Showing posts with label DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label DAKWAH. Show all posts

Saturday, November 19, 2016

CATATAN SENJA SEORANG ANAK MUDA

Khusyuk aku mendengar kalam beliau. Beliau yang semakin dikenali atas catitan harian ringkasnya, 'Hari Ini Dalam Sejarah' sedang berkongsi pandangan dan pengalaman dalam merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PAS Kota Bharu.

Terasa sahaja ingin ditaip satu persatu butiran itu untuk dikongsikan bersama teman-teman di media sosial. Namun kerana ucapannya terlalu lama (hampir sejam) dan tidak ingin artikel ini terlalu panjang, lalu coretan ini cuba memilih beberapa butiran penting saat ini untuk dikongsi bersama.

Beliau yang aku maksudkan adalah Al-Fadhil Dr Fadhli Ghani telah memulakan ucapan dengan cuba mengingatkan kembali teguran yang keluar daripada bicara Us Dr Riduan Nor ketika Usrah Gabungan Pemuda Kota Bharu beberapa hari lepas. Cuma dalam ucapan perasmiannya ini, beliau cuba mengulasnya dengan lebih dalam dengan menyarankan kepada pemuda PAS agar memperbaiki dan pertingkatkan beberapa perkara yang mungkin kita terlepas pandang di Kelantan.

a)      Pertama dari sudut TARBIYAH

PAS harus perkasakan kembali Tarbiyahnya.

Ketika PAS kalah pada tahun 1978, PAS diibaratkan seperti berada dalam satu kegelapan. Seolah tiada cahaya(harapan) untuk menang bagi hari-hari seterusnya kerana isu-isu yang sedang melanda PAS saat itu. Namun kegelapan itu bukanlah kelam yang selama-lamanya kerana  kemenangan berjaya dicapai kembali pada tahun 1990.

Sehinggalah hari ini Kelantan mengecapinya, HASIL KEKUATAN DALAMAN YANG DIBINA SELEPAS KEKALAHAN. Jasa-jasa orang dahulu begitu besar maknanya kepada kemenangan yang kita rasai hari ini di Kelantan. Bila dikaji, antara sebab kemenangan itu kembali datang dan Kelantan mampu dikekalkan adalah kerana PAS Kelantan mula mengatur rentak sebaik sahaja menimpa kekalahan. Pergerakan jamaah dan jati diri ahli mula diperkukuhkan bagi membentuk teras dalam Jamaah.

Tarbiyah kembali diperkasakan. Dewan Zulkifli telah menjadi saksi akan kewujudan kem-kem ini satu ketika dahulu. ATGNA mula merencanakan kuliah Dhuhanya dan setiap lapisan jentera penerangan parti dikerah untuk hadir. Kemudian wajib bagi mereka menyampaikan kembali butiran pengisian itu kepada orang lain sama seperti yang disampaikan oleh TGNA. Sehingga diceritakan, 'butiran pengisian yang sama' betul-betul sampai ke setiap lapisan masyarakat. Maknanya delivery maklumat Berjaya diselaraskan, sehingga segala benda yang dikehendaki oleh pimpinan/ATGNA disalurkan sebaiknya ke peringkat bawah. Kesatuan fikrah mula dibina secara berperingkat. Antara perkara yang ditekankan adalah pemahaman dalam berjemaah, bukannya sekadar memahami Islam secara umum.

b)      Kedua dari sudut PENGKADERAN

Dewasa ini bila kita berhadapan dengan isu-isu panas, antara yang banyak terkeliru adalah orang-orang muda. Terutamanya orang yang tidak melazimi aktiviti-aktiviti Tarbiyah Jemaah. Sebelum ini kita biarkan sahaja individu-individu yang condong kepada kita, dengan berteori sekurang-kurangnya mereka menyokong apa yang PAS perjuangkan. Bagi kita asal mereka mampu bertakbir dalam program kita, ia sudah memadai . Malangnya, bila ribut mula melanda PAS, ramai yang rapuh dan tumbang. Di sana, kita tersedar akan kesannya bila membiarkan orang muda kesampingkan proses pembinaan. Sedangkan proses pembinaan itu adalah penting bagi menjadikan mereka teras dalam Jemaah.

