Wednesday, October 16, 2013

Berkorbanlah untuk Ummat Sejagat

Bismillah..

Jauh saya merantau, mencari satu perkara yang amat berharga dalam hidup sesiapa saja..

Sehinggalah hari ini, Hari Raya Korban kedua saya di bumi Mesir.. dan mungkin ke-22 di sejak bergelar manusia yang dipinjamkan nyawa.

Sirah Nabi Ibrahim cukup mengajar erti pengorbanan bagi saya pada hari ini. Baginda yang dikurniakan nikmat seorang anak di waktu senja hidupnya diminta meninggalkan anak dan isterinya di bumi yang tandus tiada jasad walau seorang. Sudahlah dikurniakan nikmat putera di pengakhir usia, lalu diarah pula meninggalkan kedua permata hati itu di tanah tandus tanpa air dan makanan. Namun, lembaran cerita pengorbanan itu cukup besar dalam sejarah manusia. Cerita itu telah menghidupkan bumi yang tandus itu menjadi bumi berpusat ibadah agung. Cerita-cerita pengorbanan itu telah membukukan pelbagai perkara penting sehingga tercatat satu rukun di dalam ibadah Haji.

Secara mudahnya, Nabi Ibrahim berkorban demi umat sejagat. Dek hentakan halus kaki kecil insan bernama Ismail, tanah itu telah menjadi tanah tumpuan manusia sehingga kini.

Ada banyak contoh yang wujud bila kita menulis berkaitan pengorbanan, saya cuba pilih situasi yang teramat dekat dengan keadaan sekeliling saya. Situasi ini situasi pengorbanan dalam sedar tak sedar. 

Satu gambaran ringkas. Banyak perkara yang terpaksa ditempuh oleh sebahagian sahabat sepengajian saya sepanjang mereka terlibat dengan kegiatan berpersatuan.  Banyak masa yang mereka korbankan demi kebaikan ahli sepengajian yang lain. Banyak wang yang mereka laburkan demi memastikan kemesraan terjalin di antara kelompok-kelompok yang wujud. Juga, banyak air mata yang mengalir dan keluhan terzahir  kerana setiap kali nilai murni yang mereka terjemahkan dicemuh oleh mereka yang tersilap tafsir. Banyak perkara yang mereka tempuh untuk mencapai kematangan berkaitan ilmu dan persatuan.

Tidak terkecuali, wujud juga golongan yang saya jumpa suka MENGAMBIL KESEMPATAN DI ATAS PENGORBANAN / KELETIHAN ORANG LAIN. Ada golongan yang saya jumpa suka mengkritik hasil kerja orang lain berdasarkan pemerhatian kaku mereka. Ada golongan yang saya jumpa mereka yang gemar hidup dalam dunia mereka sahaja. Ada yang ketawa sentiasa. Ada yang bergaya dengan nikmat yang Allah hadirkan pada mereka. Ada juga yang menangis kerana tersentuh dengan ‘lakonan sahabat-sahabat yang hampir sebaya dari korea’. Ahh, bermacam-macam ragam yang membuatkan saya memaksa untuk melihat kembali diri saya..

Mereka semua terlibat dengan aktiviti MENERIMA dan MEMBERI. Apapun, mereka tetap punya nilai korban, samada berkorban atau mungkin terkorban. Cuma, ada sebahagian cara mereka berkorban tidak selesa di mata sahabat-sahabat yang lain. Lalu, mereka dikritik kerana tidak mengimbangi sebaiknya gaya pengorbanan mereka. Ya! Ada segelintir dari mereka yang gagal mengimbangi sebaiknya gaya PENGORBANAN mereka Contohnya sibuk merancang program pengislahan ummat sehingga kadang-kadang lupa membelek kitab pengajian. Tapi amatlah jelek jika mereka dihentam teruk dari mereka yang TERKORBAN masa dan air mata demi sebuah cerita korea.. ataupun terkorban harta demi menggayakan fesyen mengikut zaman.. juga terkorban masa demi kepentingan diri.. malah kitab berdebu hilang tak tahu ke mana pergi.

Hidup di dunia kita TIDAK BOLEH BERDIRI DI ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN SAHAJA. Kita selesa belajar sekarang di atas penat lelah orang lain.. kita kenal suasana sekarang juga di atas penat lelah orang lain.. Percayalah! Pasti ada secubit penat lelah orang lain yang pernah kita kecap.. Tapi, penat lelah apakah yang pernah kita terjemahkan kembali untuk sahabat yang hidup SEBUMBUNG dengan kita..

Bagi sahabat yang sentiasa berkorban untuk kemaslahatan teman sepengajian, imbangilah sebaiknya nilai murni itu. Jangan sampai kalian mengenepikan tujuan asal kalian yakni menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu sebaiknya dan berkorbanlah tenaga dan masa untuk kita sama-sama terjemahkan ISLAM dalam diri kita melalui BUMBUNG PERSATUAN yang ada. Saya tetap memahami dan sentiasa menghargai setiap pengorbanan yang kalian curahkan. Imbanglah sebaiknya kerana ilmu itu adalah keutamaan untuk kita mengawal kesatuan ummat..

Buat sahabat yang terbiasa dengan MENERIMA. Latihlah diri untuk mula bersifat dengan MEMBERI. Imbanglah sebaiknya agar hidup kita sentiasa berbakti di antara satu sama lain. Sesungguhnya, dalam nilai MEMBERI itu tersirat PENGORBANAN yang suci. Dalam kita menuntut, pekalah dengan keadaan sekeliling kita. Kita dilahirkan dengan acuan ISLAM. Kita diajar menyuruh kebaikan mencegah keburukan. 


BERKORBANLAH selagi mana hayat ada di dalam jasad. Usah hidup dengan diri sendiri.

Salam Eid Adha 1434 Hijrah.



Monday, October 7, 2013

Tawaran Zulhijjah

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah kita masih lagi dipinjamkan nyawa untuk meneruskan kehidupan selaku hamba di muka bumi ini, khususnya kepada Tholibul Ilmi di bumi Mesir. Maka sewajarnya kita sentiasa memanjatkan kalimah Hamdalah kepada Tuan segala makhluk atas nikmat Iman dan Islam yang masih utuh berada dalam diri kita. Sesungguhnya kehidupan ini tidaklah diberi secara percuma tetapi pastinya akan dipersoalkan oleh Pencipta kita kelak..

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kini kita sudah berada pada bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada fasa sepuluh pertama Zulhijjah.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya:

“Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah) dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah.

Seperti yang kita tahu, amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syara.

Namun bagi mereka yang tidak berkemampuan khususnya kepada kita sendiri yang berada di ruang lingkup penuntut ilmu ini sewajarnya menggagahkan diri untuk sama-sama melaksanakan ibadah-ibadah sunat pada bulan ini.

