Showing posts with label POLITIK. Show all posts
Showing posts with label POLITIK. Show all posts

Tuesday, May 21, 2013

Kewujudan side-character

Bismillah..

Hari ini saya akan terus menulis. Saat ini lebih kurang 5 tahun saya bergelar budak U, lepasan sekolah menengah, atau istilah orang ramai seorang mahasiswa. Ye la kan,, MAHASISWA la sangat..huhu.. Sepanjang 5 tahun penulis mendapat title ini, banyak yang saya kutip dari madrasah kehidupan seorang mahasiswa. Terlalu banyak. InsyaAllah jika berkesempatan saya akan kongsikan bersama sahabat-sahabat di ruangan kecil ini satu demi satu pada masa akan datang.. biznillah.. insyaAllah..

Hari ini saya teringin untuk berkongsi berkaitan satu perkara yang sinonimnya dikaitkan dengan mereka yang bergelar mahasiswa iaitu kehidupan berpersatuan. Namun, lakaran hari ini bukanlah berkaitan galakan menyertai persatuan tapi cuba menyingkap satu perkara di sebalik pengaruh sesebuah persatuan/organisasi umum.

Sepanjang bergelar budak U ini, saya sempat bernaung di bawah dua bumbung persatuan induk iaitu di tempat pengajian diploma dan ijazah hari ini. Saya merasakan wujud dua perbezaan di antara dua persatuan ini iaitu dari segi cara membina pengaruh ahli. Sayacuba meneliti apakah punca yang membezakan pengaruh persatuan ini. Rupa-rupanya kerana wujud satu golongan yang terlalu berperanan membawa hadaf pemikiran ahli menuju matlamat yang dibawa kesatuan umum.

Golongan Ilmuwan yang berfikrah berbeza dengan golongan Ilmuwan biasa. Di tempat yang baru ini, saya melihat tenaga-tenaga pengajar kebanyakannya dipelopori oleh golongan-golongan ahli persatuan yang berilmu dan punya fikrah. Perlu sedar ada perbezaan di antara orang berilmu sahaja dengan orang berilmu yang disertai fikrah pengislahan. Bezanya adalah ilmu yang ada dalam dadanya dibiaskan melalui cara yang menyatukan.

Peranan mereka terlalu besar untuk sebuah kesatuan umum di sini. Boleh dikatakan setiap kelas pengajiannya/talaqi bersamanya, mereka akan menyelitkan matlamat seorang penuntut ilmu dan dikaitkan dengan amal ijtimaie bersama persatuan. Merekalah di antara sosok yang berperanan menyelaraskan pelbagai pemikiran yang ada dalam kelompok mahasiswa agar terarah pada pembawakan sesebuah persatuan, bukanlah memandai sesuka hati mengikut semangat berdarah muda.


Lalu dengan cara yang mereka bawa ini, ianya telah mewujudakan Wehdatul Fikr Wehdatul Amal yang cukup nyaman. Ahli-ahli yang bernaung dibawahnya mampu diuruskan cara pemikiran untuk disalurkan dengan cara yang betul. Namun, tidak bermakna 100% ahli berjaya dibentuk dengan konsep wehdatul fikr wehdatul amal. Masih ada juga yang tetap dengan prinsip peng’islahan’ mereka. Cuma teknik penggunaan ahli yang berilmu dan punya fikrah ini jarang digunakan di tempat persatuan lama. Juga tidak bermaksud mengatakan pengaruh persatuan lama lebih kecil berbanding persatuan yang penulis berteduh hari ini. Risau jugak andai sahabat-sahabat silap menafsirkan maksud utama penulisan ini.

Cuma yang ingin saya cerahkan adalah peranan individu yang berilmu dalam menyuluh arah matlamat kehidupan si penuntut ilmu. Adalah menjadi harta yang cukup berharga bagi sesebuah kesatuan umum jika mempunyai karakter seperti ini. Jadi, saya menyeru seluruh persatuan yang wujud dalam kelompok mahasiswa agar memberi fokus kepada mahasiswa bukan dari segi bantuan kebajikan kewangan @ kemahiran semata-mata, tapi pertingkatkan juga kebajikan dari segi keilmuan sang Mahasiswa.. agar suatu hari kelak, ia mampu menjadi penuntut ilmu yang mampu membiaskan ilmunya kepada masyarakat sekeliling..

Sebenarnya telah wujud ramai individu yang boleh memimpin, namun sedar tak sedar kita kekurangan Ulama yang sepatutnya menjadi check n balance untuk Umara’. Jom islah diri..

Saturday, April 27, 2013

Kaab bin Malik : Tarbiyah Rasulullah Melalui Kaedah Pemulauan


Bismillah..

Hari ini saya ingin mengajak sahabat sekalian merenung satu kisah popular terutamanya bagi insan yang bergelar abna’ul harakah.. saya yakin kisah ini pernah hinggap di telinga sahabat-sahabat samada ketika perbincangan usrah di bawah tajuk sirah nubuwwah ataupun mungkin pesanan khusus dari murabbi masing-masing. Kisah yang berkisar berkaitan satu kaedah TARBIYAH lembaran sirah silam yang diwasilahkan kepada sahabat baginda yang mulia, Kaab bin Malik.

