Monday, April 13, 2015

FITNAH ALAM TERBUKA

Bismillahirrahmanirrahim..

Dewasa ini, kita melihat begitu banyak pertelagahan yang berlaku dalam dunia semasa. Baik dari sudut politik, agama dan ideologi. Semuanya saling mencari ruang untuk menguasai pemikiran-pemikiran generasi Y yang mendada berani masuk ke medan dunia terbuka. Kemudahan media yang sepatutnya memberikan banyak kebaikan telah bertukar kepada memberi malapetaka dalam menjaga kesatuan.

Saya pernah terbaca satu buku yang membicarakan berkenaan pengurusan manusia. Antara kata-kata yang dikongsikan oleh Malcolm S. Forbes, Jr., ketua pengarang bagi sebuah majalah bisnes :

“Masihkah kamu ingat kali pertama komputer muncul? Kemunculannya DITAKUTI. TV dikhuatiri dijadikan alat propaganda. Tetapi disebabkan teknologi tinggi, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, komputer menjadi semakin kecil dan kuasa menjadi terlalu besar. Jadi, kita tidak lagi terikat.”

Mikrocip telah memanjangkan jangkauan pemikiran manusia sebagaimana mesin memanjangkan jangkauan otot manusia pada abad yang lalu. Software pada hari ini bagaikan kepingan besi, gentian optic dan skrin digital bagaikan landasan keretapi dan lebuh raya pengangkutan. Maklumat pula adalah bahan mentah yang dicari. Itulah analogi kita hari ini.

Namun sebenarnya, teknologi sahaja tidak cukup ketika kesukaran berlaku. Jangan hanya kerana alat komunikasi mudah didapati tidak bermakna manusia tahu berkomunikasi dengan baik! Ini adalah satu ironi zaman moden. Walaupun alat perhubungan semakin canggih, tidak bermakna akan menghasilkan hasil yang sentiasa positif seandainya gagal menguruskan medan-medan yang ada.

Semuanya berpaksikan kepada iman dalam keasyikan memanfaatkan medium yang ada. Saya yakin perjalanan zaman dari semasa ke semasa akan mematangkan pemuda hari ini. Cuba kita putar kembali diri kita, bermula dari era kelesuan kemudian berdiri dengan semangat islah, anak muda mula menyebarkan idea-idea yang muncul. Semangat yang ada telah melahirkan rasa suka berkongsi sehinggakan kadang-kadang tersilap fakta dan tersilap sumber. Lalu terbit pula istilah tabayun dalam berkongsi dan seterusnya melahirkan pemuda yang dibina dengan sifat tajarud dan berprinsip. Perkara ini meneguhkan lagi keyakinan saya, semua peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Teman yang disayangi,

Apa yang ingin saya bawakan adalah isunya mirip dengan kita hari ini, kita banyak menjadikan sumber ‘kola wa kola / telah berkata dia dan dia’ iaitu menjadikan sumber sekunder tanpa merujuk kepada sumber asal/primer. Perkara seperti ini tidak ubah sebuah radio buruk yang telah membuatkan persepsi terbina dan kebanyakannya akan menghasilkan maklumat yang menyimpang daripada hal sebenar. Budaya bersemuka perlu disuburkan bagi mengelakkan perkara ini menjadi tabiat dalam diri generasi muda.

Dalam kita melewati arus kemodenan dan perbalahan sesama sendiri, janganlah kita jemu untuk mentadabbur Mukjizat Agung Nabi melalui Al-Quran dan Hadith. Rapatkanlah kembali barisan dan perkukuhkan ikatan kebersamaan kita. Ayat ini mempunyai makna yang cukup mendalam bagi seorang pendukung agama Allah.

Allah S.W.T berfirman,

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.  (As-Saff : 4)

Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda,

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam hal berkasih-sayang dan kecenderungan jiwa (simpati) seperti perumpamaan jasad/tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh akan merasakannya, iaitu tidak mampu tidur dan (sakit) demam. (HR Ahmad, Baihaqi, Muslim, Thabrani dan Qudha‘i)

Ayuhlah, kita buktikan iman kita dengan membenihkan sifat-sifat di atas. Leraikan kekusutan yang ada demi mengukuhkan kesatuan kita. Kekurangan yang ada diterima dengan lapang dada dan usah diperbesarkan. Kelebihan yang ada harus digunakan semaksima mungkin bagi meneguhkan sebuah kepimpinan. Suburkan budaya berbincang kerana kalam yang keluar daripada sahabat di luar tampuk kepimpinan tidak wajar diiktibar sebagai pendirian sesebuah kesatuan. Sama-samalah kita menjadi batu-bata kepada gerakan dakwah dan tarbiyah ini.

Wallahualam.



No comments:

Post a Comment