Pelbagai amalan yang telah digariskan oleh para Ulama untuk kita berteduh di dalam bulan Zulhijjah. Maka semestinya menjadi satu kerugian jika kita gagal memanfaatkan kehadiran bulan ini. Di sini saya sertakan sedikit amalan yang dipetik dari beberapa artikel dan kitab para Ilmuan Islam sebagai keselesaan untuk kita beramal, antaranya :


BERPUASA

Perbanyakkan berpuasa terutamanya pada Isnin dan Khamis. Lebih-lebih lagi pada Hari Arafah, 9 Zulhijjah.
Abu Qatadah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

"Puasa pada hari Arafah, aku berharap agar Allah menjadikannya penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya." [Sahih Muslim : 1983]

عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ ” يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ ،
 وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَثَلاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ “

"Sebahagian isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada sembilan hari awal Zulhijjah, hari Asyura, dan tiga hari setiap bulan iaitu pada hari Isnin pertama dan dua hari Khamis." [Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra : 2701]


MEMPERBANYAKKAN TAKBIR DAN BERZIKIR

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir. Sekurang-kurangnya bermula fajar 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah. Bertakbirlah pada beberapa hari yang mulia ini siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِى أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ أَيَّامُ الْعَشْرِ ، وَالأَيَّامُ الْمَعْدُودَاتُ أَيَّامُ التَّشْرِيقِ . وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو
 هُرَيْرَةَ يَخْرُجَانِ إِلَى السُّوقِ فِى أَيَّامِ الْعَشْرِ يُكَبِّرَانِ ، وَيُكَبِّرُ النَّاسُ بِتَكْبِيرِهِمَا . وَكَبَّرَ مُحَمَّدُ بْنُ عَلِىٍّ خَلْفَ النَّافِلَةِ .

"Ibnu ‘Abbas berkata, “Berzikirlah kalian kepada Allah pada hari-hari yang ditentukan iaitu 10 hari pertama Zulhijah dan juga pada hari-hari tasyriq.” Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah pernah keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijah, lalu mereka bertakbir, lantas manusia pun ikut bertakbir. Muhammad bin ‘Ali pun bertakbir setelah solat sunat." [Sahih al-Bukhari secara ta’liq, bab Kelebihan Beramal Pada Hari Tasyriq]


BERTAUBAT / MENINGGALKAN SEGALA MAKSIAT DAN DOSA

Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Semoga dengan amalan baik kita dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.


Direkodkan dalam Musnad Ahmad :

ابْنَ عَبَّاسٍ ، قَالَ : كَانَ فُلَانٌ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ ، قَالَ : فَجَعَلَ الْفَتَى يُلَاحِظُ النِّسَاءَ ،
 وَيَنْظُرُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : وَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَهُ بِيَدِهِ مِنْ خَلْفِهِ مِرَارًا ، قَالَ : وَجَعَلَ الْفَتَى
 يُلَاحِظُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ابْنَ أَخِي ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ مَنْ مَلَكَ فِيهِ سَمْعَهُ ، وَبَصَرَهُ ،
وَلِسَانَهُ ، غُفِرَ لَهُ “

"Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki membonceng Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu melihat ke arah mereka. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni." [Musnad Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]


PERBANYAKKAN AMAL SOLEH

Perbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya.


KORBAN

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah].

Juga peringatan kepada sesiapa yang sudah memasang niat untuk berkorban pada Eid Adha, elakkan untuk memotong segala bentuk bulu, kuku atau seumpamanya dari tubuh badan kalian pada sepuluh terawal Zulhijjah ini sehingga binatang tersebut dikorbankan.


Teman seperjuangan sekalian,

Bersempena bulan yang mulia ini, sama-samalah tajdidkan kembali niat kita mengembara di Lembah Nil ini. Pasakkan setinggi azam bagi membumikan Islam sesuburnya. Usah menoleh ke tepi kerana kitalah yang memikulnya.

Kehidupan kita sebagai penuntut ilmu hari ini terlalu mencabar. Kita diuji dari pelbagai sudut yang membuatkan diri gagal untuk istiqamah di dalam kebaikan. Kekuatan dalaman perlu dibina semaksimun mungkin supaya menjadi senjata ampuh bagi menangkis godaan Iblis yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Saat inilah nilai ilmu itu penting bagi seorang mahasiswa sebagai penyuluh kehidupan. Saat inilah juga peranan sahabat amat diperlukan bagi memimpin kita bersama-sama menuju Redha-Nya. Jom kita manfaatkan sebaiknya kehadiran bulan Zulhijjah ini.

Akhir sekali, saya tutup catatan ringkas ini dengan sebuah hadis, bahawa ‘Aisyah radhiallahu‘anha telah berkata :

“Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hari yang paling ramai Allah bebaskan hamba-hambanya daripada neraka ialah hari Arafah. Dia akan menghampiri mereka, kemudian akan membanggakan mereka di hadapan malaikat, lalu berfirman: Apa yang mereka semua mahu?” [Sahih Muslim : 2410]


Sumber:

Sunday, September 15, 2013

Surat untuk Hamalatul Quran

Bismillahirrahmanirrahim..

9 Tahun.

Sembilan tahun saya hidup dalam dunia hamalatul Quran. Namun, saya masih tak mampu menjadikan diri saya sebagai Hamalatul Quran yg sebenar-benarnya. Menjadikan Al-Quran sebagai wirid saya pagi dan malam. Menjadikan Al-Quran sebagai peneman saya dari waktu subuh sehingga Isya’.  Menjadikan Al-Quran cair di dalam ingatan ini dan juga sebagainya yang tak larat saya ungkapkan di sini. Kesemuanya gagal dipegang seerat-eratnya.

Sedih dan kecewa kerana gagal memanfaatkan 8 tahun yang lepas.

Namun,

Juga wujud setinggi rasa syukur dan gembira..

Syukur dan gembira kerana kini masih sekali lagi ditakdirkan berada dalam golongan dan suasana Al-Quran di bumi baru yang jauh beribu batu dari Malaysia. Bumi yang telah mencantas nilai putus asa yg mula bertunas satu ketika dahulu bagi mencapai target seorang Hamalatul Quran yang sejati. Bumi yang membenihkan kembali semangat/ruh hamalatul quran. insyaAllah..

…………………………………………………………………………………………….......................

9 tahun bukanlah masa yang singkat. Sepanjang 9 tahun saya berada dalam dunia ini(hamalatul quran), banyak benda yang saya dapat dan sewajarnya saya ambil sebagai langkah untuk melangkah lebih terkehadapan. Dan seharusnya saya kongsikan sebagai peringatan kepada kita yang telah ditakdirkan berada dalam golongan Hamalatul Quran. Segan untuk kongsikan, tetapi semangat dari dalam terus memaksa tangan ini menaip untuk sahabat-sahabat di luar. Bukan bermakna saya yang terbaik, tapi saya berhajat yang terbaik untuk semua teman di luar sana. Tidak terkecuali juga kepada diri saya.

Moga catatan ringkas ini bermanfaat.. InsyaAllah.. Ianya bukan ditujukan kepada mereka yang sudah LEGEND dalam golongan ini, tetapi kepada golongan yang mencari oksigen ketika lemas dengan dunia sekeliling..

………………………………………………………………………………………………...................

Sahabat hamalatul quran yang saya sayangi kerana Allah..

KEMBALILAH PADA 'FITRAHMU'.

Apa yang terpenting dari segala yang terpenting bagi seorang Hamalatul Quran adalah PERLU MENJIWAI bahawasanya kalian adalah HAMALATUL QURAN…

Tidak dapat tidak, kita perlu mewujudkan RASA SAYANG akan gelaran yang pernah ada atau masih ada dalam diri kita. Kita perlu mewujudkan RASA MALU untuk memikul gelaran ini supaya kita sentiasa berwaspada dalam segala tindakan kita. Kita perlu mewujudkan setinggi SYUKUR kerana ditakdirkan berada dalam golongan ini.