Al-Fadhil juga mengajak pemuda memerhatikan peluang pengkaderan di setiap peringkat cukup banyak. Jika di Kelantan kita mempunyai sekolah YIK, kita ada UBES. Di lain negeri pula kita ada madrasah-madrasah(contohnya Darul Quran Rusila, Darul Ulum dsb) yang berada direct di bawah jamaah. Kurangnya adalah kita tidak cuba memanfaatkan sebaiknya. Sehingga hari ini adik-adik remaja di sekolah YIK walaupun sudah 4 tahun bermukim di sana tapi masih terbiar tanpa usrah. Adik-adik remaja ini mungkin hebat dalam ilmu-ilmu teras, namun gagal memahami konsep berjemaah yang kita kehendaki. Lihatlah bagaimana hari ini ISMA, IKRAM dsb (IRC) begitu serius menekankan berkenaan perkaderan. Mereka sedar satu ketika dahulu mereka pernah terputus perkaderan dan sekarang, mereka mula membina kembali. Mereka juga sedar satu ketika mereka telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Dr Zul dan seangkatannya.

Sekiranya berterusan begini, kita akan kehilangan pelapis untuk memikul beban perjuangan ini. Maka sewajarnya kita pendukung PAS perlu memikirkan cara untuk pertingkatkan pengkaderan di peringkat masing-masing. Samada kembali membangunkan sekolah-sekolah jamaah yang hampir rebah sebelum ini atau seumpamanya. Dengan menekankan kembali aspek pengkaderan, kita mampu membina fikrah-fikrah berjemaah daripada kecil lagi. Jika diperhatikan hari ini adik-adik kita tidak mengenali PAS dengan sebaiknya. Hakikatnya mereka kenal Pas itu hanya pada jasad ATGNA tetapi gagal memahami apa yang sedang PAS perjuangkan. Usah bicara berkenaan PAS, keperluan berjemaah pun kabur dan kelam.

Seterusnya, Al-Fadhil US Dr Fadhli Ghani melanjutkan bicaranya dengan membawa kami merenung kembali hakikat pergolakan yang sedang berlaku. Sememangnya kita harus beriman, setiap orang daripada kita mesti akan diuji oleh Allah S.W.T dalam melalui jalan kehidupan ini. Ujian datang untuk melihat siapa yang benar-benar beriman atau tidak. Allah S.W.T bila ingin mendatangkan ujian kepada orang yang sedang berjuang untuk agamaNya, sudah pasti Allah akan datangkan ujian yang boleh menggugat perjuangan yang kita dukungi selama ini.

Sejarah telah menceritakan kepada kita ahli PAS pernah diuji dengan ISA, diuji dengan wang dan sebagainya. Lalu harus kita menyedari, bilamana Allah mahu menguji manusia, Dia akan mencari titik yang paling kita lemah. Titik inilah yang tidak sama antara kita sebagai manusia. Ada orang lemah dengan harta, ada orang lemah dengan wanita dan ada juga yang lemah dengan pangkat. Mungkin bagi segelintir orang tiada masalah untuk hadir ke setiap program Jemaah dan mampu melaziminya setiap masa. Namun mungkin di sana pula, Allah mengujinya sudut kewangan. Ini kerana titik kelemahan kita berbeza.

Saat ini di dalam PAS, antara titik lemah yang ketara pada kita adalah ujian sebuah KETAATAN, KESETIAAN dan KEPERCAYAAN. Setelah hampir 60 tahun PAS bergerak, masyarakat semakin ramai mendekati PAS dan kita melihat seolah kemenangan sedang menghampiri kita.

Namun tiba-tiba mula ada yang buat kepala, tak dengar kata dan rasa diri mereka sahaja yang betul. Maka saat itu kita diuji dengan sebuah KETAATAN. Bila kita berkawan(bertahalluf), ada dalam kalangan kita keliru nak ikut PAS atau DAP. Saat itu kita mula diuji dengan sebuah KESETIAAN. Bila kita tengok ramai pemimpin lain yang cerdik pandai, kita mula berfikir samada pemimpin kita yang cerdik atau pemimpin orag lain yang lebih cerdik. Kita mula mempercayai ayah orang lain daripada ayah sendiri. Maka ketika itu kita diuji dengan ujian KEPERCAYAAN.

Semua ujian ini iaitu ujian taat, wala’ dan sikoh sedang melanda kita. Padahal ketika kita kecil remaja dahulu kita sentiasa melazimi tajuk-tajuk ini dan kita mudah menghuraikannya dalam setiap usrah. Lidah kita mudah menuturkannya dan kadang-kadang ligat menasihati adik-adik dan mad’u kita akan perkara ini.

