Bismillah..
Pemuda.
Jiwanya selalu meronta-ronta. Seringkali terhumban ke dalam dosa. Bangun
kembali. Ke hulu ke hilir melarikan diri dari dosa. Datang kembali merosakkan
jiwa sehingga pemuda itu tertunduk lesu. Melihat alam sekeliling, pendosakah
aku? Hinanya aku padaMu ya Tuhan. Getus hati pemuda itu.
Dalam diam,
saya katakan padamu, engkau adalah pemuda beriman. Pemuda yang tak rela dengan
dosa. Pemuda yang sering berusaha untuk mencari nafas ketika lemas dalam dosa. Bukannya
menikmatinya sehingga hati mati dan membiuskan segala rasa yang hadir.
Begitu juga
saya.
Dan sesiapa
sahaja yang berada dalam fasa pemuda. Nafsu mengerang. Guruh jiwanya terlalu
kuat. Keadaan sekeliling sungguh menekan. Itu lumrahmu, barah jiwa pemuda di
akhir zaman.
Wahai
pemuda,
Kasihanilah
dirimu yang sering tenggelam dengan dosa tetapi Allah melindungmu dengan Rahmatnya.
Kamu dikenali sebagai hamba yang taat walhal dibelakang mereka kamu sering
berbuat maksiat. Kamu dipuji sebagai ahli ibadat namun kamu mengerti dirimu
dalam kerosakan. Kasihanilah dirimu itu.
Allah
berfirman menerusi surah Fussilat, ayat 36,
“Dan
sekiranya syaitan menggangu kamu dengan sesuatu gangguan, mohonlah perlindungan
daripada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Seorang
ulama tasauf berkata, “Yang sufi, binatang buas akan tunduk kepadanya. Yang maksiat,
lalat pun akan mempermainkannya”.
Dan
ketahuilah pemuda, dosa itu mengeruhkan wajah. Maka dengan sebab itulah manusia
akan menjauhi mereka yang sering tenggelam dengan dosa. Perhatikan dan amatilah
kisah Anas bin Malik ra ketika beliau melihat seorang perempuan lalu ditegur
oleh Uthman bin Affan ra yang melihat kesan dosa itu melekat pada kedua
matanya.
Menangislah kerana
ia akan melembutkan jiwamu. Menangis itu bukan milik wanita sahaja tetapi ia
juga milik kaum lelaki. Menangislah kerana ia mampu melembutkan hati. Jika tak
mampu, berpura-puralah menangis kerana ia adalah pesan Nabi kepada kita.
Lama-kelamaan mata akan mudah untuk mengalirkan air mata bagi melembutkan hati.
Sabarlah. Sabarlah
dari membuat dosa. Sabar dan sentiasalah menangguh-nangguhkannya. Dua faktor yang
perlu dilazimi. Bersabarlah kerana di hujungnya ada kemanisan.
Pesan untuk diri kerana saya juga pemuda.
_____________________________________________________________________
Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmatMu ampunkan daku oh Tuhanku
Wahai Tuhan selamatkan kami ini
Dari segala kejahatan dan kecelakaan
Kami takut, kami harap kepadaMu
Suburkanlah cinta kami kepadaMu
Kamilah hamba yang mengharap belas dariMu
(I'tiraf-Raihan)