Jika perkara di atas dah lenyap dalam diri kalian. Cubalah cari bagaimana langkah nak hidupkan kembali hati itu. Antara cadangan saya, ziarahlah kembali dunia yang telah melahirkan kalian ke dalam golongan hamalatul quran (sekolah, kolej dan seumpamanya).. Usahalah untuk jadikan kehidupan seharian kalian bersangkut paut dengan kehidupan penghafal Al-Quran, jadi imam solat, setiap pagi selepas subuh pasang Al-Quran, pastikan alarm pengejut subuh ataupun muzik iringan ketika kalian ingin tidur di’set’kan dengan lagu berunsurkan Al-Quran, berunsurkan penghafal al-Quran ataupun terus dengan menghayati alunan Al-Quran dan pelbagai lagi kaedah yang boleh kalian fikirkan…

Cubalah..
Usahalah..

Lahirkan kembali gelaran berharga yang mungkin telah berdebu itu.

Seterusnya, antara perkara terpenting yang perlu berterusan bagi kita adalah usaha bagi menjaga ayat yang telah kita hafal. Perhatikan, saya tak menekankan PENJAGAAN tapi saya menekankan USAHA. Andai wujud rasa putus asa dari menjaga ayat Al-Quran dalam diri kalian, itu adalah MALAPETAKA yang cukup besar berbanding dari PERASAAN MALAS untuk mengulang ayat-ayat Al-Quran..

JANGAN PUTUS ASA.

Jangan putus asa untuk mengulang ayat-ayat yang telah kalian hafal sebelum ini. Walaupun kerap kali kita lupa.. teruskan juga..  Paling kurang, usahalah untuk pastikan ada yang kalian ingat sebetul-betulnya. Biarlah ia sedikit sekalipun, tapi jadikanlah ia sebagai ALAT atau TAPAK bagi memastikan semangat untuk mengulang itu sentiasa berterusan.. andai gagal untuk menambah surah yang mampu dipegang sebaiknya, kembalilah pada tapak yang kalian bina sebelum ini dan mulakan semula dan begitulah seterusnya..

Terakhir untuk pesanan di ruang blog ini,

JAGALAH DIRI KITA DARI MAKSIAT.

Kerana mengertilah, maksiat itulah yang membuatkan kita dari MALAS MEMBACA AL-QURAN, atau dalam erti kata lain, maksiat itulah yang mentebabkan kita malas MENGULANG.
Dan kerana malas mengulang itulah, dari sehari ke sehari, ingatan kita pada ayat/surah tersebut akan mula hilang dan luput..

Maksiat itu bukan pada mata dan mulut sahaja. Tapi pada segala yang menempel pada diri kita. Mungkin pada kaki kita wujud maksat harian, tangan, telinga, bahkan PERUT tidak terkecuali dan boleh jadi menjadi aspek terpenting untuk kita awasi..
Secara mudah, jagalah anggota zahir yang ditulis dalam ilmu Tasawuf. Mata. Telinga. Lidah. Perut. Kemaluan. Tangan. Kaki.

Ya.. sememangnya sukar.. tapi yakinlah jika TIGA perkara di atas dititik-beratkan, maka rasailah sendiri kemanisan yang insyaAllah akan dihadirkan dalam diri kalian... Allahurabbi, bila bercakap soal kemanisan, tiada siapa yang dapat mengungkapkannya melainkan kita sendiri yang telah merasainya sebelum ini. Nikmat ingat hanya sejuzu’ Al-Quran itu pun sudah x terkata, apatah lagi nikmat mampu mencairkan 30 juz dan mampu hidup sebagai golongan Hamalatul Quran yang sejati. InsyaAllah..

Jika dihadapkan kepada saya, dan dibandingkan akan dua inidividu. Seorang yang cair hafalannya dan seorang lagi baik akhlaknya. Maka, sudah tentu saya lebih memilih orang yang baik akhlaknya. Namun, tak bermakna kualiti hafalan harus diketepikan! Apa yang saya maksudkan, iringlah akhlak kita dengan kualiti seorang hamalatul quran yg sebenar..

Kepada sahabat-sahabat saya di luar sana, lakaran ini pasti takkan memberi makna jika hanya dibaca tanpa mempraktikkannya. Usahalah semampu yang mungkin. InsyaAllah kita adalah insan yang terpilih. Sekali lagi saya ungkapkan.. segan untuk kongsikan, tetapi semangat dari dalam terus memaksa tangan ini menaip untuk sahabat-sahabat di luar. Bukan bermakna saya yang terbaik, tapi saya berhajat yang terbaik untuk semua teman di luar sana. Tidak terkecuali juga kepada diri saya.

Akhir sekali, saya tinggalkan lagu ini bersama sekeping gambar untuk tatapan hari-hari yang akan datang…





Sunday, September 8, 2013

Nilai yang perlu ada dalam diri Pendakwah atau Pemimpin

Bismillahirrahmanirrahim..

PENDAKWAH dan PEMIMPIN..

Dua individu yang mempunyai banyak persamaan. Saya lebih menyanjung pendakwah dari pemimpin.. kerana pendakwah jika dicampak di mana-mana, pasti ia akan menebarkan haruman di sebalik baju yang dipakainya itu. Agak sukar untuk saya menjumpai seorang pemimpin yang mempunyai nilai pendakwah dalam dirinya. Kebanyakan pemimpin bekerja kerana taklifat yang ditugaskan. Bila tamat tempoh pentadbirannya, dia kembali menjadi orang biasa. Tidak memberi peranan dalam jalan dakwah.

Sememangnya nilai yang ada pada dua karakter ini sangat penting bagi projek pengislahan ummah. Namun, ia sangat merbahaya jika tersilap langkah. Pasti menghempap diri sendiri jika tidak di atur dengan baik.

Pendakwah dan pemimpin kebiasaan tugasnya adalah menjalankan amar makruf nahi munkar.. Setiap hari kerjanya memberi nasihat, menegur, membincangkan, menegah segala permasalahan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Secara mudahnya, harinya berlalu dengan kerja-kerja membaik pulihkan akhlak manusia.

Hati manusia bila seringkali bercakap berkaitan manusia, seringkali menghuraikan permasalah manusia, seringkali menegur sifat manusia, ia akan membiakkan rasa sempurna pada diri pemilik HATI tersebut. Kita risau bilamana hati mereka mula diindahkan oleh Syaitan berkaitan amal dakwahnya. Dek kerana itulah, ada yang rasa dirinya berdakwah tapi sentiasa lari dari keselesaan orang ramai.

Walaubagaimanapun, jika ia dibekalkan dengan bekalan yang cukup.. HATI itu akan sentiasa terjaga dari anasir yang boleh mebuatkan HATI itu menyimpang dari jalan dakwah ini. Kita mesti ada cara untuk membersihkan diri sendiri. Samada wajibkan kepada diri untuk ada seorang Murabbi. Ataupun wajibkan diri untuk ada pengisian Rohani sekali seminggu. Sebagai pemimpin dan pendakwah, tidak dapat tidak, kita perlu memastikan diri kita diDIDISIPLINkan dengan amalan khusus bagi membersihkan hati untuk mengelakkan terbiaknya simpton yang mampu memburukkan hati manusia.

Disebabkan itu, ramai yang kita lihat dari kalangan tokoh2 gerakan dakwah mempunyai amalan khusus masing-masing. Kaedah ini dianggap penting sehinggakan Imam Hasan Al-Banna menghimpunkan satu wirid khusus bagi manusia yang ingin meletakkan dirinya dalam jalan dakwah yakni Ma’tsurat. Satu zikir yang dihimpunkan dari doa harian Nabi. Tidak lupa juga buku yang mengangkat kembali aspek pentarbiyahan bagi para pendakwah iaitu buku yang bertajuk ‘Di Sepanjang Jalan Dakwah’ karya ustaz Mustafa Masyhur, bekas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin.


