Sunday, June 29, 2014

ORANG LAMA DAN ORANG BARU DALAM KELOMPOK MAHASISWA

Bismillah..

Cuba menulis sesantai mungkin.

Kita Hari Ini

Sengaja membuka cerita ini disebabkan situasi ini sering mengasak emosi saya selaku penuntut ilmu, sahabat, anak, mahasiswa, aktivis dan lain-lain.



Pernah satu ketika saya terbaca satu tulisan atau mungkin kenyataan (lupa di mana),, “Sampai bila gerakan mahasiswa islam ingin terkehadapan jika setiap kali hadaf/target/VMO dibuat pada satu sesi kepimpinan sebuah legasi, dan bilamana sampai pada sesi selepasnya ia dibubar kembali. Kisah ini seterusnya berlaku pada generasi-generasi seterusnya. Berulang dan terus berulang”. Mungkin berbeza matannya tapi maksudnya begitulah..

Saya akan cuba menjelaskan dan memohon Allah jauhkan dari segala kekhilafan.

Contoh yang boleh saya berikan. Pada zaman kepimpinan Amin, mereka bersepakat membawa agenda pemantapan Nuqaba’. Tiba zaman Ali, Ali nekad membawa agenda pemantapan biah solehah. Dalam masa yang sama agenda Abu masih terkapai-kapai. Tak sempat nak bina tiang, baru je bina tapak, dah bina tapak lain. Terus terbengkalai dan tak cukup masa kerana kebiasaanya setiap sesi hanya setahun. Seterusnya tiba pula zaman Dolah, diubahnya pula agenda sebelumnya tanpa melihat kepada kelangsungan agenda-agenda sebelum ini.

Saya bukan menafikan bahawasanya setiap matlamat digubal berdasarkan keadaan semasa. Saya cuma mengkritik segelintir aktivis yang membina matlamat tanpa dikaji pembawakan sesi-sesi sebelumnya. Tiada kaitan dengan anda? Tutup blog ini, teruskan kerja anda yang masih banyak tergalas.

Merenung.

Saya terfikir, kenapa sebenarnya hal ini terjadi.

Hari ini, gerakan islam mahasiswa atau dengan nama formalnya Persatuan Mahasiswa Islam(PMI) setiap kampus seringkali kehilangan tenaga-tenaga tua dalam menggerakkan agenda dakwah sesebuah organisasi. Padahal bila diperhatikan secara tulus, wujud pelbagai potensi dalam diri ahli kampus. Namun gagal dimanfaatkan sebaiknya. Adakah tenaga tua itu disekat?.. atau ada kesilapan teknikal dalam menguruskan kedua-kedua golongan mahasiswa ini? Golongan Tua dan Muda.

Siapa itu Golongan tua dan siapa pula golongan muda?

Apa yang saya maksudkan dengan golongan muda adalah mereka yang baru berkecimpung dalam aktiviti berpersatuan. Individu yang Allah campakkan kesedaran DAKWAH dan ISLAH dalam jiwanya walhal mungkin sahaja dahulu kala ketika zaman persekolahan dialah yang paling otai dan nakal, pelajar pasif atau seumpamanya.

Dan golongan tua adalah golongan yang sudah lama (yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah 3-5 tahun) bergiat dalam dunia gerakan mahasiswa. Skop mahasiswa, bukannya umum. Mereka yang telah berkecimpung dari alam persekolahan dan melanjutkan ke alam universiti samada peringkat diploma, ijazah dan seterusnya. Saya lebih berminat untuk menjurus kepada peringkat persekolahan , diploma dan ijazah kerana peringkat MA dan PHD kebiasannya punya komitmen lain seperti berumah tangga dan seumpamanya. Dan saya cuba jenamakan mereka dengan golongan TUA dalam gerakan dakwah kampus ini.

Kedua-dua kelompok ini punya perbezaan yang ketara. Biasanya dalam berpandangan. Dan saya memerhatikan di sinilah puncanya.

Bagi saya, di sinilah puncanya yang menyebabkan gerakan dakwah secara berorganisasi dalam kelompok mahasiswa terus lesu. Mungkin terdapat banyak faktor lain, namun faktor utama yang saya ingin ketengahkan adalah gagalnya kita mengurus dan menyusun cara fikir mereka ke arah satu jalur/matlamat Ya, memang susah. Saya sendiri belum mempunyai cara khusus.

Namun hari ini saya cuba untuk menulis, membuka mata saya sendiri yang masih tertutup, atau mungkin juga satu keluhan yang bersifat picisan. Masing-masing boleh berfikir dan satu sahaja pesanan saya, jangan mudah membina persepsi kekal kerana di sanalah TEMBOK BESAR terbina.

Kelompok Tua.