Demikianlah itu, kisah tentera Talut cukup menjadi pengajaran yang besar buat kita dalam erti sebuah ketaatan, kesetian dan kepercayaan kita kepada jemaah. Di saat jauhnya medan pertempuran dan keletihan melanda, mereka melalui sebatang sungai. Dalam suasana yang letih dan dahaga itu, muncul pula arahan agar tidak meminumnya. Saat itu betapa ramai yang mempersoalkan arahan tersebut kecuali mereka yang sedikit. Namun di sana Allah menegaskan betapa banyak kumpulan yang sedikit mampu mengalahkan kumpulan yang banyak sebagai motivasi buat tentera Talut.

Moga setiap catitan ini bermanfaat untuk insan-insan yang sedang mendukung PAS. Kita sebagai murabituun, pendidik atau juru dakwah harus bermuhasabah kerana kita sekadar berpuas hati mendidik masyarakat secara separa sahaja. Asas dan pendidikan keperluan berjemaah kita abaikan sehingga ramai yang mula mengabaikan tanggungjawab dakwah dan berjemaah. Seterusnya menatijahkan masyarakat yang selesa hidup bersendirian atau sekadar menjaga perihal keluarga sendiri. Barangkali mereka berfikir, asalkan kami sekeluarga hidup dengan cara Islam itupun sudah mencukupi. Malangnya, mereka sebenar tercicir akan tanggungjawab bermasyarakat.



 
Sampai hari ini aku bersyukur kerana masih dikejapkan hati untuk bersama jemaah ini. Walaupun ada yang berhujah PAS ini bukannya sebuah agama dan hanyalah wasilah, tidak wajib untuk diikuti. Namun, aku menyedari wasilah inilah yang paling layak untuk aku serahkan segala apa yang ada bagi meletakkan Islam pada tempatnya untuk melunaskan beberapa tuntutan ayat Allah yang kita pelajari. Secara akhirnya pesanku, janganlah kita MENGHIDUPKAN MANA-MANA WADAH yang boleh MERENCATKAN WASILAH INI untuk terus menapak ke hadapan.

Syafiq Sarifuddin

Monday, May 18, 2015

Sebuah Cadangan Syurga Neraka

Bismillahirrahmanirrahim..

Menarik juga bila Al-Fadhil Us Shafiq Sahimi dalam kelas pengajiannya td, ada mencadangkan kepada persatuan di sini untuk bentangkan satu kitab khusus Fiqh Syurga Neraka. Bila diperhatikan, seolah perlu digesa gerakan dakwah untuk perkuatkan kembali aktiviti bg merangsang 'sensitiviti' kita pada dua benda besar ini, Syurga dan Neraka.

Hari ini kita manusia makin hilang rasa gerun terhadap kedasyatan azab NERAKA. Bila sebut neraka, x datang rasa gerun. Bahkan, berapa ramai pula yg menjadikan neraka sebagai modal melawak. Dahla tak gerun, boleh pula melawak.

Kita lihat Fiqh Khamsah, Sab'ah, Ikhtilaf, Isu Maqasid dsb sedang giat dibentangkan hari ini. Maka alangkah baiknya jika Fiqh Syurga dan Neraka ini juga diselitkan bersama.

Jangan selalu biasakan dan pendekkan anak-anak kecil remaja dengan tawaran yg bersifat sementara. Juga, jangan takutkan mereka dengan ancaman-ancaman dunia semata. Wajar gabung jalinkan sekali Syurga dan Neraka.

Lihatlah kecil-kecil dahulu, kalau kita buat silap, orang2 tua sering bg ancaman.. "Jangan buat benda tu, nanti polis datang tangkap.." Terus kita tak jadi buat.. Sedar x sedar, mereka sedang bina rasa takut kita pada polis.

Begitulah juga jika ditanam 2 perkara tadi hari ini, kesannya akan kita dapat pada tahun-tahun yg mendatang. iAllah.

|| Menulis Untuk Berkongsi ||

Monday, April 13, 2015

FITNAH ALAM TERBUKA

Bismillahirrahmanirrahim..

Dewasa ini, kita melihat begitu banyak pertelagahan yang berlaku dalam dunia semasa. Baik dari sudut politik, agama dan ideologi. Semuanya saling mencari ruang untuk menguasai pemikiran-pemikiran generasi Y yang mendada berani masuk ke medan dunia terbuka. Kemudahan media yang sepatutnya memberikan banyak kebaikan telah bertukar kepada memberi malapetaka dalam menjaga kesatuan.