Juga cuba kita perhatikan ustaz-ustaz kita yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah, mereka juga mempunyai satu amalan khusus bagi diri mereka. Saya teringat satu tazkirah dari seorang kenalan. Pernah dikongsikan tentang Tok Guru Haji Hadi Awang berkaitan istiqmahnya beliau dalam menjaga puasa isnin khamis. Ini kerana mereka tahu, dengan istiqamah dalam aspek tarbiyah itu akan melahirkan satu kuasa yang istimewa.

Ayuh para pendakwah dan pemimpin di luar sana.. tidak lupa juga kepada diri saya yang menulis artikel ringkas ini..

Hidupkanlah kembali hati kita agar lembap dengan rasa Ketuhanan. Istiqamahlah dengan amal kebaikan agar menjadi penolong bagi kita. Satu amalan istiqamah itu lebih mulia dari seribu karamah.


Kadang-kadang bila kita bermaksiat,
kita akan rasa lemah,
lalu hati kita akan tidak digerakkan untuk terus beramal di atas jalan dakwah.

Bila bermaksiat,
hukumlah diri dengan segera beibadat,
jangan dibiarkan ia terus mengeras,
moga ia menjadi pencuci kepada maksiat itu dari terus merebak.

Wallahualam..


Saturday, July 27, 2013

Kisah Jin Mengenali Islam

"Akhi, tahu tak bila Jin masuk Islam??".. seorang sahabat sepengajian menyapa.

Terdiam.
Saya cuba menyelongkar ingatan-ingatan lama. Saya seakan pernah mendengar cerita-cerita sebegini dahulu. Gagal. Langsung hilang.

"Aissy, tak pasti r tu, kenapa? Camne boleh keluar soalan camtu?".. saya menjawab. Jujur.
"Takde r, saje borak-borak dengan kawan-kawan ni (merujuk satu kelompok kecil di sebelahnya).. mana tahu orang kampung ada tanya nanti balik Malaysia kelak".. kami tergelak kecil.

Begitulah seakan perbualan singkat yang terjadi.

 . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Hari ini setelah meneliti sedikit rujukan dari beberapa Tafsir seperti Tafsir Ibn Katsir, Tafsir Jalalain dan beberapa sumber2 internet yang boleh saya percayai, Alhamdulillah saya dapat mengetahui secara kasar bentuk penceritaan yang berlaku. Saya tak berniat menulis artikel di sini secara Ilmiah. Sekiranya sahabat ingin penceritaan Ilmiah, saya alu-alukan untuk merujuk terus Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Jalalain pada surah Al-Ahkaf ayat ke 29-32. Juga rujukan tambahan pada surah Jin itu sendiri.

Allah berfirman :


 [29]وإذ صرفنا إليك نفرا من الجن يستمعون القرآن فلما حضروه قالوا أنصتوا فلما قضي ولوا إلى قومهم منذرين

 [30]قالوا يا قومنا إنا سمعنا كتابا أنزل من بعد موسى مصدقا لما بين يديه يهدي إلى الحق وإلى طريق مستقيم

 [31]يا قومنا أجيبوا داعي الله وآمنوا به يغفر لكم من ذنوبكم ويجركم من عذاب أليم

 [32]ومن لا يجب داعي الله فليس بمعجز في الأرض وليس له من دونه أولياء أولئك في ضلال مبين

Surah Al-Ahkaf, 29-32


[29] Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

[30] Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

[31] “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

[32] “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.


Secara ringkas saya ceritakan..

Satu ketika, golongan Jin digemparkan dari halangan untuk mencuri berita dari Langit. Lalu kembalilah mereka kepada kaumnya. Kaumnya bertanya, "Apa yang telah terjadi pada kalian?"

"Kami terhalang daripada mendengar berita dari langit dan dihujami panahan dari langit."

Berkata kaumnya, "Kalian tidak akan dihalangi berita dari langit melainkan ada sesuatu perkara yang terjadi. Bertebaranlah kalian mencari apa yang terjadi yang menyebabkan kita dibataskan dari mendengar berita langit".

Maka bertebaranlah mereka ke timur dan barat dunia. Kemudian mereka menuju ke Tihamah dan beralih ke tempat Rasulullah yang mana ketika itu berada di Nakhlah. Sewaktu itu, Baginda Nabi sedang melakukan solat Subuh berjemaah dengan para sahabatnya di Lembah Nakhl.

Tatkala mereka mendengar al-quran. Mereka berhenti lantas mengamatinya. Mereka berkata, "Demi Allah, inilah perkara yang menghalangi kalian dari berita langit!"

Di dalam Tafsir Jalalain ada ditulis secara ringkas mengenai tafsiran ayat di atas, di bawah ini saya sertakan karangannya :


29. (Dan) ingatlah (ketika Kami hadapkan) Kami cenderungkan (kepadamu serombongan jin) yaitu jin Nashibin dari negeri Yaman atau Jin Nainawi, jumlah mereka ada tujuh atau sembilan jin. Nabi saw. ketika itu berada di lembah Nakhl sedang melakukan salat Subuh berjemaah dengan para sahabatnya. Demikianlah menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim (yang mendengarkan Alquran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaannya, lalu mereka berkata) sebagian dari mereka berkata kepada sebagian yang lain, ("Diamlah kalian") untuk mendengarkan bacaannya. (Ketika pembacaan telah selesai) ketika nabi selesai membaca Alquran (mereka kembali) pulang kembali (kepada kaumnya untuk memberi peringatan) artinya, mereka kembali setelah mendengarkan Alquran kepada kaumnya sebagai pemberi peringatan akan datangnya azab jika mereka tidak beriman kepada Nabi. Mereka sebelum itu pemeluk agama Yahudi, lalu setelah mendengarkan bacaan Alquran mereka masuk Islam.

030. (Mereka berkata, "Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan Kitab) yakni Alquran (yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab sebelumnya) seperti kitab Taurat (lagi memimpin kepada kebenaran) kepada agama Islam (dan kepada jalan yang lurus) yaitu tuntunan agama Islam.

31. (Hai kaum kami! Terimalah seruan orang yang menyeru kepada Allah) yakni seruan iman yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. (dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Dia akan mengampuni) Allah pasti akan mengampuni (dosa-dosa kalian) sebagian dari dosa-dosa kalian, diartikan demikian karena di antara dosa-dosa itu terdapat jenis dosa yang tidak dapat diampuni melainkan setelah mendapat kerelaan dari orang yang dianiaya oleh orang yang bersangkutan (dan melindungi kalian dari azab yang pedih) atau azab yang menyakitkan.

32. (Dan orang yang tidak menerima seruan orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan dapat melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi) artinya ia tidak akan dapat melemahkan Allah dengan cara lari dari-Nya sehingga ia selamat dari azab-Nya (dan tidak ada baginya) yakni bagi orang yang tidak menerima seruan itu (selain Allah) (pelindung-pelindung) yang dapat menolak azab Allah daripada dirinya. (dalam kesesatan yang nyata") jelas sesatnya.
________________________________________________________________________________

Di sinilah sebenarnya bermula kisah golongan Jin mengenali Islam. Selepas daripada peristiwa ini,  mereka menghantar utusan kelompok demi kelompok, rombongan demi rombangan menemui Rasulullah bagi mendapatkan wahyu Allah.

