Thursday, April 24, 2014

KITA KEHILANGANNYA...

Bismillahirrahmanirrahim..

Petang tadi hujan membasahi bumi pengajian saya di perantauan membuatkan perjalanan saya untuk pulang ke rumah agak perlahan kerana takungan air memenuhi jalan-jalan kampung di Mesir. Petanda musim panas menghampiri. Arab pasti bersuka ria kerana air langit ini bukanlah seringkali turun seperti di Malasyia. Maka ia adalah fenomena biasa Sang Arab selepas hujan.

(Sekadar contoh walaupun tetap berhampiran pengajian)
Saat ini saya baru usai solat isya'. Keadaan hati pada malam ini agak tak menentu. Saya merenung diri dalam-dalam. Keadaan diri semakin merudum dari hari ke hari. Saya melayan perasaan sehingga tiba ke muka pintu rumah sambil menaip artikel ini melalui telefon bimbit.

RASA ini pernah saya lalui ketika mana berada pada tahun dua pengajian di Darul Quran lebih kurang empat tahun yang lepas. Saya cuba mencari apa perkataan yang sesuai yang sedang bergolak dalam diri ini. 

Hilang Fokus. Itu mungkin perkataan yang sesuai. Study tak seberapa, kerja pun tak ke mana.

Satu ketika dahulu di kampus lama, saya dan sahabat saya pernah bergiat aktif dengan aktiviti persatuan di sana. Kadang-kadang tersepak batu sehinggakan prestasi akademik jatuh dalam sedar. Dan hari ini, sekali lagi bersama teman-teman baru yang lain membantu semampu boleh bagi menjadikan  Biah Solehah di bumi Shoubra sentiasa subur. Semangat sebagai penuntut ilmu yang dulunya membara kian memudar. Keadaan yang hampir sama. Lokasi yang berbeza.

Saya akui, ia tidaklah seberat seperti teman-teman lain yang bergiat dalam komuniti yang lebih besar. Dan itu bukanlah perkara utama yang ingin disentuh. Saya merasakan seperti kehilangan sesuatu di dalam menempuhi lorong ini. Kadang-kadang rasa kosong membaluti diri. Anehnya, teman sekitar ceria sepanjang masa. Mungkin maksiat yang sentiasa dicanang, maka tak hairan jiwa sering gundah. Tak ke begitu??

Pergolakan inilah menjadi faktor utama penulisan di sini. Moga menjadi muhasabah kita bersama.

Petang tadi ketika hujan masih mencurah, saya menghadiri satu perjumpaan bersama teman-teman sepersatuan yg lain. Banyak isu disentuh yang mana saya akui menjadi penyembuh dan memberi ruh tarbawi kepada diri saya. Antara isu perbincangan yang menjadi bualan adalah seputar pergerakan dakwah islam hari ini yang kehilangan MURABBI.

Murabbi itu banyak pentafsirannya.

Pada saya, Murabbi itu adalah satu jasad yang kehadirannya membuatkan Ruh Tarbiyah terasa menyusup ke dalam hati. Murabbi itu bagi saya, ibarat ibu dan ayah dalam perjuangan. Pada merekalah kita berkongsi rasa dan meminta pandangan.

Seorang teman menambah dalam bicaranya, murabbi itu adalah insan yang mana perilakunya mendahului bicaranya. Bila dikatakan berkaitan ukhuwah, dialah yang paling kerap melakukan ziarah mempereratkam ukhuwah. Benar. Jika dikongsikan agar menjaga solat, pasti dirinya sudah selesai tanpa kecacatan. Jika ditegur menjaga adab, pasti dirinya penuh dengan adab.


Pada jiwa Murabbi itu, tidak wujud istilah 'lihat pada apa yang dikata, bukan kepada siapa yg berkata'. Diri mereka adalah sosok tubuh contoh dalam gerakan. Kadang-kadang terfikir bahawa kita ini suka beralasan dengan menggunakan kata-kata Imam Hassan al-Basri dalam menyampaikan dakwah. Kadang-kadang kita sering memandang rendah pada maksiat atas hujah rahmat Allah itu luas. Itu semua benar. Namun, kekadang semua itu telah mengaburi mata kita dalam menongkah langkah dunia dakwah. Talbis Iblis. Sehingga hati tertutup dengan kesalahan. Nauzubillah..

"Dalam menempuhi hidup ini, pastikan wujud seorang Murabbi dalam diri kamu sebagai petunjuk dalam kompas kehidupan." Masih terngiang-ngiang kata-kata itu.

Hari ini lidah saya terlalu banyak menegur. Tangan saya terlalu banyak menasihati. Ditambah lagi dengan taklifat di dalam sebuah persatuan, menyebabkan kadang-kadang menjadi kewajipan menegur dan menasihati. Sehingga pernah dirasakan, semakin banyak saya bercakap semakin keras hati saya membeku.

Tulisan kali ini saya iktibar sebagai warkah rindu saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan di tempat pengajian lama dahulu. Saya anggap tulisan saya pada malam ini adalah sedikit diari hidup yang saya bukakan untuk perkongsian bersama. Saya rindukan teman-teman pentarbiyahan saya di bumi Malaysia yang mampu menangis bersama-sama dalam mengenang dosa. Saya rindukan teman-teman seperjuangan yg mampu menegur dalam keterlekaan. Saya rindukan mereka yang mampu memberi senyuman walaupun kocek kekeringan membiayai program.


Moga mereka semua sentiasa Tsabat atas jalan itu. 

Walaubagaimanapun, berdasarkan catitan di tengah-tengah tulisan tadi, saya ingin khabarkan bahawa kita hari ini telah kekurangan atau mungkin kehilangannya. Maka perlu menjadi satu kesedaran kepada kita bagi mencetak jiwa-jiwa amilin dakwah hari ini agar diri mereka mampu membesar dengan membawa tittle MURABBI UMMAH.

Aku Menulis Tuk Bercerita.
Berkongsi Derita Berbahagi Bahagia.

Uhibbukum Fillah..

Thursday, April 17, 2014

Golongn Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim..

Malam ini saya terasa ingin meneliti kembali lembaran kata-kata Syeikh Fathi Yakan di dalam kitabnya Al-Mutasaqitun Ala thoriq Ad-Dakwah. Sebelum itu, alangkah baiknya kita hadiahkan sekuntum doa buat insan tegas Syeikh Fathi yakan ini yang telah meninggalkan kita pada tahun 2009 yang lepas... Al-fatihah...

Sahabat yang dirahmati Allah, satu benda wajib bagi Abnaul Harakah adalah sentiasa memuhasabah/koreksi diri sendiri bagi memastikan tidak terjerumus dalam kalangan mereka yang pernah tersilap langkah atau mungkin dihijabkan oleh kabus iblis yang sentiasa memerangi jalan ini. Kita doakan agar hati-hati kita ditautkan akan rasa kecintaan sesama kita seperti rasa cinta sesama sahabat-sahabat Rasulullah Radhiyallah Anhum.

Kita sedia maklum, gejala keciciran ini sudah berlaku sejak dahulu lagi. Di dalam sirah Rasulullah telah mencatatkan perihal orang-orang yang pernah tercicir dalam jalan dakwah. Antaranya seperti kisah sahabat yang tidak mengikut serta ke dalam perang Tabuk yang mana pernah saya ceritakan di dalam post sebelum ini. Kisah habib bin abil Balta'ah. Kisah Masjid dhirar. Kisah Hadhithul Ifk. Kisah peristiwa Abu Lubabah. Semua itu haruslah menjadi cerita-cerita yang segar dalam akal kita dengan harapan ia menjadi peringatan di sepanjang jalan dakwah kita.



Di dalam kitab ini menyenaraikan punca-punca berlakunya keciciran. Hal ini telah dibahagikan kepada tiga faktor utama iaitu dari sudut Gerakan, Individu dan Sebab-Sebab luar yang menekan.

Antara masalah yang berpunca daripada gerakan adalah kerana kelemahan dari sudut tarbiyah, tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai, tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota, tidak mengambil berat hal ahli, tidak menyelesaikan persoalan dengan segera, wujud pertikaian dalaman dan pimpinan digalaskan kepada mereka yang tidak layak.

Seterusnya berkaitan masalah yang berpunca dari individu itu sendiri. Antaranya adalah Tabi'i yang tidak tetap, risau dan takut sesuatu menimpa diri dan pendapatannya, bersifat melampau, bermudah-mudahan dan longgar, tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjolkan diri, cemburukan orang lain dan yang terakhir fitnah senjata.

Pada bab yang terakhir, Syeikh Fathi Yakan menerangkan berkaitan masalah yang datang daripada pihak luar yang sentiasa menekan. Antara bentuk tekanannya adalah tekanan dari sudut ujian, tekanan keluarga, tekanan persekitaran, tekanan gerakan-gerakan bahaya dan tekanan yang bermuka-muka.

Saya memahami ada bait-bait yang tidak jelas pada penulisan saya di atas kerana saya menulisnya tanpa menjelaskan maksud sebenar. Seperti biasa, tulisan saya di sini hanya sekadar pencetus semangat/membuka pintu kepada entum untuk merujuk kembali kitabnya yang sebenar.

Saya menasihati diri saya dan kita semua agar sentiasa memperkemaskan pengetahuan kita berkaitan gerakan-gerakan islam agar kita tidak menjadi punca ke arah perpecahan. Cubalah dengan apa cara sekalipun untuk kita membunuh sifat malas membaca yang ada dalam diri kita. Kadang-kadang kita punya niat yang murni namun jika digerakkan atas dasar semangat semata tanpa merujuk kepada tulisan/idea pakar-pakar gerakan islam ataupun perbincangan, kita akan gagal membawa idea-idea kebaikan menjadi idea bersifat Rahmat bagi Sekalian Alam. 

Malah menjadi satu kebimbangan, idea yang ingin kita bawa itu menjadi sebab perpecahan gerakan islam yang sedia ada. Saya pernah terkena, dan saya harapkan itulah pengalaman kepada saya di atas jalan ini. Mohonlah petunjuk dalam setiap tindakan. Moga Allah sentiasa memimpin kita.

Buanglah persepsi, dekatilah pertanyaan dan perbincangan jika ada sebarang syak.

Monday, April 14, 2014

TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Allah memberi keizinan kepada saya untuk berkongsi salah satu bab penting di dalam kitab AFAT ALA THARIQ. Artikel kali ini saya tuju khas kepada diri saya dan para pencinta dakwah sekalian, tak kiralah yang aktif bekerja, yang ketagih mengkritik ataupun apa-apa sahaja.

Sesiapa yang melibatkan dirinya di dalam dunia dakwah, pasti akan berdepan dengan pelbagai mehnah ujian. Kadang-kadang ianya datang daripada luar. Tidak mustahil juga ia datang pada diri sendiri dan itulah yang paling dirisaukan. Hal inilah yang membuatkan kita harus meneliti kembali punca-punca terbantutnya pergerakan dakwah yang sepatutnya menjanjikan hasil kemanisan.

Bilamana saja saya melepasi helaian demi helaian kitab kecil yang bertajuk AFAT ALA THARIQ / Wabak Sepanjang Jalan, hati rasa terkoyak-koyak dihiris susunan tajam ayat-ayat di dalam kitab ini. Saya yakin, ia juga menyentuh hati rakan-rakan yang lain dan ia telah dibuktikan oleh beberapa teman saya yang pernah meluahkan rasa hati kerana terpukul dengan bait-bait itu. Ia memainkan hati sehingga terhirup-hirup, mata dipejam-pejam, dalam menikmati kenikmatannya.

Lalu semua itu memaksa jari saya untuk menulis kembali isi-isi penting yang ada di dalam kitab ini bagi perkongsian bersama.

Banyak tajuk yang wujud di dalam kitab WABAK SEPANJANG JALAN. Kitab ini menyenaraikan segala macam penyakit yang menghinggapi para pendokong dakwah. Namun, tajuk yang ingin saya petik pada ruang waktu ini adalah AL-I’JAB BIL NAFSI iaitu Terpesona Dengan Diri Sendiri.




AL-I’JAB BIL NAFSI
  •  Gembira dan Berharapan Baik
  •  Rasa Besar dan Membesarkan


Dari sudut huraiannya,
  • Suatu kegembiraan dengan diri sendiri hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.
  • Sekiranya perasaan terpesona tadi menyentuh dan menyinggung perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan  ke atas peribadi mereka di samping mengecilkan apa yang mereka lakukan itu, ia dikira AL-GHURUR yakni terlalu mengkagumi diri sendiri. Sekiranya telah menyentuh perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan peribadi mereka, juga meninggikan dirinya ke atas mereka, ianya pula dinamakan AL-TAKABBUR atau begitu begitu mengkagumi dirinya.


Di sini saya mengharapkan kita semua jelas dan mampu membezakan di antara Al-I'jab Bil Nafsi, Al-Ghurur dan Al-Takabbur. Saya cuba meringkaskan.