Saya pernah terbaca satu buku yang membicarakan berkenaan pengurusan manusia. Antara kata-kata yang dikongsikan oleh Malcolm S. Forbes, Jr., ketua pengarang bagi sebuah majalah bisnes :

“Masihkah kamu ingat kali pertama komputer muncul? Kemunculannya DITAKUTI. TV dikhuatiri dijadikan alat propaganda. Tetapi disebabkan teknologi tinggi, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, komputer menjadi semakin kecil dan kuasa menjadi terlalu besar. Jadi, kita tidak lagi terikat.”

Mikrocip telah memanjangkan jangkauan pemikiran manusia sebagaimana mesin memanjangkan jangkauan otot manusia pada abad yang lalu. Software pada hari ini bagaikan kepingan besi, gentian optic dan skrin digital bagaikan landasan keretapi dan lebuh raya pengangkutan. Maklumat pula adalah bahan mentah yang dicari. Itulah analogi kita hari ini.

Namun sebenarnya, teknologi sahaja tidak cukup ketika kesukaran berlaku. Jangan hanya kerana alat komunikasi mudah didapati tidak bermakna manusia tahu berkomunikasi dengan baik! Ini adalah satu ironi zaman moden. Walaupun alat perhubungan semakin canggih, tidak bermakna akan menghasilkan hasil yang sentiasa positif seandainya gagal menguruskan medan-medan yang ada.

Semuanya berpaksikan kepada iman dalam keasyikan memanfaatkan medium yang ada. Saya yakin perjalanan zaman dari semasa ke semasa akan mematangkan pemuda hari ini. Cuba kita putar kembali diri kita, bermula dari era kelesuan kemudian berdiri dengan semangat islah, anak muda mula menyebarkan idea-idea yang muncul. Semangat yang ada telah melahirkan rasa suka berkongsi sehinggakan kadang-kadang tersilap fakta dan tersilap sumber. Lalu terbit pula istilah tabayun dalam berkongsi dan seterusnya melahirkan pemuda yang dibina dengan sifat tajarud dan berprinsip. Perkara ini meneguhkan lagi keyakinan saya, semua peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Teman yang disayangi,

Apa yang ingin saya bawakan adalah isunya mirip dengan kita hari ini, kita banyak menjadikan sumber ‘kola wa kola / telah berkata dia dan dia’ iaitu menjadikan sumber sekunder tanpa merujuk kepada sumber asal/primer. Perkara seperti ini tidak ubah sebuah radio buruk yang telah membuatkan persepsi terbina dan kebanyakannya akan menghasilkan maklumat yang menyimpang daripada hal sebenar. Budaya bersemuka perlu disuburkan bagi mengelakkan perkara ini menjadi tabiat dalam diri generasi muda.

Dalam kita melewati arus kemodenan dan perbalahan sesama sendiri, janganlah kita jemu untuk mentadabbur Mukjizat Agung Nabi melalui Al-Quran dan Hadith. Rapatkanlah kembali barisan dan perkukuhkan ikatan kebersamaan kita. Ayat ini mempunyai makna yang cukup mendalam bagi seorang pendukung agama Allah.

Allah S.W.T berfirman,

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.  (As-Saff : 4)

Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda,

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam hal berkasih-sayang dan kecenderungan jiwa (simpati) seperti perumpamaan jasad/tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh akan merasakannya, iaitu tidak mampu tidur dan (sakit) demam. (HR Ahmad, Baihaqi, Muslim, Thabrani dan Qudha‘i)

Ayuhlah, kita buktikan iman kita dengan membenihkan sifat-sifat di atas. Leraikan kekusutan yang ada demi mengukuhkan kesatuan kita. Kekurangan yang ada diterima dengan lapang dada dan usah diperbesarkan. Kelebihan yang ada harus digunakan semaksima mungkin bagi meneguhkan sebuah kepimpinan. Suburkan budaya berbincang kerana kalam yang keluar daripada sahabat di luar tampuk kepimpinan tidak wajar diiktibar sebagai pendirian sesebuah kesatuan. Sama-samalah kita menjadi batu-bata kepada gerakan dakwah dan tarbiyah ini.

Wallahualam.



KEBERSAMAAN DALAM SETIAP PERKARA

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam meneroka alam Tarbiyah, Dr Ali Abdul Halim Mahmud ada berkongsi beberapa jalan/wasilah yang harus dilalui oleh Abanaul Harakah.