Di dalam Tafsir Ibn katsir juga ada menceritakan yang mana sahabat riuh seketika kerana kehilangan Nabi. Walhal hakikatnya Nabi sedang berada di alam Jin bagi menyampaikan risalah Islam. Kalau ada masa buka la ye.. dalam tu juga menjelaskan berkaitan kisah 'berita langit' dan apa kaitannya dengan penurunan al-Quran pada Rasulullah s.a.w. Juga ada berbicara berkaitan konsep Targhib dan Tarhib.

Seronok bila kita mentadabbur Tafsir. Cerita yang dihuraikan oleh Ulama' seolah hidup di depan mata kita. Moga-moga perkongsian ringan ini dapat menjadi rujukan ringkas bagi sahabat-sahabat yang belum mengetahui. Wallahualam.


Rujukan
-Surah Al-Ahkaf (Tafsir Ibn Katsir Dan Tafsir Fi Zilal Al-Quran)
-Surah Jin (Tafsir Ibn Katsir Dan Tafsir Fi ZIlal Al-Quran)



Saturday, July 20, 2013

Kesibukan kita ke arah mana?..

Pertembungan masa dan kerja,
Ia adalah perkara yang sangat menyeksakan jiwa,
Tak kira di alam pekerjaan atau mahasiswa,
Kesibukan pasti datang bertandang jua,

Ada yang kata dia sibuk,
Ku paksa dia menoleh ke kiri,
Rupanya tak sedar kawan di kiri ke sana ke sini berlari-lari,
Ku paksa toleh ke kanan,
Rupanya tak perasan kawan di kanan memikul beban menguji diri,

Namun,
Di sana ada perbezaan ciri,
Buzy mereka kerana apa?
Semata perkara keselesaan diri?..
Atau demi kelangsungan sebuah agama?..

Hakikatnya,
Kita semua kesempitan masa,
Yang bezanya ke mana kita laburkan masa?
Untuk kecap kenikmatan dunia saja?
atau demi bekalan bertemu Pencipta?
Dua benda yang sangat berbeza.

Jikalau masa itu digadai demi diri,
Sangat tidak hairan bila sanggup terjun ke dalam kesibukan,
Keluar pagi balik malam,
Mencari jawatan mengimpikan hartawan,
Buatlah  apapun,
Demi diri sangat tidak menghairankan.

Tapi,
Sungguh hairan bila dia menggadai masa,
Namun habuannya tak nampak di mata,
Dunia dianggap ladang baginya,
Bagi mencari Keredhaan Pencipta,
Demi menjaga kesejahteraan Agama.
Itulah Ghuraba’ Harapan Dunia.

Muhasabah bersama.

Wednesday, June 12, 2013

Menghitung Hari..

Bismillah..

Alhamdulillah.. usai bermain futsal dalam pergelutan merebut Piala Exco LIQA MAHABBAH anjuran persatuan di tempat pengajian. Walaupun tewas di suku akhir, ianya berbaloi dengan kemunculan pertama team kami di bumi Mesir ini. InsyaAllah semuanya akan jadi kenangan indah dalam pengajian kami di perantauan. Pejam celik, kita dah berada dalam bulan Sya’ban. Laju sungguh masa berputar meninggalkan manusia-manusia yang lalai dengan hiasan kehidupan yang tersendiri. Beruntunglah mereka yang istiqamah dalam membuat amal kebajikan.

Kebiasaanya, bila enjin sesebuah mesin jarang digunakan ia akan menjadi liat dan tidak lancar seperti yang dikendaki. Prestasi merosot natijahnya menghampakan. Justeru, satu tindakan segera perlu dilakukan agar enjin itu tidak terus berkarat dan tersadai begitu saja. Terutamanya BILA IA DIPERLUKAN OLEH KITA sebagai si pengguna.

Masyarakat Islam hari ini sering menganggap Ramadhan adalah tempat untuk kita mula melatih nafsu mempelbagaikan amal ibadah. Penulis merasakan ianya adalah satu mind-set/cara berfikir yang perlu diubah. Ramadhan realitinya bukanlah medan latihan untuk membuat segunung amal tetapi gelanggang pertandingan untuk kita menyembahkan selangit ibadah. Ingat, bukan tempat berlatih tapi tempat pertandingan. Siapa yang kuat dia akan menjuarainya.

Jauh dari satu sudut, kita tak sedar nafsu kita dah berkarat dengan dosa noda yang berbulan-bulan kita canang. Percayalah, bila hati kita dah jadi seperti itu, nikmat kita dalam beribadah akan terganggu. Walhal, Ramadhan adalah tempat untuk kita berpesta dengan amal ibadah. Nama pun pesta, mesti perlakuan yang diterjemahkan memerlukan feel yang begitu happy. Jadi, apa caranya agar kepuasan dalam ibadah itu mampu dicapai oleh kita semua termasuk saya yang selalu tenggelam dalam dosa??












Kini, kita berada di bulan Syaaban. Sering terdengar akan amalan-amalan yang dikhusukan pada bulan Rejab dan Sya’ban. Amalan-amalan yang kebanyakannya diketengahkan oleh ulama’ seperti doa khusus ataupun zikir-zikir yang tersendiri. Saya tidak berhajat memanjangkan perbincangan berkaitan amalan-amalan ini kerana perbincangan sebegini memerlukan kondisi yang selesa untuk berbincang. Saya serahkan perkara itu pada Ahlinya untuk membincangkan. Jika ada sahabat yang mahukan perkongsian belakang tabir daripada saya, insyaAllah saya cuba kongsikan. Sejujurnya, itu bukanlah maqasid utama post kali ini. Saya tahu perbincangan itu akan menatijahkan sesuatu yang buruk kerana wujud golongan-golongan yang membidahkan golongan pelaku.

Sahabat sekalian, apa yang saya perhatikan, kita disarankan ulama’ agar memperbanyakkan puasa sunat dan lain-lain ibadah di bulan Rejab dan Sya’ban sebenarnya tersirat pelbagai hikmah. Rejab dan Sya’ban dijadikan bulan latihan untuk kita sama-sama merebut ganjaran besar di medan pertandingan sebenar yakni Ramdahan Al-Kareem.




Orang yang bijak adlah orang yang merancang masa depannya. Kemaskan yang Fardhu pertingkatkan yang sunat. Sempurnakan sebaiknya ibadah fardhu. Belajar meniarap dengan ibadah sunat. Jika sudah optimis, cuba merangkak dengan munajat-munajat ringkas, sampai masanya pasti kita mampu berdiri dengan pelbagai amalan dan bersedia menggalas pelbagai amalan itu untuk berlari ke dalam bulan Ramadhan nanti. Kita belum terlambat sebab kita masih punya masa.. Ringan-ringakan tubuh kita dengan ibadah kepadaNya agar momentum yang terhasil pada Ramadhan nanti memberi makna yang besar pada kita. Ya, ia sememangnya sukar di awal namun yakinlah manis di akhirnya.. insyaAllah..

Nasihat ini saya sembahkan dalam artikel kali ini kerana saya mahukan kita sama-sama mengecapi Ramadhan yang mendatang  dengan feel yang terlalu happy untuk beramal soleh. Saya juga manusia, saya yakin 11 bulan yang telah kita lalui selepas Ramadhan yang lalu cukup untuk menjadikan nafsu kita buas dengan keindahan dunia. Jangan tunggu lama-lama, jom kita sama-sama ubah dan tingkatkan prestasi.. Doakan juga agar saya mampu bersama kalian dalam menghadapi medan sebenar nanti.




