Showing posts with label SIRAH. Show all posts
Showing posts with label SIRAH. Show all posts

Saturday, July 27, 2013

Kisah Jin Mengenali Islam

"Akhi, tahu tak bila Jin masuk Islam??".. seorang sahabat sepengajian menyapa.

Terdiam.
Saya cuba menyelongkar ingatan-ingatan lama. Saya seakan pernah mendengar cerita-cerita sebegini dahulu. Gagal. Langsung hilang.

"Aissy, tak pasti r tu, kenapa? Camne boleh keluar soalan camtu?".. saya menjawab. Jujur.
"Takde r, saje borak-borak dengan kawan-kawan ni (merujuk satu kelompok kecil di sebelahnya).. mana tahu orang kampung ada tanya nanti balik Malaysia kelak".. kami tergelak kecil.

Begitulah seakan perbualan singkat yang terjadi.

 . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Hari ini setelah meneliti sedikit rujukan dari beberapa Tafsir seperti Tafsir Ibn Katsir, Tafsir Jalalain dan beberapa sumber2 internet yang boleh saya percayai, Alhamdulillah saya dapat mengetahui secara kasar bentuk penceritaan yang berlaku. Saya tak berniat menulis artikel di sini secara Ilmiah. Sekiranya sahabat ingin penceritaan Ilmiah, saya alu-alukan untuk merujuk terus Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Jalalain pada surah Al-Ahkaf ayat ke 29-32. Juga rujukan tambahan pada surah Jin itu sendiri.

Allah berfirman :


 [29]وإذ صرفنا إليك نفرا من الجن يستمعون القرآن فلما حضروه قالوا أنصتوا فلما قضي ولوا إلى قومهم منذرين

 [30]قالوا يا قومنا إنا سمعنا كتابا أنزل من بعد موسى مصدقا لما بين يديه يهدي إلى الحق وإلى طريق مستقيم

 [31]يا قومنا أجيبوا داعي الله وآمنوا به يغفر لكم من ذنوبكم ويجركم من عذاب أليم

 [32]ومن لا يجب داعي الله فليس بمعجز في الأرض وليس له من دونه أولياء أولئك في ضلال مبين

Surah Al-Ahkaf, 29-32


[29] Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

[30] Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)

[31] “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

[32] “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.


Secara ringkas saya ceritakan..

Satu ketika, golongan Jin digemparkan dari halangan untuk mencuri berita dari Langit. Lalu kembalilah mereka kepada kaumnya. Kaumnya bertanya, "Apa yang telah terjadi pada kalian?"

"Kami terhalang daripada mendengar berita dari langit dan dihujami panahan dari langit."

Berkata kaumnya, "Kalian tidak akan dihalangi berita dari langit melainkan ada sesuatu perkara yang terjadi. Bertebaranlah kalian mencari apa yang terjadi yang menyebabkan kita dibataskan dari mendengar berita langit".

Maka bertebaranlah mereka ke timur dan barat dunia. Kemudian mereka menuju ke Tihamah dan beralih ke tempat Rasulullah yang mana ketika itu berada di Nakhlah. Sewaktu itu, Baginda Nabi sedang melakukan solat Subuh berjemaah dengan para sahabatnya di Lembah Nakhl.

Tatkala mereka mendengar al-quran. Mereka berhenti lantas mengamatinya. Mereka berkata, "Demi Allah, inilah perkara yang menghalangi kalian dari berita langit!"

Di dalam Tafsir Jalalain ada ditulis secara ringkas mengenai tafsiran ayat di atas, di bawah ini saya sertakan karangannya :


29. (Dan) ingatlah (ketika Kami hadapkan) Kami cenderungkan (kepadamu serombongan jin) yaitu jin Nashibin dari negeri Yaman atau Jin Nainawi, jumlah mereka ada tujuh atau sembilan jin. Nabi saw. ketika itu berada di lembah Nakhl sedang melakukan salat Subuh berjemaah dengan para sahabatnya. Demikianlah menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim (yang mendengarkan Alquran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaannya, lalu mereka berkata) sebagian dari mereka berkata kepada sebagian yang lain, ("Diamlah kalian") untuk mendengarkan bacaannya. (Ketika pembacaan telah selesai) ketika nabi selesai membaca Alquran (mereka kembali) pulang kembali (kepada kaumnya untuk memberi peringatan) artinya, mereka kembali setelah mendengarkan Alquran kepada kaumnya sebagai pemberi peringatan akan datangnya azab jika mereka tidak beriman kepada Nabi. Mereka sebelum itu pemeluk agama Yahudi, lalu setelah mendengarkan bacaan Alquran mereka masuk Islam.

030. (Mereka berkata, "Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan Kitab) yakni Alquran (yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab sebelumnya) seperti kitab Taurat (lagi memimpin kepada kebenaran) kepada agama Islam (dan kepada jalan yang lurus) yaitu tuntunan agama Islam.