Saya agak tidak berpuas hati dengan golongan ini. Satu soalan saya lontarkan, kenapa begitu sukar kalian ingin bersama dengan gerak kerja organisasi/ persatuan?? Saya melihat kebanyakan golongan ini lebih suka mengambil part/posisi dalam melontarkan idea semata. Namun dalam menggerakkan idea agak sukar. Komitmen yang sememangnya menghampakan. Masakan tidak, bila dilantik sebagai AJK program sekian-sekian, kalian menolak dalam kelembutan. Walhal organisasi memerlukan tenaga-tenaga lama di samping tenaga-tenaga baru yang biasanya mempunyai komitmen tinggi. Dan disebabklan faktor inilah kalian semakin diketepikan dari jawatan-jawatan penting sesebuah organisasi.

Lalu bila kelompok tua berterusan dengan sifat sebegini, tidak peliklah mereka akan diketepikan dari tenaga-tenaga penggerak program buat kesekian kalinya kerana komitmen yang menghampakan. Bila diajak meeting, tak hadir. Bila dilantik Ajk, tolak. Kadang-kadang sehingga menggagalkan perancangan sesebuah organisasi. Sehingga terpaksa digubal kembali struktur jawatan sedia ada, ke hulu ke hilir mencari tenaga. Sehinggakan picisan tenaga tua berbaki(yang masih punya komitmen tinggi) mula muak untuk memberi peluang pada mereka.

Lalu tinggalah mereka bersama dengan hal-hal mereka sendiri. Yang paling memedihkan bilamana keluar ura-ura organisasi mengenepikan mereka dan seumpamanya. Kemudian terbinalah jurang persepsi di antara kedua-dua pihak. Begitulah seterusnya dari tahun ke tahun. Lemas dalam kabus yang dibina sendiri.

Namun, saya tidak menafikan wujudnya sebab-sebab yang lain.

Kelompok Muda.

Tinggalah cebisan tenaga tua ini bersama tenaga-tenaga baru yang ramai. Lalu dalam perjumpaan wujudlah perbincangan yang biasa dibincang. Buat poster, edar. Buat iklan, siar. (Ini tidak termasuk poster dan iklan yang tak berjalan). Daya dakwah yang digerakkan tiada peningkatan, bergerak dalam kadar yang sama. Gerak kerja DAKWAH tidak sepadu gerak kerja DAKYAH kaum kuffar dan sekufunya. Mungkin dengan istilah lain, mengikut adat. Bila cuba membuat teknik brainstorm dalam meeting, 2/3 berdiam diri. Biasalah kerana masih baru dan cuba menyesuaikan diri. Bukan hendak salahkan mereka kerana kelompok tua pun terbina dengan situasi sebegitu juga pada mulanya.

Perhatikan, kelompok muda inilah yang menjadi tulang belakang organisasi. Komitmennya ditagih organisasi dalam menggerakkan program-program dakwah. Walaupun kadang-kadang bentuk programnya mengikut adat, namun di sana banyak jasa-jasa yang mereka tabur demi kesinambungan dakwah. Dakwah terus hidup. Kebajikan terus dijamin walaupun wujud sedikit kelompangan.

Muhasabah Bersama.

Di sekeliling saya penuh dengan suara-suara/kritikan daripada teman-teman yang kadang-kadang sungguh membina untuk sesebuah organisasi. Tetapi saya kebuntuan jalan kerana kurang tenaga untuk menggerakkan idea-idea itu. Bila diajak bersama membawanya, kendur urat lehernya. Mujur ada tenaga-tenaga baru yang komitmennya tak mampu dihitung.

Kembalikanlah nafsu aktivismu itu. Carilah titik persamaan. Bunuhlah perbezaan-perbezaan kecil yang melemahkan gerak kerja dakwah kita. Bangunlah dari sofa empuk kita dan jenguklah ke luar sana, dan tanyalah pada diri bagaimana kehidupan anak muda hari ini.

Sebenarnya kita saling memerlukan. Kita sentiasa gagal mempertingkatkan momentum dakwah. Dakwah digerakkan seperti biasa tapi masalah sosial terus merebak secara luar biasa. Letih untuk memujuk orang lama, kerana pada mereka sudah ada kefahaman. Cuma terkadang tersilap teknik dalam pengurusan sehingga melarikan diri dari berorganisasi. Andai ingin membuat perubahan, sahutlah seruan ini, ayuhlah bersama-sama menggerakkan organisasi utama di kampus masing-masing.


Dakwah itu tiada hak milik mutlak.
Ia milik sesiapa sahaja yang dirasakan layak.
Sebarkanlah ia ke seluruh pelusuk.
Tiada syarat tiada had.
Yang sebaiknya adalah katanya diiring dengan jasad.

Dan,
Tarbiyah itu bekal pendakwah.
Sebagai Tajarud menempuh mehnah.

No comments:

Post a Comment