1- Usrah
2- Nadwah 
3- Katibah 
4- Daurah
5- Rehlah
6- Mukhayyam (Muaskar)
7- Muktamar

Wasilah ini ada kecenderungan yang tersendiri. Melalui wasilah ini, ia akan menghasilkan وضوح الأهداف والغاية (kejelasan hadaf dan ghayah), kesatuan dalam gerak kerja, keakraban tenaga penggerak, hilang syak wasangka antara rakan-rakan sekerja dan sebagainya.

Harus diingat, benda yang utama yang kita inginkan melalui setiap pertemuan yang diaturkan bukan sahaja proses input/ilmu bahkan ada perkara lain yang turut berkongsi kepentingan seperti menautkan rasa kebersamaan dalam berorganisasi. Adalah menjadi satu kesilapan jika dalam mindset/kepala kita hanya mengharapkan nilai input/imu semata daripada setiap pertemuan yang dianjurkan.

Maka dengan asbab itulah kita harus memahami setiap aturan atau agenda yang diatur mempunyai objektif tersendiri. Janganlah kita melihat NADWAH itu penting manakala REHLAH itu tidak penting sehingga wujud kata-kata, “saya dah pernah pergi ke tempat tersebut, saya mahu pergi lain hari dan seumpamanya”. Harus faham, setiap wasilah tersebut sebenarnya akan mengimbangkan pergerakan abna’ al-harakah dalam setiap komuniti yang ada. 

Mana mungkin kita dapat berjalan baik kalau tiada matlamat yang jelas. Begitu juga ukhuwah, mana mungkin kita akan berjalan dengan tenang sedangkan wujud prasangka yang bukan-bukan antara penggerak. Kita mungkin akrab dengan sahabat di sebelah tapi belum tentu sahabat di belakang akrab dengan kita. Itu adalah contoh mudah yang saya berikan.



Oleh kerana itu, memenuhi setiap wasilah ini menjadi kepentingan yang harus diutamakan. Alasan minta uzurkan/tidak hadirkan diri daripada aktiviti bersifat KATIBAH ataupun REHLAH tanpa asbab yang Dharuri adalah satu sifat yang harus dilenyapkan dalam diri abnaul harakah. Setiap wasilah ada agenda yang disusun, bukan sekadar menghabiskan waktu. Bukanlah MUKTAMAR itu besar REHLAH itu kecil yang menjadi persoalan, tetapi kecenderungan bagi menstabilkan pergerakan itu yang sebenarnya harus diteliti.

Begitu juga dengan wasilah-wasilah yang lain. Keperluan bagi kita untuk memenuhi setiap hal tersebut adalah perkara yang harus difahami dengan baik oleh para pendukung gerakan islam. Pesanan buat diri dan kita semua.

Wallahualam.

Sunday, June 29, 2014

ORANG LAMA DAN ORANG BARU DALAM KELOMPOK MAHASISWA

Bismillah..

Cuba menulis sesantai mungkin.

Kita Hari Ini

Sengaja membuka cerita ini disebabkan situasi ini sering mengasak emosi saya selaku penuntut ilmu, sahabat, anak, mahasiswa, aktivis dan lain-lain.



Pernah satu ketika saya terbaca satu tulisan atau mungkin kenyataan (lupa di mana),, “Sampai bila gerakan mahasiswa islam ingin terkehadapan jika setiap kali hadaf/target/VMO dibuat pada satu sesi kepimpinan sebuah legasi, dan bilamana sampai pada sesi selepasnya ia dibubar kembali. Kisah ini seterusnya berlaku pada generasi-generasi seterusnya. Berulang dan terus berulang”. Mungkin berbeza matannya tapi maksudnya begitulah..

Saya akan cuba menjelaskan dan memohon Allah jauhkan dari segala kekhilafan.

Contoh yang boleh saya berikan. Pada zaman kepimpinan Amin, mereka bersepakat membawa agenda pemantapan Nuqaba’. Tiba zaman Ali, Ali nekad membawa agenda pemantapan biah solehah. Dalam masa yang sama agenda Abu masih terkapai-kapai. Tak sempat nak bina tiang, baru je bina tapak, dah bina tapak lain. Terus terbengkalai dan tak cukup masa kerana kebiasaanya setiap sesi hanya setahun. Seterusnya tiba pula zaman Dolah, diubahnya pula agenda sebelumnya tanpa melihat kepada kelangsungan agenda-agenda sebelum ini.