31. (Hai kaum kami! Terimalah seruan orang yang menyeru kepada Allah) yakni seruan iman yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. (dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Dia akan mengampuni) Allah pasti akan mengampuni (dosa-dosa kalian) sebagian dari dosa-dosa kalian, diartikan demikian karena di antara dosa-dosa itu terdapat jenis dosa yang tidak dapat diampuni melainkan setelah mendapat kerelaan dari orang yang dianiaya oleh orang yang bersangkutan (dan melindungi kalian dari azab yang pedih) atau azab yang menyakitkan.

32. (Dan orang yang tidak menerima seruan orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan dapat melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi) artinya ia tidak akan dapat melemahkan Allah dengan cara lari dari-Nya sehingga ia selamat dari azab-Nya (dan tidak ada baginya) yakni bagi orang yang tidak menerima seruan itu (selain Allah) (pelindung-pelindung) yang dapat menolak azab Allah daripada dirinya. (dalam kesesatan yang nyata") jelas sesatnya.
________________________________________________________________________________

Di sinilah sebenarnya bermula kisah golongan Jin mengenali Islam. Selepas daripada peristiwa ini,  mereka menghantar utusan kelompok demi kelompok, rombongan demi rombangan menemui Rasulullah bagi mendapatkan wahyu Allah.

Di dalam Tafsir Ibn katsir juga ada menceritakan yang mana sahabat riuh seketika kerana kehilangan Nabi. Walhal hakikatnya Nabi sedang berada di alam Jin bagi menyampaikan risalah Islam. Kalau ada masa buka la ye.. dalam tu juga menjelaskan berkaitan kisah 'berita langit' dan apa kaitannya dengan penurunan al-Quran pada Rasulullah s.a.w. Juga ada berbicara berkaitan konsep Targhib dan Tarhib.

Seronok bila kita mentadabbur Tafsir. Cerita yang dihuraikan oleh Ulama' seolah hidup di depan mata kita. Moga-moga perkongsian ringan ini dapat menjadi rujukan ringkas bagi sahabat-sahabat yang belum mengetahui. Wallahualam.


Rujukan
-Surah Al-Ahkaf (Tafsir Ibn Katsir Dan Tafsir Fi Zilal Al-Quran)
-Surah Jin (Tafsir Ibn Katsir Dan Tafsir Fi ZIlal Al-Quran)



Saturday, April 27, 2013

Kaedah IQAB yang semakin dilupakan..


Bismillah..

IQAB(denda/hukuman) adalah satu kaedah Tarbiyah yang semakin dilupakan dalam kalangan penjunjung kalam Tuhan sehinggakan para abna’ul harakah zaman kini berada dalam keadaan selesa dan semakin menebal rasa kemanjaan dalam diri mereka. Mereka seolah-olah khusyuk berpencak dan mahu bebas dari aturan yang ditetapkan.

Harakah Islamiyah mempunyai pelbagai rencah yang akan mematangkan ahli-ahlinya dengan perjalanan panjang. Seringkali kita dengar tutur kata Tarbiyah itu mampu mendidik jiwa kita menjadi insan yang Rabbani. Namun kita tak sedar hati kita mudah ‘rosak’ bila diberi Tarbiyah. Mungkin kerana faktor yang merasakan ‘aku lebih arif darinya’, lebih mulia atau seumpama itu.

Kembali kepada perbincangan kita.. Iqab kebiasaanya berkait rapat dengan Ibtila’(ujian). Iqab selalunya dikenakan kerana ‘tersadung’nya seseorang dalam aturan yang ditetapkan. Iqab juga diberikan kerana kegagalan melepasi ibtila’ yang hadir ke atasnya. Lazimnya ibtila’ akan hadir sebelum Iqab dikenakan namun tetap wujud peristiwa-peristiwa yang ibtila’ hadir semasa atau selepas hukuman diberikan.

Saya akan cuba membawa pembaca merenung kisah-kisah silam yang mengamalkan amalan-amalan Iqab dalam pentadbirannya.

Cuba kita imbau kisah di zaman pemerintahan Nabi Sulaiman. Wujudkah kaedah IQAB pada zaman itu?.. Ingatkah kita pada ratu Balqis?.. dan seekor burung yang diberi nama Hud-Hud??.. Nabi Sulaiman pernah mengugut akan menyembelih Hud-Hud sekiranya ia gagal tampil bersama dengan alasan yang kukuh. Boleh rujuk artikel khusus berkaitan kisah ini. Saya tak berniat nak menceritakan kembali kisah itu. Cuma di sini saya ingin tekankan akan nilai kaedah Iqab antara seorang pemimpin dengan kelompok pimpinannya yang semakin terabai dari pengamatan kita semua.