Tuesday, May 21, 2013

Kewujudan side-character

Bismillah..

Hari ini saya akan terus menulis. Saat ini lebih kurang 5 tahun saya bergelar budak U, lepasan sekolah menengah, atau istilah orang ramai seorang mahasiswa. Ye la kan,, MAHASISWA la sangat..huhu.. Sepanjang 5 tahun penulis mendapat title ini, banyak yang saya kutip dari madrasah kehidupan seorang mahasiswa. Terlalu banyak. InsyaAllah jika berkesempatan saya akan kongsikan bersama sahabat-sahabat di ruangan kecil ini satu demi satu pada masa akan datang.. biznillah.. insyaAllah..

Hari ini saya teringin untuk berkongsi berkaitan satu perkara yang sinonimnya dikaitkan dengan mereka yang bergelar mahasiswa iaitu kehidupan berpersatuan. Namun, lakaran hari ini bukanlah berkaitan galakan menyertai persatuan tapi cuba menyingkap satu perkara di sebalik pengaruh sesebuah persatuan/organisasi umum.

Sepanjang bergelar budak U ini, saya sempat bernaung di bawah dua bumbung persatuan induk iaitu di tempat pengajian diploma dan ijazah hari ini. Saya merasakan wujud dua perbezaan di antara dua persatuan ini iaitu dari segi cara membina pengaruh ahli. Sayacuba meneliti apakah punca yang membezakan pengaruh persatuan ini. Rupa-rupanya kerana wujud satu golongan yang terlalu berperanan membawa hadaf pemikiran ahli menuju matlamat yang dibawa kesatuan umum.

Golongan Ilmuwan yang berfikrah berbeza dengan golongan Ilmuwan biasa. Di tempat yang baru ini, saya melihat tenaga-tenaga pengajar kebanyakannya dipelopori oleh golongan-golongan ahli persatuan yang berilmu dan punya fikrah. Perlu sedar ada perbezaan di antara orang berilmu sahaja dengan orang berilmu yang disertai fikrah pengislahan. Bezanya adalah ilmu yang ada dalam dadanya dibiaskan melalui cara yang menyatukan.

Peranan mereka terlalu besar untuk sebuah kesatuan umum di sini. Boleh dikatakan setiap kelas pengajiannya/talaqi bersamanya, mereka akan menyelitkan matlamat seorang penuntut ilmu dan dikaitkan dengan amal ijtimaie bersama persatuan. Merekalah di antara sosok yang berperanan menyelaraskan pelbagai pemikiran yang ada dalam kelompok mahasiswa agar terarah pada pembawakan sesebuah persatuan, bukanlah memandai sesuka hati mengikut semangat berdarah muda.


Lalu dengan cara yang mereka bawa ini, ianya telah mewujudakan Wehdatul Fikr Wehdatul Amal yang cukup nyaman. Ahli-ahli yang bernaung dibawahnya mampu diuruskan cara pemikiran untuk disalurkan dengan cara yang betul. Namun, tidak bermakna 100% ahli berjaya dibentuk dengan konsep wehdatul fikr wehdatul amal. Masih ada juga yang tetap dengan prinsip peng’islahan’ mereka. Cuma teknik penggunaan ahli yang berilmu dan punya fikrah ini jarang digunakan di tempat persatuan lama. Juga tidak bermaksud mengatakan pengaruh persatuan lama lebih kecil berbanding persatuan yang penulis berteduh hari ini. Risau jugak andai sahabat-sahabat silap menafsirkan maksud utama penulisan ini.

Cuma yang ingin saya cerahkan adalah peranan individu yang berilmu dalam menyuluh arah matlamat kehidupan si penuntut ilmu. Adalah menjadi harta yang cukup berharga bagi sesebuah kesatuan umum jika mempunyai karakter seperti ini. Jadi, saya menyeru seluruh persatuan yang wujud dalam kelompok mahasiswa agar memberi fokus kepada mahasiswa bukan dari segi bantuan kebajikan kewangan @ kemahiran semata-mata, tapi pertingkatkan juga kebajikan dari segi keilmuan sang Mahasiswa.. agar suatu hari kelak, ia mampu menjadi penuntut ilmu yang mampu membiaskan ilmunya kepada masyarakat sekeliling..

Sebenarnya telah wujud ramai individu yang boleh memimpin, namun sedar tak sedar kita kekurangan Ulama yang sepatutnya menjadi check n balance untuk Umara’. Jom islah diri..

Saturday, April 27, 2013

Kaedah IQAB yang semakin dilupakan..


Bismillah..

IQAB(denda/hukuman) adalah satu kaedah Tarbiyah yang semakin dilupakan dalam kalangan penjunjung kalam Tuhan sehinggakan para abna’ul harakah zaman kini berada dalam keadaan selesa dan semakin menebal rasa kemanjaan dalam diri mereka. Mereka seolah-olah khusyuk berpencak dan mahu bebas dari aturan yang ditetapkan.

Harakah Islamiyah mempunyai pelbagai rencah yang akan mematangkan ahli-ahlinya dengan perjalanan panjang. Seringkali kita dengar tutur kata Tarbiyah itu mampu mendidik jiwa kita menjadi insan yang Rabbani. Namun kita tak sedar hati kita mudah ‘rosak’ bila diberi Tarbiyah. Mungkin kerana faktor yang merasakan ‘aku lebih arif darinya’, lebih mulia atau seumpama itu.

Kembali kepada perbincangan kita.. Iqab kebiasaanya berkait rapat dengan Ibtila’(ujian). Iqab selalunya dikenakan kerana ‘tersadung’nya seseorang dalam aturan yang ditetapkan. Iqab juga diberikan kerana kegagalan melepasi ibtila’ yang hadir ke atasnya. Lazimnya ibtila’ akan hadir sebelum Iqab dikenakan namun tetap wujud peristiwa-peristiwa yang ibtila’ hadir semasa atau selepas hukuman diberikan.

Saya akan cuba membawa pembaca merenung kisah-kisah silam yang mengamalkan amalan-amalan Iqab dalam pentadbirannya.

Cuba kita imbau kisah di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman. Wujudkah kaedah IQAB pada zaman itu?.. Ingatkah kita pada ratu Balqis?.. dan seekor burung yang diberi nama Hud-Hud??.. Nabi Sulaiman pernah mengugut akan menyembelih Hud-Hud sekiranya ia gagal tampil bersama dengan alasan yang kukuh. Boleh rujuk artikel khusus berkaitan kisah ini. Saya tak berniat nak menceritakan kembali kisah itu. Cuma di sini saya ingin tekankan akan nilai kaedah Iqab antara seorang pemimpin dengan kelompok pimpinannya yang semakin terabai dari pengamatan kita semua.

Saya cuba mengajak lagi sahabat-sahabat mengimbau kisah-kisah silam iaitu kisah Talut dan Jalut. Juga wujud Ibtila’ dan Iqab dalam kisah ini iaitu ketika mana tentera Talut diuji dengan sebuah sungai lalu ada di kalangan tenteranya yang ter’sadung’ dengan arahan sehingga dihukumkan dengan pengguguran dari peperangan menentang Jalut. 

“Bahawasanya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya maka ia bukanlah daripadaku, dan sesiapa yang tidak meminumnya sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan tangannya. (ayat 249)

Kisah ini  memaparkan proses yang bermula dengan Ibtila’ lalu disusuli dengan Iqab(dihalang dari meneruskan peperangan). Untuk penjelasan lanjut boleh rujuk Al-quran pada muka surat 40-41, akhir juzu’ 2, surah al-Baqarah, ayat 247-252.



