pengecualiannya di medan tabuk. Sahabat yang mulia, Kaab bin Malik menceritakan satu persatu asbab-asbabnya tanpa berselindung apatah lagi ‘memback up’ diri. Namun, Kaab bin malik tetap dikenakan satu hukuman yang cukup-cukup beerti khususnya buat pengajaran para penggerak panji-panji Islam.

Kaedah Pemulauan. Kaedah ini dikenakan kepada Kaab bin Malik sebagai denda daripada Rasulullah s.a.w selama 50 hari berturut-turut. Pemulauan ini menjadikan diri Kaab bin Malik langsung tidak dipandang apatah lagi ditegur oleh masyarakat mahupun di pasar atau mana-mana sahaja.

Disebabkan terlalu sedih, pergilah beliau ke rumah sahabat karibnya mencari tempat berkongsi rasa. Diketuk pintu berulang kali sehingga dibuka. Muncullah wajah sahabatnya, Abu Qatadah. Abu Qatadah tetap diam seribu bahasa kerana mentaati suruhan Rasulullah. Lalu Kaab bin Malik menuturkan, “Bukankah kamu tahu aku terlalu mencintai Allah dan Rasul??..” . Disebabkan terlalu mengasihi Kaab bin Malik, sahabatnya mengangkat pandangan dan menutur ringkas, “Hanya Allah dan Rasul yang tahu akan hikmahnya”. Maka berderailah air mata Kaab bin Malik di atas kalam ringkas sahabat karibnya itu.

Tika tiada secalit perhatian masyarakat diberikan kepada Kaab bin Malik, maka sampailah seutus surat dari Raja Ghassan memberi tawaran untuk ke Ghassan. Raja Ghassan menjanjikan akan memberi keistimewaan setibanya dia di sana. Seorang sahabat yang Mulia Kaab bin Malik pasti tidak akan tewas buat kali kedua. Ditolaknya pelawaan itu demi mengharungi tarbiyah langsung dari Rasulullah.. jikalau kita yang berada di tempat sahabat yang mulia ini, mampukah kita??.. ujian demi ujian yang menimpa..

Di dalam kesedihan yang teramat, datang seorang sahabat membawa khabar dari Rasulullah.. Kaab bin Malik mengharapkan ia adalah khabar penglepasannya dari hukuman pemulauan itu. Namun, khabar dari utusan Rasulullah yang diharapkan itu sebenarnya membawa khabar pelanjutan hukuman ke atasnya. Satu utusan  agar dia dipisahkan daripada isterinya seberapa waktu. Sungguh, khabar itu menggoncangkan hatinya. Selama 40 hari dia teruji dengan pemulauan dari masyarakat, tiba detik ini dia akan diuji pula oleh pemisahan dari isteri yang tercinta.

Genap 50 hari beliau dipulau masyarakat. Seusai solat subuh, beliau terdengar laungan seseorang, "wahai Kaab bin Malik!! Bergembiralah kamu!!".. lantas bersujudlah ia menzahirkan kesyukuran di atas pengampunan Allah terhadapnya. Berduyun-duyun sahabat-sahabat datang meraikan perlepasan hukuman yang bertempoh 50 hari itu. Datanglah ia pada Rasulullah, lalu Rasulullah menuturkan, "Bergembiralah kamu kerana hari ini adalah sebaik-baik hari selepas lahirnya kamu dalam kandungan ibumu".

Tercatatlah kisah ini utuh dalam lembaran sejarah nubuwwah. Bukan kerana menunjukkan keburukan sahabat tapi menjelaskan keikhlasan dan kehebatan para sahabat Rasulullah bersama-sama dengan Baginda walau mereka terseksa sekalipun. Ambillah pengajarannya selumatnya. Wallahua’lam..

No comments:

Post a Comment