Showing posts with label PENGALAMAN. Show all posts
Showing posts with label PENGALAMAN. Show all posts

Tuesday, May 5, 2015

Oh, Naqibku !

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat menulis artikel ini, berbaki kurang sebulan untuk saya menamatkan pengajian secara rasmi di bumi Shoubra, Mesir (semoga lulus dengan baik). Dalam masa yang sama, tempoh perkhidmatan saya dalam persatuan di sini semakin menghampiri ke penghujungnya. Biasalah, bermacam perkara yang sedang bermain di kepala dalam fatrah-fatrah sebegini.

Oktober 2013

Saya menyertai sebuah program orientasi pelajar baru anjuran persatuan di sini. Pada akhir program, kami pelajar baru telah diberikan seorang Naqib Usrah. Berkaitan usrah, saya mengenali ‘bulatan kecil’ ini ketika di sekolah menengah lagi. Namun, di sana saya sekadar tahu usrah itu adalah satu bulatan biasa tanpa menafikan sumbangan Naqib saya ketika itu. Tetap ada manisnya.

Ketika menyambung pengajian Diploma, Usrah di sana lebih terarah kepada proses meng’islah’ diri dan masyarakat. Sedikit demi sedikit Usrah di zaman Diploma telah menanam jiwa Islah dalam diri saya. Mula memupuk rasa minat pada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Jadi, bila menyambung pengajian ke Mesir, antara yang bermain di minda adalah menanti siapakah bakal Naqib baru di sini. Rasa teruja. Dalam masa yang sama mengharapkan ia boleh menjadi individu yang mampu mebimbing diri ini dalam merentasi arus politik gerakan islam yang sangat mencabar ketika itu. Saat itu politik dan gerakan islam sarat dengan pelbagai isu.

Bilamana diumumkan, saya terkedu.. Naqib saya adalah daripada lepasan pengajian yang sama di Darul Quran JAKIM, senior setahun. Beliau bukanlah orang yang aktif ketika mana di Darul Quran. Seingatnya, saya tak pernah bersembang dengannya di sana. Hal ini menyebabkan saya sedikit kecewa disebabkan keinginan yang dipasang awal tadi dilihat mula kabur. Perangai nakal ingin menguji Naqib baru mula timbul. Moga Allah mengampunkan salah silap saya terhadap beliau.

Tersenyum seketika saat menceritakan kembali kisah ini.

Dalam diam, kehadiran beliau dalam episod saya di Mesir banyak membantu kehidupan saya sebagai penuntut ilmu di sini. Wataknya yang terlalu merendah diri pada awalnya membuatkan niat nakal saya terpadam secara perlahan-lahan. Banyak kata-katanya yang menikam hati ini seperti,

“ Orang yang suka memerli orang ni biasanya merasakan dirinya hebat dan sempurna”

“Sabar dengan percaturan pimpinan, ada benda yang akan kita dapat hikmahnya selepas ini”

“Usaha untuk jangan tidur lepas subuh”

Banyak lagi kata-katanya yang dah luput dari ingatan tetapi telah menikam hati ini secara diam. Sifat yang saya sangat tertarik adalah sifat humble yang ada dalam diri beliau. Sengaja saya menulis sebegini dalam fatrah imtihan yang menghampiri. Jika sempat, akan saya kongsikan lagi beberapa perkara menarik bersifat santai yang saya lalui sepanjang tiga tahun di sini. 

Secara akhirnya, jutaan terima kasih kepada Naqib saya di atas kesabaran melayani kerenah diri ini. Bagi saya, seolah-olah Allah datangkan individu itu bagi membuka jalan untuk saya meneroka dengan lebih dalam nilai ilmu yang ada di Mesir. Doakanlah semoga Allah mempermudahkan lagi urusan pengajian saya selepas daripada saat ini. insyaAllah..


*kepada Naqib, moga enta tak ujub bila baca.. ^ ^

Thursday, April 24, 2014

KITA KEHILANGANNYA...

Bismillahirrahmanirrahim..

Petang tadi hujan membasahi bumi pengajian saya di perantauan membuatkan perjalanan saya untuk pulang ke rumah agak perlahan kerana takungan air memenuhi jalan-jalan kampung di Mesir. Petanda musim panas menghampiri. Arab pasti bersuka ria kerana air langit ini bukanlah seringkali turun seperti di Malasyia. Maka ia adalah fenomena biasa Sang Arab selepas hujan.