FENOMENA AL-I’JAB BIL NAFSI BOLEH DIKENAL PASTI MELALUI PERLAKUAN BERIKUT 
  • Menonjol Kebaikan Diri
  • Enggan menerima Nasihat
  • Rasa gembira bila mendengar kelemahan orang lain terutama yang berlaku di kalangan rakan-rakannya.

  
SEBAB BERLAKUNYA AL-I’JAB BIL NAFSI

  • Suasana awal dibesarkan (terikut-ikut dengan cara orang tuanya)
  • Sering dipuji secara berdepan tanpa mengira peraturan hukum syara’
  • Sentiasa mendampingi golongan yang bersifat kagum dengan diri mereka sendiri
  • Berada dalam nikmat dengan melupai penganugerahan nikmat Allah
  • Telah memikul tugas sebelum matang dan tarbiyah secukupnya
  • Lalai atau gagal mengenal hakikat diri
  • Keturunan yang baik dan mulia
  • Keterlaluan dan berlebihan dalam menerima penghargaan dan penghormatan
  • Ketaatan yang melampaui batas
  • Tidak menyedari kesan yang akan timbul dari perlakuan Al-I’jab Bil Nafsi

  
KESAN-KESAN AL-I’JAB BIL NAFSI

Kesan Ke Atas Para Amilin
  • Terjebak ke dalam perangkap al-Ghurur bahkan juga al-Takabbur
  • Terhalang dari mendapat Taufik Allah
  • Kecundang apabila menghadapi suasana gawat dan genting
  • Orang ramai menjauhkan diri dan membencinya
  • Balasan dari Allah sama ada cepat atau lambat
Kesan Ke Atas Gerakan Islam
  • Mudah ditembusi
  • Terhenti atau sekurang-kurangnya agak lambat untuk memperolehi sahabat dan para penyokong


CARA MENGUBATI  PENYAKIT AL-I’JAB BIL NAFSI
  • Sentiasa mengingati hakikat kejadian diri manusia
  • Sentiasa mengingati tentang nikmat Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya
  • Sentiasa memikirkan tengtang mati, kedudukan selepas mati yang penuh derita dan kengerian
  • Sentiasa mendengar dan mengamati kitab Allah dan sunnah Nabi
  • Sentiasa menghadiri majlis ilmu terutama yang membicarakan tentang penyakit hati dan cara merawatnya
  • Sentiasa memerhati keadaan orang yang sakit, cacat anggota, bahkan juga orang yang mati terutama ketika mereka dimandi, dikafan dan ditanam
  • Jauhkan dari bergaul dengan golongan yang kagum dengan diri sendiri
  • Hendaklah sentiasa diingatkan betapa perlunya adab dan tatatertib syara’ dalam menyampaikan sesuatu penghargaan, pujian dan penghormatan juga dalam memberi kestiaan dan ketaatan.
  • Jangan terlalu gopoh memegang teraju kepimpinan
  • Mendedah dan membiarkan diri kepada suatu sikap yang boleh menghapuskan rasa sombong seperti memberi khidmat kepada individu yang tarafnya lebih rendah
  • Muhasabah diri sepanjang masa sehingga ia berjaya mengenal pasti keaiban yang ada pada dirinya
  • Memohon pertolongan dari Allah melalui perantaraan doa, pertolongan dan penyerahan diri kepadanya.
  • Perlu menekankan tentang tanggungjawab individu,tanpa mengambil kira keturunan dan asal usul.

Semua ini saya kutip satu persatu dari kitab Wabak Sepanjang Jalan dan terjemahkan kembali ke dalam penulisan blog bagi sama-sama kita merenung diri. Masih banyak tajuk yang belum dikongsikan di sini seperti penyakit Al-Futur, Al-Israf, Al-Isti’jal, Al-Uzlah dan pelbagai lagi yang mana kebiasaanya menimpa para aktivis dakwah. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kita terjunam dan terus terdampar di dalam lembah yang sangat dalam.



Moga apa yang tercatat di dalam lakaran ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua. Lakaran ini saya tidak sertakan bersama dalil-dalil quran atau hadis kerana tidak ingin memberatkan ruang yang ringkas ini. Saya menggesa pembaca di luar sana agar berusaha untuk mendapatkan kitab ini bagi memandu hati kita dalam melalui lorong dakwah. Begitu banyak dalil yang disertakan di dalam naskhah ini bagi memberi keselesaan kepada para pembaca.

Selamat meneruskan kembara.. moga kita dijauhkan dari penyakit-penyakit songsang dan sentiasa dipandu oleh kebenaran.