Saya cuba mengajak lagi sahabat-sahabat mengimbau kisah-kisah silam iaitu kisah Talut dan Jalut. Juga wujud Ibtila’ dan Iqab dalam kisah ini iaitu ketika mana tentera Talut diuji dengan sebuah sungai lalu ada di kalangan tenteranya yang ter’sadung’ dengan arahan sehingga dihukumkan dengan pengguguran dari peperangan menentang Jalut. 

“Bahawasanya Allah menguji kamu dengan sebatang sungai. Sesiapa yang minum airnya maka ia bukanlah daripadaku, dan sesiapa yang tidak meminumnya sesungguhnya ia adalah pengikutku kecuali mencedok minum dengan tangannya. (ayat 249)

Kisah ini  memaparkan proses yang bermula dengan Ibtila’ lalu disusuli dengan Iqab(dihalang dari meneruskan peperangan). Untuk penjelasan lanjut boleh rujuk Al-quran pada muka surat 40-41, akhir juzu’ 2, surah al-Baqarah, ayat 247-252.



Sekali lagi bukti yang saya ingin rakamkan di dalam tulisan ini adalah kisah sahabat yang Mulia, Kaab Bin Malik. Kisah ini saya pernah sembahkan dalam post sebelum ini untuk rujukan ringkas sahabat-sahabat sekalian. Kisah ini memaparkan berlakunya proses Ibtila’ pada diri Kaab bin Malik dan dilanjutkan dengan Iqab dari Rasulullah lalu disusuli dengan Ibtila’ buat yang kesekian kalinya. Contohnya seperti pelawaan Raja Ghassan kepada Kaab bin Malik dan pelanjutan hukuman dengan memisahkan isterinya.



DI sini saya ingin menekankan akan nilai sebuah hukuman dalam gerakan-gerakan Islam.. Sejak kebelakangan ini, saya melihat kebanyakan aktivis-aktivis dakwah dimanjakan sehingga bebas berbuat apa saja tanpa ada had-had yang ditetapkan. Jika ada had sekalipun, ianya sekadar hiasan dalam berorganisasi.

Iqab itu wujud dalam pelbagai kaedah. Antaranya iqab dari segi ibadah pengabdian contohnya zikir, solat sunat taubat dan sebagainya. Wujud juga iqab dari sudut amalan kebajikan, contohnya seperti bersihkan tempat-tempat yang kotor, infakkan harta dan seumpamanya.

Perlu diingat, Iqab itu janganlah membawa kepada keaiban si pesalah. Iqab dikenakan agar menjadi peringatan untuk si pesalah dan individu-individu yang berada dalam organisasi tersebut. Sememangnya kaedah ini melatih jiwa para pendukung organisasi tersebut agar berdisiplin dan membersihkan hati mereka agar mencapai Ikhlas dalam mendukung sesuatu perkara.

Di antara isu semasa yang jelas kita lihat pada hari ini adalah seperti pengguguran Dr Hasan Ali dalam dalam Gerakan PAS. Pengguguran Ustaz Nasaruddin dari ahli majlis syura dan sebagainya jika ada.

Sekadar inilah tulisan yang saya cuba lakarkan. Sekadar perkongsian dan peringatan bersama dalam membawa risalah-risalah Islam. Wallahualam..


Kaab bin Malik : Tarbiyah Rasulullah Melalui Kaedah Pemulauan


Bismillah..

Hari ini saya ingin mengajak sahabat sekalian merenung satu kisah popular terutamanya bagi insan yang bergelar abna’ul harakah.. saya yakin kisah ini pernah hinggap di telinga sahabat-sahabat samada ketika perbincangan usrah di bawah tajuk sirah nubuwwah ataupun mungkin pesanan khusus dari murabbi masing-masing. Kisah yang berkisar berkaitan satu kaedah TARBIYAH lembaran sirah silam yang diwasilahkan kepada sahabat baginda yang mulia, Kaab bin Malik.

Saya termanggu seketika bila mengimbas mengenai sirah Kaab bin Malik. Satu penceritaan menarik yang terlukis kepada sahabat Nabi bagi pengajaran kepada sekalian manusia di muka bumi ini. Mungkin sekadar ingatan kembali kepada kita yang selalu lupa. Kadang-kadang kita ingat je ceritanya namun terhijab dari melihat ibrahnya. Tulisan kali ini tak berniat untuk memperincikan selumatnya. Cukuplah sekadar gambaran awal bagi mereka yang ingin tahu dan punya kemahuan untuk menggapai Taqwa.