(Sekadar contoh walaupun tetap berhampiran pengajian)
Saat ini saya baru usai solat isya'. Keadaan hati pada malam ini agak tak menentu. Saya merenung diri dalam-dalam. Keadaan diri semakin merudum dari hari ke hari. Saya melayan perasaan sehingga tiba ke muka pintu rumah sambil menaip artikel ini melalui telefon bimbit.

RASA ini pernah saya lalui ketika mana berada pada tahun dua pengajian di Darul Quran lebih kurang empat tahun yang lepas. Saya cuba mencari apa perkataan yang sesuai yang sedang bergolak dalam diri ini. 

Hilang Fokus. Itu mungkin perkataan yang sesuai. Study tak seberapa, kerja pun tak ke mana.

Satu ketika dahulu di kampus lama, saya dan sahabat saya pernah bergiat aktif dengan aktiviti persatuan di sana. Kadang-kadang tersepak batu sehinggakan prestasi akademik jatuh dalam sedar. Dan hari ini, sekali lagi bersama teman-teman baru yang lain membantu semampu boleh bagi menjadikan  Biah Solehah di bumi Shoubra sentiasa subur. Semangat sebagai penuntut ilmu yang dulunya membara kian memudar. Keadaan yang hampir sama. Lokasi yang berbeza.

Saya akui, ia tidaklah seberat seperti teman-teman lain yang bergiat dalam komuniti yang lebih besar. Dan itu bukanlah perkara utama yang ingin disentuh. Saya merasakan seperti kehilangan sesuatu di dalam menempuhi lorong ini. Kadang-kadang rasa kosong membaluti diri. Anehnya, teman sekitar ceria sepanjang masa. Mungkin maksiat yang sentiasa dicanang, maka tak hairan jiwa sering gundah. Tak ke begitu??

Pergolakan inilah menjadi faktor utama penulisan di sini. Moga menjadi muhasabah kita bersama.

Petang tadi ketika hujan masih mencurah, saya menghadiri satu perjumpaan bersama teman-teman sepersatuan yg lain. Banyak isu disentuh yang mana saya akui menjadi penyembuh dan memberi ruh tarbawi kepada diri saya. Antara isu perbincangan yang menjadi bualan adalah seputar pergerakan dakwah islam hari ini yang kehilangan MURABBI.

Murabbi itu banyak pentafsirannya.

Pada saya, Murabbi itu adalah satu jasad yang kehadirannya membuatkan Ruh Tarbiyah terasa menyusup ke dalam hati. Murabbi itu bagi saya, ibarat ibu dan ayah dalam perjuangan. Pada merekalah kita berkongsi rasa dan meminta pandangan.

Seorang teman menambah dalam bicaranya, murabbi itu adalah insan yang mana perilakunya mendahului bicaranya. Bila dikatakan berkaitan ukhuwah, dialah yang paling kerap melakukan ziarah mempereratkam ukhuwah. Benar. Jika dikongsikan agar menjaga solat, pasti dirinya sudah selesai tanpa kecacatan. Jika ditegur menjaga adab, pasti dirinya penuh dengan adab.


Pada jiwa Murabbi itu, tidak wujud istilah 'lihat pada apa yang dikata, bukan kepada siapa yg berkata'. Diri mereka adalah sosok tubuh contoh dalam gerakan. Kadang-kadang terfikir bahawa kita ini suka beralasan dengan menggunakan kata-kata Imam Hassan al-Basri dalam menyampaikan dakwah. Kadang-kadang kita sering memandang rendah pada maksiat atas hujah rahmat Allah itu luas. Itu semua benar. Namun, kekadang semua itu telah mengaburi mata kita dalam menongkah langkah dunia dakwah. Talbis Iblis. Sehingga hati tertutup dengan kesalahan. Nauzubillah..

"Dalam menempuhi hidup ini, pastikan wujud seorang Murabbi dalam diri kamu sebagai petunjuk dalam kompas kehidupan." Masih terngiang-ngiang kata-kata itu.

Hari ini lidah saya terlalu banyak menegur. Tangan saya terlalu banyak menasihati. Ditambah lagi dengan taklifat di dalam sebuah persatuan, menyebabkan kadang-kadang menjadi kewajipan menegur dan menasihati. Sehingga pernah dirasakan, semakin banyak saya bercakap semakin keras hati saya membeku.

Tulisan kali ini saya iktibar sebagai warkah rindu saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan di tempat pengajian lama dahulu. Saya anggap tulisan saya pada malam ini adalah sedikit diari hidup yang saya bukakan untuk perkongsian bersama. Saya rindukan teman-teman pentarbiyahan saya di bumi Malaysia yang mampu menangis bersama-sama dalam mengenang dosa. Saya rindukan teman-teman seperjuangan yg mampu menegur dalam keterlekaan. Saya rindukan mereka yang mampu memberi senyuman walaupun kocek kekeringan membiayai program.


Moga mereka semua sentiasa Tsabat atas jalan itu. 

Walaubagaimanapun, berdasarkan catitan di tengah-tengah tulisan tadi, saya ingin khabarkan bahawa kita hari ini telah kekurangan atau mungkin kehilangannya. Maka perlu menjadi satu kesedaran kepada kita bagi mencetak jiwa-jiwa amilin dakwah hari ini agar diri mereka mampu membesar dengan membawa tittle MURABBI UMMAH.

Aku Menulis Tuk Bercerita.
Berkongsi Derita Berbahagi Bahagia.

Uhibbukum Fillah..

Tuesday, April 16, 2013

Idaman yang hampir tercapai..

Bismillah…

Tergerak hati saya untuk menulis lakaran hati pada malam ini. Saat ini, saya sedang berada dalam Kursus Bahasa anjuran Darul Quran JAKIM bagi persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke bumi Mesir hujung bulan Ogos 2012. Bicara ini saya lakar seusai bermain futsal bersama sahabat-sahabat yang bakal terbang jauh seminggu selepas Aidil Fitri.

Alhamdulillah..ucapan yang cuba dihadirkan dari dasar hati. Bersyukur atas perancangan Allah ke atas diri saya. Rebah bangun membesar selama 21 tahun membawa saya sehingga ke hari ini. Walaupun tidak sehebat teman-teman sepentas akademik namun saya bersyukur tidak tercicir dari rahmatNya..dari jagaanNya..

Negara arab. Bumi yang saya idam-idamkan. Entah mengapa saya jatuh hati pada suasana di sana. Sekadar membaca lakaran-lakaran murabbi yg pernah menuntut di sana. Melihat gambar-gambar sahabat yang berhempas di bumi itu. Khusyuk mendengar mulut-mulut yang bercerita. Semuanya membuatkan saya rindu pada suasana di sana. Takhassus Quran wal Qiraat. Jujur..bidang yang tidak saya minati. Tidak pernah terlintas di hati untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ini. Namun, saya terlalu merindui bumi arab dan merindui suasana Al-Azhar yang sentiasa berlegar dalam minda saya.

Maahat Tahfiz Al-Quran wal Qiraat Al-Azhar Shoubra. Tergerak di sudut hati kecil untuk melanjutkan ke dalam bidang ini..dengan menyerahkan segala percaturan kepada Allah..tanpa tajaan dari sesiapa..bermula dari aliran sains di peringkat menengah, bertukar ke aliran agama pada peringkat diploma, menceburi Diploma Syariah dan semakin meminati bidang itu namun menukar ke bidang Qiraat pada peringkat ijazah..sekali lagi saya membuat keputusan drastik..insyaAllah, saya yakin keputusan ini dipandu daripada suluhan petunjuk Allah s.w.t..

Perasaan gembira dan takut bercampur aduk dalam satu jiwa. Bimbang hanyut dengan dunia asing, bimbang masih membawa tabiat lama, suka bertangguh. Gembira dapat datang menimba ilmu ke Negara arab, bumi Ambiya’..tanah Ulama berlegar..termenung dgn cabaran-cabaran yang ada di sana. Semua itu bercampur baur. Namun, bercampur-baur semua perasaan ini membuatkan saya semakin rindu pada bumi itu.


Tidak pandai arab. Langsung. Kaku dengan bicara-bicara arab. Semua ini tidak mematahkan semangat saya untuk ke sana. Semoga sahabat-sahabat di sana membimbing diri ini untuk lebih kehadapan. Meninggalkan sahabat-sahabat lama dan orang-orang tercinta di Malaysia adalah perkara yang sukar bagi saya..menyerahkan segalanya pada ketentuan Ilahi..kepercayaan kepadamu akan ku pegang seerat-eratnya.

Terima kasih umi abah kerana mengizinkan saya melangkah kaki meninggalkan umi abah dan adik-adik tercinta di kampung halaman. Terima kasih guru-guru yang cekal mendidik diri ini. Doakan pemergian saya nanti membawa pulang Keredhaan Ilahi..



Bumi arab..
Aku rindu akan sapaan udaramu..
Aku rindu akan suasana ilmu yg ada padamu..
Aku rindu pada segala suasana yg dikaitkan denganmu..

Bumi kinanah..
Aku datang padamu..
Demi ilmu-ilmu yg melekat pada persekitaranmu..
Bukan kerana foya2 duniamu..
Moga aku sentiasa berada dalam jagaan pemilikMu..

2300
15 Julai 2012