Saya termanggu seketika bila mengimbas mengenai sirah Kaab bin Malik. Satu penceritaan menarik yang terlukis kepada sahabat Nabi bagi pengajaran kepada sekalian manusia di muka bumi ini. Mungkin sekadar ingatan kembali kepada kita yang selalu lupa. Kadang-kadang kita ingat je ceritanya namun terhijab dari melihat ibrahnya. Tulisan kali ini tak berniat untuk memperincikan selumatnya. Cukuplah sekadar gambaran awal bagi mereka yang ingin tahu dan punya kemahuan untuk menggapai Taqwa.

Satu ketika di saat panggilan perang dilaungkan, para sahabat berduyun menyahut seruan Rasulullah menuju ke medan perang yakni Perang Tabuk. Lalu diujilah Kaab bin Malik dengan ujian kebendaan yang mana ketika itu musim buah sampai kepada fasa penuaian. Tinggallah Kaab bin Malik bersama dua orang lagi sahabat yakni Murarah bin Malik dan Hilal bin Umayyah.

Dikisahkan, Kaab bin Malik berjalan di sekitar kawasan halamannya dan sedar kelibat pemuda langsung hilang dari pemandangan matanya. Jasad yang wujud di sekitar perkampungannya hanyalah terdiri dari golongan lelaki tua, kurang upaya, wanita dan kanak-kanak sahaja. Maka, hadirlah rasa sesal di atas pengecualian dirinya. Beliau menyesal di atas kegagalan beliau melepasi Ibtila’/ujian yang dihadirkan Allah ke atasnya. 

Seusai peperangan, Kaab bin Malik segera bertemu dengan Baginda s.a.w dengan membawa sejuta penyesalan dan memohon keampunan di atas kesalahannya itu. Lalu baginda memohon penjelasan dari pihak Kaab bin Malik sebab-sebab pengecualiannya di medan tabuk. Sahabat yang mulia, Kaab bin Malik menceritakan satu persatu asbab-asbabnya tanpa berselindung apatah lagi ‘memback up’ diri. Namun, Kaab bin malik tetap dikenakan satu hukuman yang cukup-cukup beerti khususnya buat pengajaran para penggerak panji-panji Islam.

Kaedah Pemulauan. Kaedah ini dikenakan kepada Kaab bin Malik sebagai denda daripada Rasulullah s.a.w selama 50 hari berturut-turut. Pemulauan ini menjadikan diri Kaab bin Malik langsung tidak dipandang apatah lagi ditegur oleh masyarakat mahupun di pasar atau mana-mana sahaja.

Disebabkan terlalu sedih, pergilah beliau ke rumah sahabat karibnya mencari tempat berkongsi rasa. Diketuk pintu berulang kali sehingga dibuka. Muncullah wajah sahabatnya, Abu Qatadah. Abu Qatadah tetap diam seribu bahasa kerana mentaati suruhan Rasulullah. Lalu Kaab bin Malik menuturkan, “Bukankah kamu tahu aku terlalu mencintai Allah dan Rasul??..” . Disebabkan terlalu mengasihi Kaab bin Malik, sahabatnya mengangkat pandangan dan menutur ringkas, “Hanya Allah dan Rasul yang tahu akan hikmahnya”. Maka berderailah air mata Kaab bin Malik di atas kalam ringkas sahabat karibnya itu.

Tika tiada secalit perhatian masyarakat diberikan kepada Kaab bin Malik, maka sampailah seutus surat dari Raja Ghassan memberi tawaran untuk ke Ghassan. Raja Ghassan menjanjikan akan memberi keistimewaan setibanya dia di sana. Seorang sahabat yang Mulia Kaab bin Malik pasti tidak akan tewas buat kali kedua. Ditolaknya pelawaan itu demi mengharungi tarbiyah langsung dari Rasulullah.. jikalau kita yang berada di tempat sahabat yang mulia ini, mampukah kita??.. ujian demi ujian yang menimpa..

Di dalam kesedihan yang teramat, datang seorang sahabat membawa khabar dari Rasulullah.. Kaab bin Malik mengharapkan ia adalah khabar penglepasannya dari hukuman pemulauan itu. Namun, khabar dari utusan Rasulullah yang diharapkan itu sebenarnya membawa khabar pelanjutan hukuman ke atasnya. Satu utusan  agar dia dipisahkan daripada isterinya seberapa waktu. Sungguh, khabar itu menggoncangkan hatinya. Selama 40 hari dia teruji dengan pemulauan dari masyarakat, tiba detik ini dia akan diuji pula oleh pemisahan dari isteri yang tercinta.

Genap 50 hari beliau dipulau masyarakat. Seusai solat subuh, beliau terdengar laungan seseorang, "wahai Kaab bin Malik!! Bergembiralah kamu!!".. lantas bersujudlah ia menzahirkan kesyukuran di atas pengampunan Allah terhadapnya. Berduyun-duyun sahabat-sahabat datang meraikan perlepasan hukuman yang bertempoh 50 hari itu. Datanglah ia pada Rasulullah, lalu Rasulullah menuturkan, "Bergembiralah kamu kerana hari ini adalah sebaik-baik hari selepas lahirnya kamu dalam kandungan ibumu".

Tercatatlah kisah ini utuh dalam lembaran sejarah nubuwwah. Bukan kerana menunjukkan keburukan sahabat tapi menjelaskan keikhlasan dan kehebatan para sahabat Rasulullah bersama-sama dengan Baginda walau mereka terseksa sekalipun. Ambillah pengajarannya selumatnya. Wallahua’lam..