Saya bukan menafikan bahawasanya setiap matlamat digubal berdasarkan keadaan semasa. Saya cuma mengkritik segelintir aktivis yang membina matlamat tanpa dikaji pembawakan sesi-sesi sebelumnya. Tiada kaitan dengan anda? Tutup blog ini, teruskan kerja anda yang masih banyak tergalas.

Merenung.

Saya terfikir, kenapa sebenarnya hal ini terjadi.

Hari ini, gerakan islam mahasiswa atau dengan nama formalnya Persatuan Mahasiswa Islam(PMI) setiap kampus seringkali kehilangan tenaga-tenaga tua dalam menggerakkan agenda dakwah sesebuah organisasi. Padahal bila diperhatikan secara tulus, wujud pelbagai potensi dalam diri ahli kampus. Namun gagal dimanfaatkan sebaiknya. Adakah tenaga tua itu disekat?.. atau ada kesilapan teknikal dalam menguruskan kedua-kedua golongan mahasiswa ini? Golongan Tua dan Muda.

Siapa itu Golongan tua dan siapa pula golongan muda?

Apa yang saya maksudkan dengan golongan muda adalah mereka yang baru berkecimpung dalam aktiviti berpersatuan. Individu yang Allah campakkan kesedaran DAKWAH dan ISLAH dalam jiwanya walhal mungkin sahaja dahulu kala ketika zaman persekolahan dialah yang paling otai dan nakal, pelajar pasif atau seumpamanya.

Dan golongan tua adalah golongan yang sudah lama (yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah 3-5 tahun) bergiat dalam dunia gerakan mahasiswa. Skop mahasiswa, bukannya umum. Mereka yang telah berkecimpung dari alam persekolahan dan melanjutkan ke alam universiti samada peringkat diploma, ijazah dan seterusnya. Saya lebih berminat untuk menjurus kepada peringkat persekolahan , diploma dan ijazah kerana peringkat MA dan PHD kebiasannya punya komitmen lain seperti berumah tangga dan seumpamanya. Dan saya cuba jenamakan mereka dengan golongan TUA dalam gerakan dakwah kampus ini.

Kedua-dua kelompok ini punya perbezaan yang ketara. Biasanya dalam berpandangan. Dan saya memerhatikan di sinilah puncanya.

Bagi saya, di sinilah puncanya yang menyebabkan gerakan dakwah secara berorganisasi dalam kelompok mahasiswa terus lesu. Mungkin terdapat banyak faktor lain, namun faktor utama yang saya ingin ketengahkan adalah gagalnya kita mengurus dan menyusun cara fikir mereka ke arah satu jalur/matlamat Ya, memang susah. Saya sendiri belum mempunyai cara khusus.

Namun hari ini saya cuba untuk menulis, membuka mata saya sendiri yang masih tertutup, atau mungkin juga satu keluhan yang bersifat picisan. Masing-masing boleh berfikir dan satu sahaja pesanan saya, jangan mudah membina persepsi kekal kerana di sanalah TEMBOK BESAR terbina.

Kelompok Tua.

Saya agak tidak berpuas hati dengan golongan ini. Satu soalan saya lontarkan, kenapa begitu sukar kalian ingin bersama dengan gerak kerja organisasi/ persatuan?? Saya melihat kebanyakan golongan ini lebih suka mengambil part/posisi dalam melontarkan idea semata. Namun dalam menggerakkan idea agak sukar. Komitmen yang sememangnya menghampakan. Masakan tidak, bila dilantik sebagai AJK program sekian-sekian, kalian menolak dalam kelembutan. Walhal organisasi memerlukan tenaga-tenaga lama di samping tenaga-tenaga baru yang biasanya mempunyai komitmen tinggi. Dan disebabklan faktor inilah kalian semakin diketepikan dari jawatan-jawatan penting sesebuah organisasi.

Lalu bila kelompok tua berterusan dengan sifat sebegini, tidak peliklah mereka akan diketepikan dari tenaga-tenaga penggerak program buat kesekian kalinya kerana komitmen yang menghampakan. Bila diajak meeting, tak hadir. Bila dilantik Ajk, tolak. Kadang-kadang sehingga menggagalkan perancangan sesebuah organisasi. Sehingga terpaksa digubal kembali struktur jawatan sedia ada, ke hulu ke hilir mencari tenaga. Sehinggakan picisan tenaga tua berbaki(yang masih punya komitmen tinggi) mula muak untuk memberi peluang pada mereka.

