Tuesday, May 5, 2015

Oh, Naqibku !

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat menulis artikel ini, berbaki kurang sebulan untuk saya menamatkan pengajian secara rasmi di bumi Shoubra, Mesir (semoga lulus dengan baik). Dalam masa yang sama, tempoh perkhidmatan saya dalam persatuan di sini semakin menghampiri ke penghujungnya. Biasalah, bermacam perkara yang sedang bermain di kepala dalam fatrah-fatrah sebegini.

Oktober 2013

Saya menyertai sebuah program orientasi pelajar baru anjuran persatuan di sini. Pada akhir program, kami pelajar baru telah diberikan seorang Naqib Usrah. Berkaitan usrah, saya mengenali ‘bulatan kecil’ ini ketika di sekolah menengah lagi. Namun, di sana saya sekadar tahu usrah itu adalah satu bulatan biasa tanpa menafikan sumbangan Naqib saya ketika itu. Tetap ada manisnya.

Ketika menyambung pengajian Diploma, Usrah di sana lebih terarah kepada proses meng’islah’ diri dan masyarakat. Sedikit demi sedikit Usrah di zaman Diploma telah menanam jiwa Islah dalam diri saya. Mula memupuk rasa minat pada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Jadi, bila menyambung pengajian ke Mesir, antara yang bermain di minda adalah menanti siapakah bakal Naqib baru di sini. Rasa teruja. Dalam masa yang sama mengharapkan ia boleh menjadi individu yang mampu mebimbing diri ini dalam merentasi arus politik gerakan islam yang sangat mencabar ketika itu. Saat itu politik dan gerakan islam sarat dengan pelbagai isu.

Bilamana diumumkan, saya terkedu.. Naqib saya adalah daripada lepasan pengajian yang sama di Darul Quran JAKIM, senior setahun. Beliau bukanlah orang yang aktif ketika mana di Darul Quran. Seingatnya, saya tak pernah bersembang dengannya di sana. Hal ini menyebabkan saya sedikit kecewa disebabkan keinginan yang dipasang awal tadi dilihat mula kabur. Perangai nakal ingin menguji Naqib baru mula timbul. Moga Allah mengampunkan salah silap saya terhadap beliau.

Tersenyum seketika saat menceritakan kembali kisah ini.

Dalam diam, kehadiran beliau dalam episod saya di Mesir banyak membantu kehidupan saya sebagai penuntut ilmu di sini. Wataknya yang terlalu merendah diri pada awalnya membuatkan niat nakal saya terpadam secara perlahan-lahan. Banyak kata-katanya yang menikam hati ini seperti,

“ Orang yang suka memerli orang ni biasanya merasakan dirinya hebat dan sempurna”

“Sabar dengan percaturan pimpinan, ada benda yang akan kita dapat hikmahnya selepas ini”

“Usaha untuk jangan tidur lepas subuh”

Banyak lagi kata-katanya yang dah luput dari ingatan tetapi telah menikam hati ini secara diam. Sifat yang saya sangat tertarik adalah sifat humble yang ada dalam diri beliau. Sengaja saya menulis sebegini dalam fatrah imtihan yang menghampiri. Jika sempat, akan saya kongsikan lagi beberapa perkara menarik bersifat santai yang saya lalui sepanjang tiga tahun di sini. 

Secara akhirnya, jutaan terima kasih kepada Naqib saya di atas kesabaran melayani kerenah diri ini. Bagi saya, seolah-olah Allah datangkan individu itu bagi membuka jalan untuk saya meneroka dengan lebih dalam nilai ilmu yang ada di Mesir. Doakanlah semoga Allah mempermudahkan lagi urusan pengajian saya selepas daripada saat ini. insyaAllah..


*kepada Naqib, moga enta tak ujub bila baca.. ^ ^

1 comment: