Bismillah..
Jauh saya merantau,
mencari satu perkara yang amat berharga dalam hidup sesiapa saja..
Sehinggalah
hari ini, Hari Raya Korban kedua saya di bumi Mesir.. dan mungkin ke-22 di
sejak bergelar manusia yang dipinjamkan nyawa.
Sirah Nabi
Ibrahim cukup mengajar erti pengorbanan bagi saya pada hari ini. Baginda yang dikurniakan nikmat
seorang anak di waktu senja hidupnya diminta meninggalkan anak dan isterinya di
bumi yang tandus tiada jasad walau seorang. Sudahlah dikurniakan nikmat putera
di pengakhir usia, lalu diarah pula meninggalkan kedua permata hati itu di tanah tandus tanpa air dan makanan. Namun, lembaran cerita pengorbanan itu cukup besar dalam
sejarah manusia. Cerita itu telah menghidupkan bumi yang tandus itu menjadi
bumi berpusat ibadah agung. Cerita-cerita pengorbanan itu telah membukukan pelbagai perkara penting sehingga tercatat satu rukun di dalam ibadah Haji.
Secara
mudahnya, Nabi Ibrahim berkorban demi umat sejagat. Dek hentakan halus kaki
kecil insan bernama Ismail, tanah itu telah menjadi tanah tumpuan manusia
sehingga kini.
Ada banyak contoh yang wujud bila kita menulis berkaitan pengorbanan, saya cuba pilih situasi yang teramat dekat dengan keadaan sekeliling saya. Situasi ini situasi pengorbanan dalam sedar tak sedar.
Satu gambaran ringkas. Banyak
perkara yang terpaksa ditempuh oleh sebahagian sahabat sepengajian saya sepanjang mereka terlibat dengan kegiatan berpersatuan.
Banyak masa yang mereka korbankan demi kebaikan ahli sepengajian yang lain.
Banyak wang yang mereka laburkan demi memastikan kemesraan terjalin di antara
kelompok-kelompok yang wujud. Juga, banyak air mata yang mengalir dan keluhan
terzahir kerana setiap kali nilai murni
yang mereka terjemahkan dicemuh oleh mereka yang tersilap tafsir. Banyak
perkara yang mereka tempuh untuk mencapai kematangan berkaitan ilmu dan persatuan.
Tidak
terkecuali, wujud juga golongan yang saya jumpa suka MENGAMBIL KESEMPATAN DI ATAS PENGORBANAN / KELETIHAN ORANG LAIN. Ada golongan yang saya jumpa suka mengkritik hasil kerja
orang lain berdasarkan pemerhatian kaku mereka. Ada golongan yang saya jumpa
mereka yang gemar hidup dalam dunia mereka sahaja. Ada yang ketawa sentiasa.
Ada yang bergaya dengan nikmat yang Allah hadirkan pada mereka. Ada juga yang
menangis kerana tersentuh dengan ‘lakonan sahabat-sahabat yang hampir sebaya dari
korea’. Ahh, bermacam-macam ragam yang membuatkan saya memaksa untuk melihat
kembali diri saya..
Mereka semua
terlibat dengan aktiviti MENERIMA dan MEMBERI. Apapun, mereka tetap punya nilai
korban, samada berkorban atau mungkin terkorban. Cuma, ada sebahagian cara
mereka berkorban tidak selesa di mata sahabat-sahabat yang lain. Lalu, mereka
dikritik kerana tidak mengimbangi sebaiknya gaya pengorbanan mereka. Ya! Ada segelintir
dari mereka yang gagal mengimbangi sebaiknya gaya PENGORBANAN mereka Contohnya sibuk merancang program pengislahan ummat sehingga kadang-kadang lupa membelek kitab pengajian. Tapi
amatlah jelek jika mereka dihentam teruk dari mereka yang TERKORBAN masa dan
air mata demi sebuah cerita korea.. ataupun terkorban harta demi menggayakan
fesyen mengikut zaman.. juga terkorban masa demi kepentingan diri.. malah kitab berdebu hilang tak tahu ke mana pergi.
Hidup di
dunia kita TIDAK BOLEH BERDIRI DI ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN SAHAJA. Kita selesa
belajar sekarang di atas penat lelah orang lain.. kita kenal suasana sekarang
juga di atas penat lelah orang lain.. Percayalah! Pasti ada secubit penat lelah
orang lain yang pernah kita kecap.. Tapi, penat lelah apakah yang pernah kita
terjemahkan kembali untuk sahabat yang hidup SEBUMBUNG dengan kita..
Bagi sahabat
yang sentiasa berkorban untuk kemaslahatan teman sepengajian, imbangilah
sebaiknya nilai murni itu. Jangan sampai kalian mengenepikan tujuan asal kalian
yakni menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu sebaiknya dan berkorbanlah tenaga dan masa
untuk kita sama-sama terjemahkan ISLAM dalam diri kita melalui BUMBUNG
PERSATUAN yang ada. Saya tetap memahami dan sentiasa menghargai setiap pengorbanan
yang kalian curahkan. Imbanglah sebaiknya kerana ilmu itu adalah keutamaan
untuk kita mengawal kesatuan ummat..
Buat sahabat
yang terbiasa dengan MENERIMA. Latihlah diri untuk mula bersifat dengan
MEMBERI. Imbanglah sebaiknya agar hidup kita sentiasa berbakti di antara satu
sama lain. Sesungguhnya, dalam nilai MEMBERI itu tersirat PENGORBANAN yang suci.
Dalam kita menuntut, pekalah dengan keadaan sekeliling kita. Kita dilahirkan
dengan acuan ISLAM. Kita diajar menyuruh kebaikan mencegah keburukan.
BERKORBANLAH
selagi mana hayat ada di dalam jasad. Usah hidup dengan diri sendiri.
Salam Eid Adha 1434 Hijrah.