Monday, April 14, 2014

TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Allah memberi keizinan kepada saya untuk berkongsi salah satu bab penting di dalam kitab AFAT ALA THARIQ. Artikel kali ini saya tuju khas kepada diri saya dan para pencinta dakwah sekalian, tak kiralah yang aktif bekerja, yang ketagih mengkritik ataupun apa-apa sahaja.

Sesiapa yang melibatkan dirinya di dalam dunia dakwah, pasti akan berdepan dengan pelbagai mehnah ujian. Kadang-kadang ianya datang daripada luar. Tidak mustahil juga ia datang pada diri sendiri dan itulah yang paling dirisaukan. Hal inilah yang membuatkan kita harus meneliti kembali punca-punca terbantutnya pergerakan dakwah yang sepatutnya menjanjikan hasil kemanisan.

Bilamana saja saya melepasi helaian demi helaian kitab kecil yang bertajuk AFAT ALA THARIQ / Wabak Sepanjang Jalan, hati rasa terkoyak-koyak dihiris susunan tajam ayat-ayat di dalam kitab ini. Saya yakin, ia juga menyentuh hati rakan-rakan yang lain dan ia telah dibuktikan oleh beberapa teman saya yang pernah meluahkan rasa hati kerana terpukul dengan bait-bait itu. Ia memainkan hati sehingga terhirup-hirup, mata dipejam-pejam, dalam menikmati kenikmatannya.

Lalu semua itu memaksa jari saya untuk menulis kembali isi-isi penting yang ada di dalam kitab ini bagi perkongsian bersama.

Banyak tajuk yang wujud di dalam kitab WABAK SEPANJANG JALAN. Kitab ini menyenaraikan segala macam penyakit yang menghinggapi para pendokong dakwah. Namun, tajuk yang ingin saya petik pada ruang waktu ini adalah AL-I’JAB BIL NAFSI iaitu Terpesona Dengan Diri Sendiri.




AL-I’JAB BIL NAFSI
  •  Gembira dan Berharapan Baik
  •  Rasa Besar dan Membesarkan


Dari sudut huraiannya,
  • Suatu kegembiraan dengan diri sendiri hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.
  • Sekiranya perasaan terpesona tadi menyentuh dan menyinggung perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan  ke atas peribadi mereka di samping mengecilkan apa yang mereka lakukan itu, ia dikira AL-GHURUR yakni terlalu mengkagumi diri sendiri. Sekiranya telah menyentuh perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan peribadi mereka, juga meninggikan dirinya ke atas mereka, ianya pula dinamakan AL-TAKABBUR atau begitu begitu mengkagumi dirinya.


Di sini saya mengharapkan kita semua jelas dan mampu membezakan di antara Al-I'jab Bil Nafsi, Al-Ghurur dan Al-Takabbur. Saya cuba meringkaskan.


FENOMENA AL-I’JAB BIL NAFSI BOLEH DIKENAL PASTI MELALUI PERLAKUAN BERIKUT 
  • Menonjol Kebaikan Diri
  • Enggan menerima Nasihat
  • Rasa gembira bila mendengar kelemahan orang lain terutama yang berlaku di kalangan rakan-rakannya.

  
SEBAB BERLAKUNYA AL-I’JAB BIL NAFSI

  • Suasana awal dibesarkan (terikut-ikut dengan cara orang tuanya)
  • Sering dipuji secara berdepan tanpa mengira peraturan hukum syara’
  • Sentiasa mendampingi golongan yang bersifat kagum dengan diri mereka sendiri
  • Berada dalam nikmat dengan melupai penganugerahan nikmat Allah
  • Telah memikul tugas sebelum matang dan tarbiyah secukupnya
  • Lalai atau gagal mengenal hakikat diri
  • Keturunan yang baik dan mulia
  • Keterlaluan dan berlebihan dalam menerima penghargaan dan penghormatan
  • Ketaatan yang melampaui batas
  • Tidak menyedari kesan yang akan timbul dari perlakuan Al-I’jab Bil Nafsi

  
KESAN-KESAN AL-I’JAB BIL NAFSI

Kesan Ke Atas Para Amilin
  • Terjebak ke dalam perangkap al-Ghurur bahkan juga al-Takabbur
  • Terhalang dari mendapat Taufik Allah
  • Kecundang apabila menghadapi suasana gawat dan genting
  • Orang ramai menjauhkan diri dan membencinya
  • Balasan dari Allah sama ada cepat atau lambat
Kesan Ke Atas Gerakan Islam
  • Mudah ditembusi
  • Terhenti atau sekurang-kurangnya agak lambat untuk memperolehi sahabat dan para penyokong


CARA MENGUBATI  PENYAKIT AL-I’JAB BIL NAFSI
  • Sentiasa mengingati hakikat kejadian diri manusia
  • Sentiasa mengingati tentang nikmat Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya
  • Sentiasa memikirkan tengtang mati, kedudukan selepas mati yang penuh derita dan kengerian
  • Sentiasa mendengar dan mengamati kitab Allah dan sunnah Nabi
  • Sentiasa menghadiri majlis ilmu terutama yang membicarakan tentang penyakit hati dan cara merawatnya
  • Sentiasa memerhati keadaan orang yang sakit, cacat anggota, bahkan juga orang yang mati terutama ketika mereka dimandi, dikafan dan ditanam
  • Jauhkan dari bergaul dengan golongan yang kagum dengan diri sendiri
  • Hendaklah sentiasa diingatkan betapa perlunya adab dan tatatertib syara’ dalam menyampaikan sesuatu penghargaan, pujian dan penghormatan juga dalam memberi kestiaan dan ketaatan.
  • Jangan terlalu gopoh memegang teraju kepimpinan
  • Mendedah dan membiarkan diri kepada suatu sikap yang boleh menghapuskan rasa sombong seperti memberi khidmat kepada individu yang tarafnya lebih rendah
  • Muhasabah diri sepanjang masa sehingga ia berjaya mengenal pasti keaiban yang ada pada dirinya
  • Memohon pertolongan dari Allah melalui perantaraan doa, pertolongan dan penyerahan diri kepadanya.
  • Perlu menekankan tentang tanggungjawab individu,tanpa mengambil kira keturunan dan asal usul.

Semua ini saya kutip satu persatu dari kitab Wabak Sepanjang Jalan dan terjemahkan kembali ke dalam penulisan blog bagi sama-sama kita merenung diri. Masih banyak tajuk yang belum dikongsikan di sini seperti penyakit Al-Futur, Al-Israf, Al-Isti’jal, Al-Uzlah dan pelbagai lagi yang mana kebiasaanya menimpa para aktivis dakwah. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kita terjunam dan terus terdampar di dalam lembah yang sangat dalam.



Moga apa yang tercatat di dalam lakaran ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua. Lakaran ini saya tidak sertakan bersama dalil-dalil quran atau hadis kerana tidak ingin memberatkan ruang yang ringkas ini. Saya menggesa pembaca di luar sana agar berusaha untuk mendapatkan kitab ini bagi memandu hati kita dalam melalui lorong dakwah. Begitu banyak dalil yang disertakan di dalam naskhah ini bagi memberi keselesaan kepada para pembaca.

Selamat meneruskan kembara.. moga kita dijauhkan dari penyakit-penyakit songsang dan sentiasa dipandu oleh kebenaran.


1 comment: