Bismillahirrahmanirrahim..
Dulu di
kampus lama atau zaman menengah, bila tiba sahaja mana-mana subjek pengajian,
saya sering mengelakkan diri dari dikenali oleh ustaz-ustaz pengajar. Kalaupun
mereka kenal, itu hanya kerana kenakalan dan masalah yang saya buat. Tidur,
Ponteng, Aktif Sukan atau sebagainya.
Bila saya
imbau kembali, ia adalah satu kerugian pada diri saya (ia kerugian bukan penyesalan kerana dengan sejarah itulah membentuk saya hari ini (n_n) ..). Kesannya, saya
kekurangan guru-guru rapat yg boleh saya jadikan rujukan/murabbi dalam membaca
kompas kehidupan yg akan datang. Itu kisah lama yang mana saya dan sesiapapun
pasti cuba memperbaiki dari semasa ke semasa.
Hari ini,
saya memerhatikan masih wujud dalam kalangan kita yang suka menjarakkan diri daripada guru-guru sendiri. Bila hadir ke kuliah, ia meletakkan diri di hujung-hujung
kerusi. Duduk di hujung bukanlah masalah yang perlu di'highlight'kan, tapi hubungan yang dibina antara guru dengan kita itulah yang menjadi permasalahan asas. Menjadikan mereka sebagai rujukan permasalahan, pertolongan dan seumpamanya adalah amat penting bagi mengikat diri kepada guru kita. Tidak kiralah di mana-mana institusi pengajian sekalipun. Tambahan pula jika kuliah di Azhar ini yg tiada kewajipan/markah
kehadiran kepada para pelajar. Lantas, bila bertandang rasa malas, ia akan bebas untuk hadir
atau tidak kerana dia tidak terikat dengan sesiapa.
Bermulazamah
dengan syeikh pasti akan membuahkan keistimewaan. Kalaupun bukan ilmu yg kita
dapat, pasti sekurang-kurangnya adab dan akhlak mereka yang akan kita kecap.
Bermulazamah dengan syeikh akan membuatkan kita segan untuk tidak hadir ke
kelasnya walaupun ianya tidak wajib. Jadi,
usahalah agar guru-guru kita mengenali kita. Satu perasaan yg amat tenang pada
hati saya bila guru bertanya akan ketidakhadiran saya.
"Kamu
ke mana??" ..
"Kamu
malas! betul atau tak??" ..
"Kuatkan
semangat wahai anakku!" ..
"Istiqamahlah!" ..
Itu adalah soalan yang biasanya muncul bila saya tidak hadirkan diri (macam banyak sangat tak hadir ni~).. dan ini menjadi ubat kepada semangat diri yang kadang-kadang jatuh. Semua itu saya anggap
sebagai nasihat dalam dunia pengajian saya. Tika ibu dan ayah kita jauh di
Malaysia, maka siapa lagi yg boleh menggantikan mereka?
Kecaknaan
Syeikh/Guru pada kita adalah satu penghargaan yang besar bagi mana-mana individu
sekalipun. Pernah saya ditegur ketika gagal menghadirkan diri ketika sesi talaqi
bersendirian dengan seorang Syeikh pada awal pengajian saya di bumi Mesir..
"Kamu
ke mana tak hadir sebelum ni?.. Kalau kamu malas dan tak mampu istiqamah dengan aku, silalah
pergi menuntut dengan guru-guru lain. Masih ramai lagi guru yang ada di sana
(sambil menunjukkan
jari ke setiap penjuru masjid). Kalau kamu ingin bertalaqi dengan aku, kamu mesti istiqamah!" ..
Cukup menikam hati. Beliau sememangnya menekankan aspek istiqamah.
Berada dalam
sistem pengajian yang tidak mewajibkan kehadiran ke kuliah adalah satu cabaran
besar. Ditambah lagi dengan kesibukan kita dengan aktiviti persatuan, semua itu
mencabar jati diri seorang penuntut ilmu. Jadi, saya amat menyarankan agar kita
semua mengikat hati kita dengan para masyaikh/guru-guru agar kita rasa segan
untuk meninggalkan setiap kelas yang kita libatkan. Itu hanya satu faktor, banyak lagi faktor lain yang akan muncul bila kita rapat dengan guru kita. Tak kiralah di Malaysia atau di mana-mana sekalipun.
Ya Allah,
kurniakan kami ILMU yang bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan Islam
secara umumnya..