Lalu tinggalah mereka bersama dengan hal-hal mereka sendiri. Yang paling memedihkan bilamana keluar ura-ura organisasi mengenepikan mereka dan seumpamanya. Kemudian terbinalah jurang persepsi di antara kedua-dua pihak. Begitulah seterusnya dari tahun ke tahun. Lemas dalam kabus yang dibina sendiri.

Namun, saya tidak menafikan wujudnya sebab-sebab yang lain.

Kelompok Muda.

Tinggalah cebisan tenaga tua ini bersama tenaga-tenaga baru yang ramai. Lalu dalam perjumpaan wujudlah perbincangan yang biasa dibincang. Buat poster, edar. Buat iklan, siar. (Ini tidak termasuk poster dan iklan yang tak berjalan). Daya dakwah yang digerakkan tiada peningkatan, bergerak dalam kadar yang sama. Gerak kerja DAKWAH tidak sepadu gerak kerja DAKYAH kaum kuffar dan sekufunya. Mungkin dengan istilah lain, mengikut adat. Bila cuba membuat teknik brainstorm dalam meeting, 2/3 berdiam diri. Biasalah kerana masih baru dan cuba menyesuaikan diri. Bukan hendak salahkan mereka kerana kelompok tua pun terbina dengan situasi sebegitu juga pada mulanya.

Perhatikan, kelompok muda inilah yang menjadi tulang belakang organisasi. Komitmennya ditagih organisasi dalam menggerakkan program-program dakwah. Walaupun kadang-kadang bentuk programnya mengikut adat, namun di sana banyak jasa-jasa yang mereka tabur demi kesinambungan dakwah. Dakwah terus hidup. Kebajikan terus dijamin walaupun wujud sedikit kelompangan.

Muhasabah Bersama.

Di sekeliling saya penuh dengan suara-suara/kritikan daripada teman-teman yang kadang-kadang sungguh membina untuk sesebuah organisasi. Tetapi saya kebuntuan jalan kerana kurang tenaga untuk menggerakkan idea-idea itu. Bila diajak bersama membawanya, kendur urat lehernya. Mujur ada tenaga-tenaga baru yang komitmennya tak mampu dihitung.

Kembalikanlah nafsu aktivismu itu. Carilah titik persamaan. Bunuhlah perbezaan-perbezaan kecil yang melemahkan gerak kerja dakwah kita. Bangunlah dari sofa empuk kita dan jenguklah ke luar sana, dan tanyalah pada diri bagaimana kehidupan anak muda hari ini.

Sebenarnya kita saling memerlukan. Kita sentiasa gagal mempertingkatkan momentum dakwah. Dakwah digerakkan seperti biasa tapi masalah sosial terus merebak secara luar biasa. Letih untuk memujuk orang lama, kerana pada mereka sudah ada kefahaman. Cuma terkadang tersilap teknik dalam pengurusan sehingga melarikan diri dari berorganisasi. Andai ingin membuat perubahan, sahutlah seruan ini, ayuhlah bersama-sama menggerakkan organisasi utama di kampus masing-masing.


Dakwah itu tiada hak milik mutlak.
Ia milik sesiapa sahaja yang dirasakan layak.
Sebarkanlah ia ke seluruh pelusuk.
Tiada syarat tiada had.
Yang sebaiknya adalah katanya diiring dengan jasad.

Dan,
Tarbiyah itu bekal pendakwah.
Sebagai Tajarud menempuh mehnah.

Wednesday, June 25, 2014

Seandainya Ada Komitmen Yang Sepatutnya Terhadap Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim..

