Wednesday, October 16, 2013

Berkorbanlah untuk Ummat Sejagat

Bismillah..

Jauh saya merantau, mencari satu perkara yang amat berharga dalam hidup sesiapa saja..

Sehinggalah hari ini, Hari Raya Korban kedua saya di bumi Mesir.. dan mungkin ke-22 di sejak bergelar manusia yang dipinjamkan nyawa.

Sirah Nabi Ibrahim cukup mengajar erti pengorbanan bagi saya pada hari ini. Baginda yang dikurniakan nikmat seorang anak di waktu senja hidupnya diminta meninggalkan anak dan isterinya di bumi yang tandus tiada jasad walau seorang. Sudahlah dikurniakan nikmat putera di pengakhir usia, lalu diarah pula meninggalkan kedua permata hati itu di tanah tandus tanpa air dan makanan. Namun, lembaran cerita pengorbanan itu cukup besar dalam sejarah manusia. Cerita itu telah menghidupkan bumi yang tandus itu menjadi bumi berpusat ibadah agung. Cerita-cerita pengorbanan itu telah membukukan pelbagai perkara penting sehingga tercatat satu rukun di dalam ibadah Haji.

Secara mudahnya, Nabi Ibrahim berkorban demi umat sejagat. Dek hentakan halus kaki kecil insan bernama Ismail, tanah itu telah menjadi tanah tumpuan manusia sehingga kini.

Ada banyak contoh yang wujud bila kita menulis berkaitan pengorbanan, saya cuba pilih situasi yang teramat dekat dengan keadaan sekeliling saya. Situasi ini situasi pengorbanan dalam sedar tak sedar. 

Satu gambaran ringkas. Banyak perkara yang terpaksa ditempuh oleh sebahagian sahabat sepengajian saya sepanjang mereka terlibat dengan kegiatan berpersatuan.  Banyak masa yang mereka korbankan demi kebaikan ahli sepengajian yang lain. Banyak wang yang mereka laburkan demi memastikan kemesraan terjalin di antara kelompok-kelompok yang wujud. Juga, banyak air mata yang mengalir dan keluhan terzahir  kerana setiap kali nilai murni yang mereka terjemahkan dicemuh oleh mereka yang tersilap tafsir. Banyak perkara yang mereka tempuh untuk mencapai kematangan berkaitan ilmu dan persatuan.

Tidak terkecuali, wujud juga golongan yang saya jumpa suka MENGAMBIL KESEMPATAN DI ATAS PENGORBANAN / KELETIHAN ORANG LAIN. Ada golongan yang saya jumpa suka mengkritik hasil kerja orang lain berdasarkan pemerhatian kaku mereka. Ada golongan yang saya jumpa mereka yang gemar hidup dalam dunia mereka sahaja. Ada yang ketawa sentiasa. Ada yang bergaya dengan nikmat yang Allah hadirkan pada mereka. Ada juga yang menangis kerana tersentuh dengan ‘lakonan sahabat-sahabat yang hampir sebaya dari korea’. Ahh, bermacam-macam ragam yang membuatkan saya memaksa untuk melihat kembali diri saya..

Mereka semua terlibat dengan aktiviti MENERIMA dan MEMBERI. Apapun, mereka tetap punya nilai korban, samada berkorban atau mungkin terkorban. Cuma, ada sebahagian cara mereka berkorban tidak selesa di mata sahabat-sahabat yang lain. Lalu, mereka dikritik kerana tidak mengimbangi sebaiknya gaya pengorbanan mereka. Ya! Ada segelintir dari mereka yang gagal mengimbangi sebaiknya gaya PENGORBANAN mereka Contohnya sibuk merancang program pengislahan ummat sehingga kadang-kadang lupa membelek kitab pengajian. Tapi amatlah jelek jika mereka dihentam teruk dari mereka yang TERKORBAN masa dan air mata demi sebuah cerita korea.. ataupun terkorban harta demi menggayakan fesyen mengikut zaman.. juga terkorban masa demi kepentingan diri.. malah kitab berdebu hilang tak tahu ke mana pergi.

Hidup di dunia kita TIDAK BOLEH BERDIRI DI ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN SAHAJA. Kita selesa belajar sekarang di atas penat lelah orang lain.. kita kenal suasana sekarang juga di atas penat lelah orang lain.. Percayalah! Pasti ada secubit penat lelah orang lain yang pernah kita kecap.. Tapi, penat lelah apakah yang pernah kita terjemahkan kembali untuk sahabat yang hidup SEBUMBUNG dengan kita..

Bagi sahabat yang sentiasa berkorban untuk kemaslahatan teman sepengajian, imbangilah sebaiknya nilai murni itu. Jangan sampai kalian mengenepikan tujuan asal kalian yakni menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu sebaiknya dan berkorbanlah tenaga dan masa untuk kita sama-sama terjemahkan ISLAM dalam diri kita melalui BUMBUNG PERSATUAN yang ada. Saya tetap memahami dan sentiasa menghargai setiap pengorbanan yang kalian curahkan. Imbanglah sebaiknya kerana ilmu itu adalah keutamaan untuk kita mengawal kesatuan ummat..

Buat sahabat yang terbiasa dengan MENERIMA. Latihlah diri untuk mula bersifat dengan MEMBERI. Imbanglah sebaiknya agar hidup kita sentiasa berbakti di antara satu sama lain. Sesungguhnya, dalam nilai MEMBERI itu tersirat PENGORBANAN yang suci. Dalam kita menuntut, pekalah dengan keadaan sekeliling kita. Kita dilahirkan dengan acuan ISLAM. Kita diajar menyuruh kebaikan mencegah keburukan. 


BERKORBANLAH selagi mana hayat ada di dalam jasad. Usah hidup dengan diri sendiri.

Salam Eid Adha 1434 Hijrah.



No comments:

Post a Comment