Thursday, April 18, 2013

Jatuhnya nilai seorang Pemuda


Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Syukur pada Allah setinggi-tinggi syukur atas nikmat yang tak pernah lekang kepada kita sebagai hambaNya yang penuh kelompangan ini. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad serta keluarga dan para sahabat baginda. Moga kita semua tergolong dalam kalangan yang mendapat syafaatnya di hari yang tiada sebarang pertolongan melainkan pertolonganNya.

Sekali lagi ucapan Hamdalah dipanjatkan kerana Allah memberi sedikit kesempatan untuk menarikan kalam nasihat buat diri ini dan sahabat-sahabat di luar sana khususnya yang bergelar Pemuda Islam. Saya sebenarnya baru sahaja mengahadiri satu Daurah Kitab رسالة الى شباب الأمة (Risalah buat Pemuda Ummah) anjuran Unit Biah Solehah PMRAM(persatuan induk di sini) yang diadakan di Wisma KPKM, Hayyu Sabi, Kaherah, Mesir. Kitab ini adalah kitab kecil karangan Syeikh Raghib As-Sarjani.

Pembaca yang dirahmati Allah sekalian, fasa Pemuda adalah fasa yang mempunyai pelbagai ujian dan kelebihan. Namun jika gagal acuannya, kelebihan itu akan terarah kepada kegiatan yang tidak bermoral.

Satu ketika, pengarang kitab pernah berada dalam satu majlis yang dihadiri oleh golongan pemuda. Lalu beliau mengajukan persoalan kepada para pemuda yang hadir  tentang apakah permasalahan yang berada dalam pemikiran mereka sekarang. Antara masalah yang diluahkan adalah :
-          Bimbang akan pekerjaannya bila keluar dari pusat pengajian/university
-          Nak kahwin tapi tak mampu
-          Merokok
-          Tertekan tak dapat keizinan ayahnya untuk membeli telefon bimbit
-          Banyak lagi…

Masalah yang diluahkan sudah cukup untuk menggambarkan keadaan pemuda hari ini yang berbeza jauh dengan pemuda zaman permulaan Islam. Mengapa dan kenapa?.. Pengarang kitab mengatakan penyakit ataupun permasalahan utama yang menimpa pemuda hari ini adalah kerana عدم وضوح الهدف فى حياته (Hilangnya Matlamat yang Suci dalam Hidupnya).

Pembaca yang budiman, sirah menceritakan sahabat-sahabat Rasulullah kebanyakannya terdiri daripada golongan Pemuda. Antaranya,
-          Az- Zubair bin Al- Awwam r.a
-          Talhah bin Ubaidillah r.a
-          Saad bin Abi Waqas r.a
-          Al-Arqam bin Abi Al-Arqam Al-Makhzumi r.a
-          Ali bin Abi Talib r.a
-          Zaid bin Tsabit r.a
-          Muaz bin Amru r.a
-          Usamah bin Zaid r.a
-          dan ramai lagi…

Saya yakin nama-nama yang tertera di atas sudah biasa terlintas pada pendengaran pembaca. Sesungguhnya pemuda pada zaman nabi bukanlah pemuda yang biasa. Mush’ab bin Umair sanggup meninggalkan kemewahan demi Islam walaupun dirinya pernah menjadi kegilaan wanita arab. Saidina Ali sanggup menggadaikan nyawa demi Islam semata-mata untuk keberjayaan hijrah. Saad bin Abi Waqas pernah menuturkan, ‘Aku adalah anak panah Islam, tujukanlah aku pada mana-mana arah yang engkau suka’. Mereka semua adalah orang muda, yang kebiasaanya pada kita, masa muda dihabiskan untuk berhibur, dan bila tiba ke penghujung nyawa, baru tersedar akan lanjutnya umur mereka untuk beramal.

Nabi s.a.w satu ketika dahulu juga pernah melalui fasa Pemuda. Sahabat-sahabat nabi juga kebanyakannya pernah melalui fasa Pemuda. Dan kebanyakan daripada penegak Kalam Allah ini terdiri dari kelompok pemuda. Persoalannya, apakah acuan yang digunakan oleh Baginda s.a.w sehingga mampu melahirkan anak muda yang hakikat jiwanya mudah terhibur dengan hiburan dunia tetapi mereka mampu dihiburkan dengan tawaran-tawaran akhirat yang tak terzahir di depan mata? Yang menjadikan solatnya tempat mereka beristirehat dan zikir sebagai kalam harian? Maka tidak hairanlah generasi itu pernah menggoncangkan dunia satu ketika dahulu.

Dalam kitab ini juga ada menyatakan beberapa sebab khusus kenapa jatuhnya nilai Pemuda pada hari ini, iaitu :
·         Hilangnya Tarbiah Islamiyah yang menjaga mereka
·         Hilangnya qudwah/ikutan yang elok yang boleh anak muda contohi
·         Kekecewaan
·         Media Massa/Informasi

Maka jelas lagi tersuluh keseluruhan kehidupan pemuda hari ini terganggu dengan persekitaran yang telah membentuk mereka. Hukama’ pernah menyatakan, seandainya kalian ingin melihat masa depan sesebuah pemerintahan, maka lihatlah pada generasi mudanya, jika kalian mahu melihat bagaimana generasi mudanya, maka lihatlah pada tempat-tempat pengajiannya”.

Kitab ini telah meninggalkan kita dengan sepuluh pesanan bermakna buat para pemuda yang inginkan perubahan, saya cuba lampirkan di sini buat azimat kita semua sebagai pemuda yang bakal memikul amanah Tuhan ini :
1-      Buang dengan segera maksiat yang cuba menghampiri
2-      Kenali Agama kamu
3-      Hadiri masjid-masjid
4-      Perlulah tekun/terkehadapan
5-      Hubungkan Silaturrahim
6-      Pilih sahabat kamu
7-      Fahami suasana kamu
8-      Jadilah seorang yang sihat tubuh badannya
9-      Serulah orang lain pada kebenaran
10-   Susun waktu/buat jadual

Saya tidak berhajat untuk  memanjangkan kalam, cukup sekadar ringkasan yang pendek ini buat tatapan pembaca sekalian. Secara pengakhirannya, moga sedikit usaha yang saya sembahkan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian. Jadikanlah nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh pengarang kitab Risalah buat Pemuda ummah ini sebagai titik perubahan dalam hidup kita. Jika bukan kita, siapa lagi??.. Jika bukan detik ini, bilakah lagi??.. pejamkan mata, pasakkan hati, ayuh bawa perubahan untuk dunia Islam akan datang…


1 comment: