Monday, October 7, 2013

Tawaran Zulhijjah

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah kita masih lagi dipinjamkan nyawa untuk meneruskan kehidupan selaku hamba di muka bumi ini, khususnya kepada Tholibul Ilmi di bumi Mesir. Maka sewajarnya kita sentiasa memanjatkan kalimah Hamdalah kepada Tuan segala makhluk atas nikmat Iman dan Islam yang masih utuh berada dalam diri kita. Sesungguhnya kehidupan ini tidaklah diberi secara percuma tetapi pastinya akan dipersoalkan oleh Pencipta kita kelak..

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Kini kita sudah berada pada bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada fasa sepuluh pertama Zulhijjah.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya:

“Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah) dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah.

Seperti yang kita tahu, amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syara.

Namun bagi mereka yang tidak berkemampuan khususnya kepada kita sendiri yang berada di ruang lingkup penuntut ilmu ini sewajarnya menggagahkan diri untuk sama-sama melaksanakan ibadah-ibadah sunat pada bulan ini.

Pelbagai amalan yang telah digariskan oleh para Ulama untuk kita berteduh di dalam bulan Zulhijjah. Maka semestinya menjadi satu kerugian jika kita gagal memanfaatkan kehadiran bulan ini. Di sini saya sertakan sedikit amalan yang dipetik dari beberapa artikel dan kitab para Ilmuan Islam sebagai keselesaan untuk kita beramal, antaranya :


BERPUASA

Perbanyakkan berpuasa terutamanya pada Isnin dan Khamis. Lebih-lebih lagi pada Hari Arafah, 9 Zulhijjah.
Abu Qatadah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah S.A.W bersabda :

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

"Puasa pada hari Arafah, aku berharap agar Allah menjadikannya penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya." [Sahih Muslim : 1983]

عَنْ بَعْضِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ ” يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ ،
 وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَثَلاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنَ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ “

"Sebahagian isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa pada sembilan hari awal Zulhijjah, hari Asyura, dan tiga hari setiap bulan iaitu pada hari Isnin pertama dan dua hari Khamis." [Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra : 2701]


MEMPERBANYAKKAN TAKBIR DAN BERZIKIR

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir. Sekurang-kurangnya bermula fajar 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah. Bertakbirlah pada beberapa hari yang mulia ini siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِى أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ أَيَّامُ الْعَشْرِ ، وَالأَيَّامُ الْمَعْدُودَاتُ أَيَّامُ التَّشْرِيقِ . وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو
 هُرَيْرَةَ يَخْرُجَانِ إِلَى السُّوقِ فِى أَيَّامِ الْعَشْرِ يُكَبِّرَانِ ، وَيُكَبِّرُ النَّاسُ بِتَكْبِيرِهِمَا . وَكَبَّرَ مُحَمَّدُ بْنُ عَلِىٍّ خَلْفَ النَّافِلَةِ .

"Ibnu ‘Abbas berkata, “Berzikirlah kalian kepada Allah pada hari-hari yang ditentukan iaitu 10 hari pertama Zulhijah dan juga pada hari-hari tasyriq.” Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah pernah keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijah, lalu mereka bertakbir, lantas manusia pun ikut bertakbir. Muhammad bin ‘Ali pun bertakbir setelah solat sunat." [Sahih al-Bukhari secara ta’liq, bab Kelebihan Beramal Pada Hari Tasyriq]


BERTAUBAT / MENINGGALKAN SEGALA MAKSIAT DAN DOSA

Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Semoga dengan amalan baik kita dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.


Direkodkan dalam Musnad Ahmad :

ابْنَ عَبَّاسٍ ، قَالَ : كَانَ فُلَانٌ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ ، قَالَ : فَجَعَلَ الْفَتَى يُلَاحِظُ النِّسَاءَ ،
 وَيَنْظُرُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : وَجَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْرِفُ وَجْهَهُ بِيَدِهِ مِنْ خَلْفِهِ مِرَارًا ، قَالَ : وَجَعَلَ الْفَتَى
 يُلَاحِظُ إِلَيْهِنَّ ، قَالَ : فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ابْنَ أَخِي ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ مَنْ مَلَكَ فِيهِ سَمْعَهُ ، وَبَصَرَهُ ،
وَلِسَانَهُ ، غُفِرَ لَهُ “

"Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki membonceng Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pada hari Arafah. Pemuda itu menyedari kehadiran kaum wanita lalu melihat ke arah mereka. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam pun memalingkan wajah (pemuda tersebut) ke belakang dengan tangannya berulang kali. Pemuda itu mengulangi pandangannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada pemuda itu: Wahai anak saudaraku, hari ini sesiapa yang menjaga pendengarannya, penglihatannya, dan percakapannya, dia akan diampuni." [Musnad Ahmad : 2922, Shaikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih]


PERBANYAKKAN AMAL SOLEH

Perbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya.


KORBAN

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” [HR Ahmad dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah].

Juga peringatan kepada sesiapa yang sudah memasang niat untuk berkorban pada Eid Adha, elakkan untuk memotong segala bentuk bulu, kuku atau seumpamanya dari tubuh badan kalian pada sepuluh terawal Zulhijjah ini sehingga binatang tersebut dikorbankan.


Teman seperjuangan sekalian,

Bersempena bulan yang mulia ini, sama-samalah tajdidkan kembali niat kita mengembara di Lembah Nil ini. Pasakkan setinggi azam bagi membumikan Islam sesuburnya. Usah menoleh ke tepi kerana kitalah yang memikulnya.

Kehidupan kita sebagai penuntut ilmu hari ini terlalu mencabar. Kita diuji dari pelbagai sudut yang membuatkan diri gagal untuk istiqamah di dalam kebaikan. Kekuatan dalaman perlu dibina semaksimun mungkin supaya menjadi senjata ampuh bagi menangkis godaan Iblis yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Saat inilah nilai ilmu itu penting bagi seorang mahasiswa sebagai penyuluh kehidupan. Saat inilah juga peranan sahabat amat diperlukan bagi memimpin kita bersama-sama menuju Redha-Nya. Jom kita manfaatkan sebaiknya kehadiran bulan Zulhijjah ini.

Akhir sekali, saya tutup catatan ringkas ini dengan sebuah hadis, bahawa ‘Aisyah radhiallahu‘anha telah berkata :

“Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Hari yang paling ramai Allah bebaskan hamba-hambanya daripada neraka ialah hari Arafah. Dia akan menghampiri mereka, kemudian akan membanggakan mereka di hadapan malaikat, lalu berfirman: Apa yang mereka semua mahu?” [Sahih Muslim : 2410]


Sumber:

No comments:

Post a Comment