Sekali lagi bukti yang saya ingin rakamkan di dalam tulisan ini adalah kisah sahabat yang Mulia, Kaab Bin Malik. Kisah ini saya pernah sembahkan dalam post sebelum ini untuk rujukan ringkas sahabat-sahabat sekalian. Kisah ini memaparkan berlakunya proses Ibtila’ pada diri Kaab bin Malik dan dilanjutkan dengan Iqab dari Rasulullah lalu disusuli dengan Ibtila’ buat yang kesekian kalinya. Contohnya seperti pelawaan Raja Ghassan kepada Kaab bin Malik dan pelanjutan hukuman dengan memisahkan isterinya.



DI sini saya ingin menekankan akan nilai sebuah hukuman dalam gerakan-gerakan Islam.. Sejak kebelakangan ini, saya melihat kebanyakan aktivis-aktivis dakwah dimanjakan sehingga bebas berbuat apa saja tanpa ada had-had yang ditetapkan. Jika ada had sekalipun, ianya sekadar hiasan dalam berorganisasi.

Iqab itu wujud dalam pelbagai kaedah. Antaranya iqab dari segi ibadah pengabdian contohnya zikir, solat sunat taubat dan sebagainya. Wujud juga iqab dari sudut amalan kebajikan, contohnya seperti bersihkan tempat-tempat yang kotor, infakkan harta dan seumpamanya.

Perlu diingat, Iqab itu janganlah membawa kepada keaiban si pesalah. Iqab dikenakan agar menjadi peringatan untuk si pesalah dan individu-individu yang berada dalam organisasi tersebut. Sememangnya kaedah ini melatih jiwa para pendukung organisasi tersebut agar berdisiplin dan membersihkan hati mereka agar mencapai Ikhlas dalam mendukung sesuatu perkara.

Di antara isu semasa yang jelas kita lihat pada hari ini adalah seperti pengguguran Dr Hasan Ali dalam dalam Gerakan PAS. Pengguguran Ustaz Nasaruddin dari ahli majlis syura dan sebagainya jika ada.

Sekadar inilah tulisan yang saya cuba lakarkan. Sekadar perkongsian dan peringatan bersama dalam membawa risalah-risalah Islam. Wallahualam..


Kaab bin Malik : Tarbiyah Rasulullah Melalui Kaedah Pemulauan


Bismillah..

Hari ini saya ingin mengajak sahabat sekalian merenung satu kisah popular terutamanya bagi insan yang bergelar abna’ul harakah.. saya yakin kisah ini pernah hinggap di telinga sahabat-sahabat samada ketika perbincangan usrah di bawah tajuk sirah nubuwwah ataupun mungkin pesanan khusus dari murabbi masing-masing. Kisah yang berkisar berkaitan satu kaedah TARBIYAH lembaran sirah silam yang diwasilahkan kepada sahabat baginda yang mulia, Kaab bin Malik.

Saya termanggu seketika bila mengimbas mengenai sirah Kaab bin Malik. Satu penceritaan menarik yang terlukis kepada sahabat Nabi bagi pengajaran kepada sekalian manusia di muka bumi ini. Mungkin sekadar ingatan kembali kepada kita yang selalu lupa. Kadang-kadang kita ingat je ceritanya namun terhijab dari melihat ibrahnya. Tulisan kali ini tak berniat untuk memperincikan selumatnya. Cukuplah sekadar gambaran awal bagi mereka yang ingin tahu dan punya kemahuan untuk menggapai Taqwa.

Satu ketika di saat panggilan perang dilaungkan, para sahabat berduyun menyahut seruan Rasulullah menuju ke medan perang yakni Perang Tabuk. Lalu diujilah Kaab bin Malik dengan ujian kebendaan yang mana ketika itu musim buah sampai kepada fasa penuaian. Tinggallah Kaab bin Malik bersama dua orang lagi sahabat yakni Murarah bin Malik dan Hilal bin Umayyah.

Dikisahkan, Kaab bin Malik berjalan di sekitar kawasan halamannya dan sedar kelibat pemuda langsung hilang dari pemandangan matanya. Jasad yang wujud di sekitar perkampungannya hanyalah terdiri dari golongan lelaki tua, kurang upaya, wanita dan kanak-kanak sahaja. Maka, hadirlah rasa sesal di atas pengecualian dirinya. Beliau menyesal di atas kegagalan beliau melepasi Ibtila’/ujian yang dihadirkan Allah ke atasnya. 

Seusai peperangan, Kaab bin Malik segera bertemu dengan Baginda s.a.w dengan membawa sejuta penyesalan dan memohon keampunan di atas kesalahannya itu. Lalu baginda memohon penjelasan dari pihak Kaab bin Malik sebab-sebab pengecualiannya di medan tabuk. Sahabat yang mulia, Kaab bin Malik menceritakan satu persatu asbab-asbabnya tanpa berselindung apatah lagi ‘memback up’ diri. Namun, Kaab bin malik tetap dikenakan satu hukuman yang cukup-cukup beerti khususnya buat pengajaran para penggerak panji-panji Islam.

Kaedah Pemulauan. Kaedah ini dikenakan kepada Kaab bin Malik sebagai denda daripada Rasulullah s.a.w selama 50 hari berturut-turut. Pemulauan ini menjadikan diri Kaab bin Malik langsung tidak dipandang apatah lagi ditegur oleh masyarakat mahupun di pasar atau mana-mana sahaja.

Disebabkan terlalu sedih, pergilah beliau ke rumah sahabat karibnya mencari tempat berkongsi rasa. Diketuk pintu berulang kali sehingga dibuka. Muncullah wajah sahabatnya, Abu Qatadah. Abu Qatadah tetap diam seribu bahasa kerana mentaati suruhan Rasulullah. Lalu Kaab bin Malik menuturkan, “Bukankah kamu tahu aku terlalu mencintai Allah dan Rasul??..” . Disebabkan terlalu mengasihi Kaab bin Malik, sahabatnya mengangkat pandangan dan menutur ringkas, “Hanya Allah dan Rasul yang tahu akan hikmahnya”. Maka berderailah air mata Kaab bin Malik di atas kalam ringkas sahabat karibnya itu.

Tika tiada secalit perhatian masyarakat diberikan kepada Kaab bin Malik, maka sampailah seutus surat dari Raja Ghassan memberi tawaran untuk ke Ghassan. Raja Ghassan menjanjikan akan memberi keistimewaan setibanya dia di sana. Seorang sahabat yang Mulia Kaab bin Malik pasti tidak akan tewas buat kali kedua. Ditolaknya pelawaan itu demi mengharungi tarbiyah langsung dari Rasulullah.. jikalau kita yang berada di tempat sahabat yang mulia ini, mampukah kita??.. ujian demi ujian yang menimpa..

Di dalam kesedihan yang teramat, datang seorang sahabat membawa khabar dari Rasulullah.. Kaab bin Malik mengharapkan ia adalah khabar penglepasannya dari hukuman pemulauan itu. Namun, khabar dari utusan Rasulullah yang diharapkan itu sebenarnya membawa khabar pelanjutan hukuman ke atasnya. Satu utusan  agar dia dipisahkan daripada isterinya seberapa waktu. Sungguh, khabar itu menggoncangkan hatinya. Selama 40 hari dia teruji dengan pemulauan dari masyarakat, tiba detik ini dia akan diuji pula oleh pemisahan dari isteri yang tercinta.

