Bismillahirrahmanirrahim..
Dewasa ini, kita melihat begitu banyak pertelagahan yang berlaku dalam
dunia semasa. Baik dari sudut politik, agama dan ideologi. Semuanya saling
mencari ruang untuk menguasai pemikiran-pemikiran generasi Y yang mendada
berani masuk ke medan dunia terbuka. Kemudahan media yang sepatutnya memberikan
banyak kebaikan telah bertukar kepada memberi malapetaka dalam menjaga kesatuan.
Saya pernah terbaca satu buku yang membicarakan berkenaan pengurusan
manusia. Antara kata-kata yang dikongsikan oleh Malcolm S. Forbes, Jr., ketua pengarang
bagi sebuah majalah bisnes :
“Masihkah kamu ingat kali pertama komputer muncul? Kemunculannya DITAKUTI. TV dikhuatiri dijadikan alat propaganda. Tetapi disebabkan teknologi tinggi, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, komputer menjadi semakin kecil dan kuasa menjadi terlalu besar. Jadi, kita tidak lagi terikat.”
“Masihkah kamu ingat kali pertama komputer muncul? Kemunculannya DITAKUTI. TV dikhuatiri dijadikan alat propaganda. Tetapi disebabkan teknologi tinggi, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, komputer menjadi semakin kecil dan kuasa menjadi terlalu besar. Jadi, kita tidak lagi terikat.”
Mikrocip telah memanjangkan jangkauan pemikiran manusia sebagaimana
mesin memanjangkan jangkauan otot manusia pada abad yang lalu. Software
pada hari ini bagaikan kepingan besi, gentian optic dan skrin digital bagaikan
landasan keretapi dan lebuh raya pengangkutan. Maklumat pula adalah bahan
mentah yang dicari. Itulah analogi kita hari ini.
Namun sebenarnya, teknologi sahaja tidak cukup ketika kesukaran
berlaku. Jangan hanya kerana alat komunikasi mudah didapati tidak bermakna
manusia tahu berkomunikasi dengan baik! Ini adalah satu ironi zaman moden.
Walaupun alat perhubungan semakin canggih, tidak bermakna akan menghasilkan
hasil yang sentiasa positif seandainya gagal menguruskan medan-medan yang ada.
Semuanya berpaksikan kepada iman dalam keasyikan memanfaatkan medium
yang ada. Saya yakin perjalanan zaman dari semasa ke semasa akan mematangkan
pemuda hari ini. Cuba kita putar kembali diri kita, bermula dari era kelesuan kemudian
berdiri dengan semangat islah, anak muda mula menyebarkan idea-idea yang muncul.
Semangat yang ada telah melahirkan rasa suka berkongsi sehinggakan
kadang-kadang tersilap fakta dan tersilap sumber. Lalu terbit pula istilah
tabayun dalam berkongsi dan seterusnya melahirkan pemuda yang dibina dengan sifat
tajarud dan berprinsip. Perkara ini meneguhkan lagi keyakinan saya, semua
peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Teman yang disayangi,
Apa yang ingin saya bawakan adalah isunya mirip dengan kita hari ini, kita
banyak menjadikan sumber ‘kola wa kola / telah berkata dia dan dia’ iaitu menjadikan
sumber sekunder tanpa merujuk kepada sumber asal/primer. Perkara seperti
ini tidak ubah sebuah radio buruk yang telah membuatkan persepsi terbina dan
kebanyakannya akan menghasilkan maklumat yang menyimpang daripada hal sebenar. Budaya
bersemuka perlu disuburkan bagi mengelakkan perkara ini menjadi tabiat dalam
diri generasi muda.
Dalam kita melewati arus kemodenan dan perbalahan sesama sendiri, janganlah kita jemu untuk mentadabbur Mukjizat Agung Nabi melalui Al-Quran dan Hadith. Rapatkanlah kembali barisan dan perkukuhkan ikatan kebersamaan kita. Ayat ini mempunyai makna yang cukup mendalam bagi seorang pendukung agama Allah.
Allah S.W.T berfirman,
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh. (As-Saff : 4)
Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda,
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam hal berkasih-sayang dan kecenderungan jiwa (simpati) seperti perumpamaan jasad/tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh akan merasakannya, iaitu tidak mampu tidur dan (sakit) demam. (HR Ahmad, Baihaqi, Muslim, Thabrani dan Qudha‘i)
Ayuhlah, kita buktikan iman kita dengan membenihkan sifat-sifat di
atas. Leraikan kekusutan yang ada demi mengukuhkan kesatuan kita. Kekurangan
yang ada diterima dengan lapang dada dan usah diperbesarkan. Kelebihan yang ada
harus digunakan semaksima mungkin bagi meneguhkan sebuah kepimpinan. Suburkan
budaya berbincang kerana kalam yang keluar daripada sahabat di luar tampuk
kepimpinan tidak wajar diiktibar sebagai pendirian sesebuah kesatuan. Sama-samalah
kita menjadi batu-bata kepada gerakan dakwah dan tarbiyah ini.
Wallahualam.