Satu ketika di saat panggilan perang dilaungkan, para sahabat berduyun menyahut seruan Rasulullah menuju ke medan perang yakni Perang Tabuk. Lalu diujilah Kaab bin Malik dengan ujian kebendaan yang mana ketika itu musim buah sampai kepada fasa penuaian. Tinggallah Kaab bin Malik bersama dua orang lagi sahabat yakni Murarah bin Malik dan Hilal bin Umayyah.

Dikisahkan, Kaab bin Malik berjalan di sekitar kawasan halamannya dan sedar kelibat pemuda langsung hilang dari pemandangan matanya. Jasad yang wujud di sekitar perkampungannya hanyalah terdiri dari golongan lelaki tua, kurang upaya, wanita dan kanak-kanak sahaja. Maka, hadirlah rasa sesal di atas pengecualian dirinya. Beliau menyesal di atas kegagalan beliau melepasi Ibtila’/ujian yang dihadirkan Allah ke atasnya. 

Seusai peperangan, Kaab bin Malik segera bertemu dengan Baginda s.a.w dengan membawa sejuta penyesalan dan memohon keampunan di atas kesalahannya itu. Lalu baginda memohon penjelasan dari pihak Kaab bin Malik sebab-sebab pengecualiannya di medan tabuk. Sahabat yang mulia, Kaab bin Malik menceritakan satu persatu asbab-asbabnya tanpa berselindung apatah lagi ‘memback up’ diri. Namun, Kaab bin malik tetap dikenakan satu hukuman yang cukup-cukup beerti khususnya buat pengajaran para penggerak panji-panji Islam.

Kaedah Pemulauan. Kaedah ini dikenakan kepada Kaab bin Malik sebagai denda daripada Rasulullah s.a.w selama 50 hari berturut-turut. Pemulauan ini menjadikan diri Kaab bin Malik langsung tidak dipandang apatah lagi ditegur oleh masyarakat mahupun di pasar atau mana-mana sahaja.

Disebabkan terlalu sedih, pergilah beliau ke rumah sahabat karibnya mencari tempat berkongsi rasa. Diketuk pintu berulang kali sehingga dibuka. Muncullah wajah sahabatnya, Abu Qatadah. Abu Qatadah tetap diam seribu bahasa kerana mentaati suruhan Rasulullah. Lalu Kaab bin Malik menuturkan, “Bukankah kamu tahu aku terlalu mencintai Allah dan Rasul??..” . Disebabkan terlalu mengasihi Kaab bin Malik, sahabatnya mengangkat pandangan dan menutur ringkas, “Hanya Allah dan Rasul yang tahu akan hikmahnya”. Maka berderailah air mata Kaab bin Malik di atas kalam ringkas sahabat karibnya itu.

Tika tiada secalit perhatian masyarakat diberikan kepada Kaab bin Malik, maka sampailah seutus surat dari Raja Ghassan memberi tawaran untuk ke Ghassan. Raja Ghassan menjanjikan akan memberi keistimewaan setibanya dia di sana. Seorang sahabat yang Mulia Kaab bin Malik pasti tidak akan tewas buat kali kedua. Ditolaknya pelawaan itu demi mengharungi tarbiyah langsung dari Rasulullah.. jikalau kita yang berada di tempat sahabat yang mulia ini, mampukah kita??.. ujian demi ujian yang menimpa..

Di dalam kesedihan yang teramat, datang seorang sahabat membawa khabar dari Rasulullah.. Kaab bin Malik mengharapkan ia adalah khabar penglepasannya dari hukuman pemulauan itu. Namun, khabar dari utusan Rasulullah yang diharapkan itu sebenarnya membawa khabar pelanjutan hukuman ke atasnya. Satu utusan  agar dia dipisahkan daripada isterinya seberapa waktu. Sungguh, khabar itu menggoncangkan hatinya. Selama 40 hari dia teruji dengan pemulauan dari masyarakat, tiba detik ini dia akan diuji pula oleh pemisahan dari isteri yang tercinta.

Genap 50 hari beliau dipulau masyarakat. Seusai solat subuh, beliau terdengar laungan seseorang, "wahai Kaab bin Malik!! Bergembiralah kamu!!".. lantas bersujudlah ia menzahirkan kesyukuran di atas pengampunan Allah terhadapnya. Berduyun-duyun sahabat-sahabat datang meraikan perlepasan hukuman yang bertempoh 50 hari itu. Datanglah ia pada Rasulullah, lalu Rasulullah menuturkan, "Bergembiralah kamu kerana hari ini adalah sebaik-baik hari selepas lahirnya kamu dalam kandungan ibumu".

Tercatatlah kisah ini utuh dalam lembaran sejarah nubuwwah. Bukan kerana menunjukkan keburukan sahabat tapi menjelaskan keikhlasan dan kehebatan para sahabat Rasulullah bersama-sama dengan Baginda walau mereka terseksa sekalipun. Ambillah pengajarannya selumatnya. Wallahua’lam..