Genap 50 hari beliau dipulau masyarakat. Seusai solat subuh, beliau terdengar laungan seseorang, "wahai Kaab bin Malik!! Bergembiralah kamu!!".. lantas bersujudlah ia menzahirkan kesyukuran di atas pengampunan Allah terhadapnya. Berduyun-duyun sahabat-sahabat datang meraikan perlepasan hukuman yang bertempoh 50 hari itu. Datanglah ia pada Rasulullah, lalu Rasulullah menuturkan, "Bergembiralah kamu kerana hari ini adalah sebaik-baik hari selepas lahirnya kamu dalam kandungan ibumu".

Tercatatlah kisah ini utuh dalam lembaran sejarah nubuwwah. Bukan kerana menunjukkan keburukan sahabat tapi menjelaskan keikhlasan dan kehebatan para sahabat Rasulullah bersama-sama dengan Baginda walau mereka terseksa sekalipun. Ambillah pengajarannya selumatnya. Wallahua’lam..

Thursday, April 18, 2013

Jatuhnya nilai seorang Pemuda


Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Syukur pada Allah setinggi-tinggi syukur atas nikmat yang tak pernah lekang kepada kita sebagai hambaNya yang penuh kelompangan ini. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad serta keluarga dan para sahabat baginda. Moga kita semua tergolong dalam kalangan yang mendapat syafaatnya di hari yang tiada sebarang pertolongan melainkan pertolonganNya.

Sekali lagi ucapan Hamdalah dipanjatkan kerana Allah memberi sedikit kesempatan untuk menarikan kalam nasihat buat diri ini dan sahabat-sahabat di luar sana khususnya yang bergelar Pemuda Islam. Saya sebenarnya baru sahaja mengahadiri satu Daurah Kitab رسالة الى شباب الأمة (Risalah buat Pemuda Ummah) anjuran Unit Biah Solehah PMRAM(persatuan induk di sini) yang diadakan di Wisma KPKM, Hayyu Sabi, Kaherah, Mesir. Kitab ini adalah kitab kecil karangan Syeikh Raghib As-Sarjani.

Pembaca yang dirahmati Allah sekalian, fasa Pemuda adalah fasa yang mempunyai pelbagai ujian dan kelebihan. Namun jika gagal acuannya, kelebihan itu akan terarah kepada kegiatan yang tidak bermoral.

Satu ketika, pengarang kitab pernah berada dalam satu majlis yang dihadiri oleh golongan pemuda. Lalu beliau mengajukan persoalan kepada para pemuda yang hadir  tentang apakah permasalahan yang berada dalam pemikiran mereka sekarang. Antara masalah yang diluahkan adalah :
-          Bimbang akan pekerjaannya bila keluar dari pusat pengajian/university
-          Nak kahwin tapi tak mampu
-          Merokok
-          Tertekan tak dapat keizinan ayahnya untuk membeli telefon bimbit
-          Banyak lagi…

Masalah yang diluahkan sudah cukup untuk menggambarkan keadaan pemuda hari ini yang berbeza jauh dengan pemuda zaman permulaan Islam. Mengapa dan kenapa?.. Pengarang kitab mengatakan penyakit ataupun permasalahan utama yang menimpa pemuda hari ini adalah kerana عدم وضوح الهدف فى حياته (Hilangnya Matlamat yang Suci dalam Hidupnya).

Pembaca yang budiman, sirah menceritakan sahabat-sahabat Rasulullah kebanyakannya terdiri daripada golongan Pemuda. Antaranya,
-          Az- Zubair bin Al- Awwam r.a
-          Talhah bin Ubaidillah r.a
-          Saad bin Abi Waqas r.a
-          Al-Arqam bin Abi Al-Arqam Al-Makhzumi r.a
-          Ali bin Abi Talib r.a
-          Zaid bin Tsabit r.a
-          Muaz bin Amru r.a
-          Usamah bin Zaid r.a
-          dan ramai lagi…

Saya yakin nama-nama yang tertera di atas sudah biasa terlintas pada pendengaran pembaca. Sesungguhnya pemuda pada zaman nabi bukanlah pemuda yang biasa. Mush’ab bin Umair sanggup meninggalkan kemewahan demi Islam walaupun dirinya pernah menjadi kegilaan wanita arab. Saidina Ali sanggup menggadaikan nyawa demi Islam semata-mata untuk keberjayaan hijrah. Saad bin Abi Waqas pernah menuturkan, ‘Aku adalah anak panah Islam, tujukanlah aku pada mana-mana arah yang engkau suka’. Mereka semua adalah orang muda, yang kebiasaanya pada kita, masa muda dihabiskan untuk berhibur, dan bila tiba ke penghujung nyawa, baru tersedar akan lanjutnya umur mereka untuk beramal.

Nabi s.a.w satu ketika dahulu juga pernah melalui fasa Pemuda. Sahabat-sahabat nabi juga kebanyakannya pernah melalui fasa Pemuda. Dan kebanyakan daripada penegak Kalam Allah ini terdiri dari kelompok pemuda. Persoalannya, apakah acuan yang digunakan oleh Baginda s.a.w sehingga mampu melahirkan anak muda yang hakikat jiwanya mudah terhibur dengan hiburan dunia tetapi mereka mampu dihiburkan dengan tawaran-tawaran akhirat yang tak terzahir di depan mata? Yang menjadikan solatnya tempat mereka beristirehat dan zikir sebagai kalam harian? Maka tidak hairanlah generasi itu pernah menggoncangkan dunia satu ketika dahulu.

Dalam kitab ini juga ada menyatakan beberapa sebab khusus kenapa jatuhnya nilai Pemuda pada hari ini, iaitu :
·         Hilangnya Tarbiah Islamiyah yang menjaga mereka
·         Hilangnya qudwah/ikutan yang elok yang boleh anak muda contohi
·         Kekecewaan
·         Media Massa/Informasi

Maka jelas lagi tersuluh keseluruhan kehidupan pemuda hari ini terganggu dengan persekitaran yang telah membentuk mereka. Hukama’ pernah menyatakan, seandainya kalian ingin melihat masa depan sesebuah pemerintahan, maka lihatlah pada generasi mudanya, jika kalian mahu melihat bagaimana generasi mudanya, maka lihatlah pada tempat-tempat pengajiannya”.

Kitab ini telah meninggalkan kita dengan sepuluh pesanan bermakna buat para pemuda yang inginkan perubahan, saya cuba lampirkan di sini buat azimat kita semua sebagai pemuda yang bakal memikul amanah Tuhan ini :
1-      Buang dengan segera maksiat yang cuba menghampiri
2-      Kenali Agama kamu
3-      Hadiri masjid-masjid
4-      Perlulah tekun/terkehadapan
5-      Hubungkan Silaturrahim
6-      Pilih sahabat kamu
7-      Fahami suasana kamu
8-      Jadilah seorang yang sihat tubuh badannya
9-      Serulah orang lain pada kebenaran
10-   Susun waktu/buat jadual

Saya tidak berhajat untuk  memanjangkan kalam, cukup sekadar ringkasan yang pendek ini buat tatapan pembaca sekalian. Secara pengakhirannya, moga sedikit usaha yang saya sembahkan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Jadikanlah nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh pengarang kitab Risalah buat Pemuda ummah ini sebagai titik perubahan dalam hidup kita. Jika bukan kita, siapa lagi??.. Jika bukan detik ini, bilakah lagi??.. pejamkan mata, pasakkan hati, ayuh bawa perubahan untuk dunia Islam akan datang…