Tuesday, April 16, 2013

Idaman yang hampir tercapai..

Bismillah…

Tergerak hati saya untuk menulis lakaran hati pada malam ini. Saat ini, saya sedang berada dalam Kursus Bahasa anjuran Darul Quran JAKIM bagi persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke bumi Mesir hujung bulan Ogos 2012. Bicara ini saya lakar seusai bermain futsal bersama sahabat-sahabat yang bakal terbang jauh seminggu selepas Aidil Fitri.

Alhamdulillah..ucapan yang cuba dihadirkan dari dasar hati. Bersyukur atas perancangan Allah ke atas diri saya. Rebah bangun membesar selama 21 tahun membawa saya sehingga ke hari ini. Walaupun tidak sehebat teman-teman sepentas akademik namun saya bersyukur tidak tercicir dari rahmatNya..dari jagaanNya..

Negara arab. Bumi yang saya idam-idamkan. Entah mengapa saya jatuh hati pada suasana di sana. Sekadar membaca lakaran-lakaran murabbi yg pernah menuntut di sana. Melihat gambar-gambar sahabat yang berhempas di bumi itu. Khusyuk mendengar mulut-mulut yang bercerita. Semuanya membuatkan saya rindu pada suasana di sana. Takhassus Quran wal Qiraat. Jujur..bidang yang tidak saya minati. Tidak pernah terlintas di hati untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Namun, saya terlalu merindui bumi arab dan merindui suasana Al-Azhar yang sentiasa berlegar dalam minda saya.

Maahat Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Al-Azhar Shoubra. Tergerak di sudut hati kecil untuk melanjutkan ke dalam bidang ini..dengan menyerahkan segala percaturan kepada Allah..tanpa tajaan dari sesiapa..bermula dari aliran sains di peringkat menengah, bertukar ke aliran agama pada peringkat diploma, menceburi Diploma Syariah dan semakin meminati bidang itu namun menukar ke bidang Qiraat pada peringkat ijazah..sekali lagi saya membuat keputusan drastik..insyaAllah, saya yakin keputusan ini dipandu daripada suluhan petunjuk Allah s.w.t..

Perasaan gembira dan takut bercampur aduk dalam satu jiwa. Bimbang hanyut dengan dunia asing, bimbang masih membawa tabiat lama, suka bertangguh. Gembira dapat datang menimba ilmu ke Negara arab, bumi Ambiya’..tanah Ulama berlegar..termenung dgn cabaran-cabaran yang ada di sana. Semua itu bercampur baur. Namun, bercampur-baur semua perasaan ini membuatkan saya semakin rindu pada bumi itu.


Tidak pandai arab. Langsung. Kaku dengan bicara-bicara arab. Semua ini tidak mematahkan semangat saya untuk ke sana. Semoga sahabat-sahabat di sana membimbing diri ini untuk lebih kehadapan. Meninggalkan sahabat-sahabat lama dan orang-orang tercinta di Malaysia adalah perkara yang sukar bagi saya..menyerahkan segalanya pada ketentuan Ilahi..kepercayaan kepadamu akan ku pegang seerat-eratnya.

Terima kasih umi abah kerana mengizinkan saya melangkah kaki meninggalkan umi abah dan adik-adik tercinta di kampung halaman. Terima kasih guru-guru yang cekal mendidik diri ini. Doakan pemergian saya nanti membawa pulang Keredhaan Ilahi..



Bumi arab..
Aku rindu akan sapaan udaramu..
Aku rindu akan suasana ilmu yg ada padamu..
Aku rindu pada segala suasana yg dikaitkan denganmu..

Bumi kinanah..
Aku datang padamu..
Demi ilmu-ilmu yg melekat pada persekitaranmu..
Bukan kerana foya2 duniamu..
Moga aku sentiasa berada dalam jagaan pemilikMu..

2300
15 Julai 2012





No comments:

Post a Comment