Khusyuk aku mendengar kalam
beliau. Beliau yang semakin dikenali atas catitan harian ringkasnya, 'Hari Ini
Dalam Sejarah' sedang berkongsi pandangan dan pengalaman dalam merasmikan Mesyuarat
Agung Tahunan Pemuda PAS Kota Bharu.
Terasa sahaja ingin ditaip satu
persatu butiran itu untuk dikongsikan bersama teman-teman di media sosial. Namun
kerana ucapannya terlalu lama (hampir sejam) dan tidak ingin artikel ini
terlalu panjang, lalu coretan ini cuba memilih beberapa butiran penting saat
ini untuk dikongsi bersama.
Beliau yang aku maksudkan adalah Al-Fadhil Dr Fadhli Ghani telah memulakan ucapan dengan cuba mengingatkan kembali teguran
yang keluar daripada bicara Us Dr Riduan Nor ketika Usrah Gabungan Pemuda Kota
Bharu beberapa hari lepas. Cuma dalam ucapan perasmiannya ini, beliau cuba
mengulasnya dengan lebih dalam dengan menyarankan kepada pemuda PAS agar memperbaiki
dan pertingkatkan beberapa perkara yang mungkin kita terlepas pandang di
Kelantan.
a) Pertama dari sudut TARBIYAH
PAS harus
perkasakan kembali Tarbiyahnya.
Ketika PAS kalah
pada tahun 1978, PAS diibaratkan seperti berada dalam satu kegelapan. Seolah
tiada cahaya(harapan) untuk menang bagi hari-hari seterusnya kerana isu-isu
yang sedang melanda PAS saat itu. Namun kegelapan itu bukanlah kelam yang
selama-lamanya kerana kemenangan berjaya
dicapai kembali pada tahun 1990.
Sehinggalah hari
ini Kelantan mengecapinya, HASIL KEKUATAN DALAMAN YANG DIBINA SELEPAS KEKALAHAN.
Jasa-jasa orang dahulu begitu besar maknanya kepada kemenangan yang kita rasai
hari ini di Kelantan. Bila dikaji, antara sebab kemenangan itu kembali datang dan
Kelantan mampu dikekalkan adalah kerana PAS Kelantan mula mengatur rentak
sebaik sahaja menimpa kekalahan. Pergerakan jamaah dan jati diri ahli mula diperkukuhkan
bagi membentuk teras dalam Jamaah.
Tarbiyah
kembali diperkasakan. Dewan Zulkifli telah menjadi saksi akan kewujudan kem-kem
ini satu ketika dahulu. ATGNA mula merencanakan kuliah Dhuhanya dan setiap
lapisan jentera penerangan parti dikerah untuk hadir. Kemudian wajib bagi
mereka menyampaikan kembali butiran pengisian itu kepada orang lain sama
seperti yang disampaikan oleh TGNA. Sehingga diceritakan, 'butiran pengisian
yang sama' betul-betul sampai ke setiap lapisan masyarakat. Maknanya delivery
maklumat Berjaya diselaraskan, sehingga segala benda yang dikehendaki oleh pimpinan/ATGNA
disalurkan sebaiknya ke peringkat bawah. Kesatuan fikrah mula dibina secara
berperingkat. Antara perkara yang ditekankan adalah pemahaman dalam berjemaah,
bukannya sekadar memahami Islam secara umum.
b) Kedua dari sudut PENGKADERAN
Dewasa ini bila
kita berhadapan dengan isu-isu panas, antara yang banyak terkeliru adalah
orang-orang muda. Terutamanya orang yang tidak melazimi aktiviti-aktiviti Tarbiyah
Jemaah. Sebelum ini kita biarkan sahaja individu-individu yang condong kepada
kita, dengan berteori sekurang-kurangnya mereka menyokong apa yang PAS
perjuangkan. Bagi kita asal mereka mampu bertakbir dalam program kita, ia sudah
memadai . Malangnya, bila ribut mula melanda PAS, ramai yang rapuh dan tumbang.
Di sana, kita tersedar akan kesannya bila membiarkan orang muda kesampingkan
proses pembinaan. Sedangkan proses pembinaan itu adalah penting bagi menjadikan
mereka teras dalam Jemaah.
Al-Fadhil juga
mengajak pemuda memerhatikan peluang pengkaderan di setiap peringkat cukup
banyak. Jika di Kelantan kita mempunyai sekolah YIK, kita ada UBES. Di lain
negeri pula kita ada madrasah-madrasah(contohnya Darul Quran Rusila, Darul Ulum dsb)
yang berada direct di bawah jamaah. Kurangnya adalah kita tidak cuba memanfaatkan
sebaiknya. Sehingga hari ini adik-adik remaja di sekolah YIK walaupun sudah 4
tahun bermukim di sana tapi masih terbiar tanpa usrah. Adik-adik remaja ini
mungkin hebat dalam ilmu-ilmu teras, namun gagal memahami konsep berjemaah yang
kita kehendaki. Lihatlah bagaimana hari ini ISMA, IKRAM dsb (IRC) begitu serius
menekankan berkenaan perkaderan. Mereka sedar satu ketika dahulu mereka pernah
terputus perkaderan dan sekarang, mereka mula membina kembali. Mereka juga sedar
satu ketika mereka telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Dr Zul
dan seangkatannya.
Sekiranya
berterusan begini, kita akan kehilangan pelapis untuk memikul beban perjuangan
ini. Maka sewajarnya kita pendukung PAS perlu memikirkan cara untuk pertingkatkan
pengkaderan di peringkat masing-masing. Samada kembali membangunkan
sekolah-sekolah jamaah yang hampir rebah sebelum ini atau seumpamanya. Dengan menekankan
kembali aspek pengkaderan, kita mampu membina fikrah-fikrah berjemaah daripada
kecil lagi. Jika diperhatikan hari ini adik-adik kita tidak mengenali PAS
dengan sebaiknya. Hakikatnya mereka kenal Pas itu hanya pada jasad ATGNA tetapi
gagal memahami apa yang sedang PAS perjuangkan. Usah bicara berkenaan PAS,
keperluan berjemaah pun kabur dan kelam.
Seterusnya, Al-Fadhil US Dr
Fadhli Ghani melanjutkan bicaranya dengan membawa kami merenung kembali hakikat
pergolakan yang sedang berlaku. Sememangnya kita harus beriman, setiap orang
daripada kita mesti akan diuji oleh Allah S.W.T dalam melalui jalan kehidupan
ini. Ujian datang untuk melihat siapa yang benar-benar beriman atau tidak.
Allah S.W.T bila ingin mendatangkan ujian kepada orang yang sedang berjuang
untuk agamaNya, sudah pasti Allah akan datangkan ujian yang boleh menggugat
perjuangan yang kita dukungi selama ini.
Sejarah telah menceritakan kepada
kita ahli PAS pernah diuji dengan ISA, diuji dengan wang dan sebagainya. Lalu harus
kita menyedari, bilamana Allah mahu menguji manusia, Dia akan mencari titik
yang paling kita lemah. Titik inilah yang tidak sama antara kita sebagai
manusia. Ada orang lemah dengan harta, ada orang lemah dengan wanita dan ada
juga yang lemah dengan pangkat. Mungkin bagi segelintir orang tiada masalah
untuk hadir ke setiap program Jemaah dan mampu melaziminya setiap masa. Namun
mungkin di sana pula, Allah mengujinya sudut kewangan. Ini kerana titik
kelemahan kita berbeza.
Saat ini di dalam PAS, antara
titik lemah yang ketara pada kita adalah ujian sebuah KETAATAN, KESETIAAN dan
KEPERCAYAAN. Setelah hampir 60 tahun PAS bergerak, masyarakat semakin ramai
mendekati PAS dan kita melihat seolah kemenangan sedang menghampiri kita.
Namun tiba-tiba mula ada yang buat
kepala, tak dengar kata dan rasa diri mereka sahaja yang betul. Maka saat itu kita
diuji dengan sebuah KETAATAN. Bila kita berkawan(bertahalluf), ada dalam kalangan
kita keliru nak ikut PAS atau DAP. Saat itu kita mula diuji dengan sebuah KESETIAAN.
Bila kita tengok ramai pemimpin lain yang cerdik pandai, kita mula berfikir
samada pemimpin kita yang cerdik atau pemimpin orag lain yang lebih cerdik. Kita
mula mempercayai ayah orang lain daripada ayah sendiri. Maka ketika itu kita
diuji dengan ujian KEPERCAYAAN.
Semua ujian ini iaitu ujian taat,
wala’ dan sikoh sedang melanda kita. Padahal ketika kita kecil remaja dahulu
kita sentiasa melazimi tajuk-tajuk ini dan kita mudah menghuraikannya dalam
setiap usrah. Lidah kita mudah menuturkannya dan kadang-kadang ligat menasihati
adik-adik dan mad’u kita akan perkara ini.
Demikianlah itu, kisah tentera
Talut cukup menjadi pengajaran yang besar buat kita dalam erti sebuah ketaatan,
kesetian dan kepercayaan kita kepada jemaah. Di saat jauhnya medan pertempuran
dan keletihan melanda, mereka melalui sebatang sungai. Dalam suasana yang letih
dan dahaga itu, muncul pula arahan agar tidak meminumnya. Saat itu betapa ramai
yang mempersoalkan arahan tersebut kecuali mereka yang sedikit. Namun di sana
Allah menegaskan betapa banyak kumpulan yang sedikit mampu mengalahkan kumpulan
yang banyak sebagai motivasi buat tentera Talut.
Sampai hari ini aku bersyukur
kerana masih dikejapkan hati untuk bersama jemaah ini. Walaupun ada yang
berhujah PAS ini bukannya sebuah agama dan hanyalah wasilah, tidak wajib untuk
diikuti. Namun, aku menyedari wasilah inilah yang paling layak untuk aku
serahkan segala apa yang ada bagi meletakkan Islam pada tempatnya untuk
melunaskan beberapa tuntutan ayat Allah yang kita pelajari. Secara akhirnya
pesanku, janganlah kita MENGHIDUPKAN MANA-MANA WADAH yang boleh MERENCATKAN
WASILAH INI untuk terus menapak ke hadapan.
Syafiq Sarifuddin