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka jarang kedapatan aktivis dakwah yang keguguran di pertengahan jalan dan dakwah akan mampu bergerak dalam merealisasikan tujuan-tujuannya dengan langkah yang pasti dan meyakinkan.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka hati akan mejadi bersih, akal akan bersatu sehingga sedikit sahaja individu yang mendahulukan akalnya serta memaksa untuk mengikuti pendapatnya.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka akan tersebarlah sikap toleransi, saling mencintai, saling menguatkan antara satu sama lain. Ini akan menjadikan saf utuh ibarat bangunan yang kukuh iaitu sebahagian menguatkan sebahagian yang lain.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka para aktivis dakwah akan memiliki sikap yang sama di manapun posisi mereka, samada di depan atau di belakang, menjadi pemimpin yang ditaati atau menjadi pengikut yang tersembunyi di belakang.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan berlapang dada dalam mempersepsi kekhilafan saudaranya, tidak ada hasad dengki serta permusuhan.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka akan tersebarlah sikap saling memaafkan, tidak ada hasad dengki dan dendam kesumat, selalu berfikiran terbuka dan berlapang dada.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah tidak akan lalai dalam menunaikan kewajipan dan melaksanakan taklifan bahkan akan sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan menggapai darjat yang tinggi melangit.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan mengurus masa dngan baik, tidak ada masa yang terbuang sia-sia oleh aktivis dakwah. Ini kerana dia selalu dalam keadaan bermunajat kepda TuhanNya, sedang berjihad di medan dakwah, sedang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran, sedang mendidik anak dan isterinya di rumah, sedang mengisi slot-slot pengajian, serta memberi peringatan kepada manusia lain di masjid.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan sentiasa berlumba-lumba untuk menunaikan kewajipan mengeluarkan infaq dakwah dan sudah pasti tidak timbul keraguan lagi. Slogannya adalah berbunyi : “Apa yang ada di tangan kamu akan musnah dan apa yang ada di sisi Allah akan tetap kekal abadi."

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan mempunyai sikap selalu mendengar dan taat setia, tidak ada keraguan apalagi bangga diri dan memaksakan pendapat peribadi.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan sentiasa ada pengorbanan yang besar untuk dakwah dan mendekatkan diri kepada Allah, bukannya pengorbanan untuk peribadi dan hawa nafsu semata-mata.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan sentiasa ada kepercayaan daripada pengikut terhadap pemimpinnya dan dia akan siap siaga melaksanakan arahan-arahan yang diberikan.

Seandainya ada komitmen yang sepatutnya terhadap dakwah, maka aktivis dakwah akan menangis kerana tidak mampu untuk mengoptimumkan keringat dalam melakukan kewajipan, akan bersemangatlah orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk menambah pahala dengan lebih banyak lagi.

Suatu Persoalan :

Bagaimana seandainya kita bertanya kepada diri kita : “ Bagaimana komitmen saya terhadap dakwah?” Sudah tentu jawapan yang muncul ada dua bentuk iaitu sebahagian mengetahui hakikat komitmen mereka terhadap dakwah. Mereka menelusuri jalan yang penuh dengan petunjuk dan cahaya. Mereka memiliki tujuan dan sasaran yang jelas sehingga mereka dapat berjalan dengan langkah yang nyata dan meyakinkan.

Sebahagian yang lain pula belum mengetahui hakikat komitmen mereka terhadap dakwah. Mereka melencong dari jalan yang semestinya dilalui. Mereka berjalan sambil lewa serta menyerahkan segalanya kepada reality kehidupan. Mereka terpengaruh dengan individu di sekelilingnya dan mereka tidak pula mampu mempengaruhi mereka. Maka eksistensinya (hak/kewujudan) adalah semakin jauh dengan realiti dakwah dan akhlaknya semakin menyimpang daripada arah perjalanan dakwah dan akhirnya mereka lupa komitmen terhadap dakwah.  Dengan perkataan lain dalam peribadi mereka tidak menemui jawapan-jawapan daripada persoalan berikut :

Mengapa anda percaya kepada dakwah?
Apakah fungsi dan peranan anda di dalamnya?
Bagaimana komitmen anda terhadap dakwah?

**Dipetik daripada Kitab Maza Ya’ni Intima’ Lil Ad-Dakwah / Apakah Erti Komitmen Terhadap Dakwah karya Muhammad Abduh.

……………………………………………………………………………………………………….....

Tulisan di atas ini hanya 1/10 daripada isi kitab yang sebenar dan saya sebagai penulis yang sempat mencatitkan beberapa lampiran ini amatlah mengharapkan sahabat-sahabat di luar sana berusaha untuk mendapatkan buku ini. Seterusnya menjadikan ia bacaan wajib khatam daripada senarai-senarai buku bacaan peribadi antum.




Moga Bermanfaat.

Thursday, April 17, 2014

Golongn Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim..

Malam ini saya terasa ingin meneliti kembali lembaran kata-kata Syeikh Fathi Yakan di dalam kitabnya Al-Mutasaqitun Ala thoriq Ad-Dakwah. Sebelum itu, alangkah baiknya kita hadiahkan sekuntum doa buat insan tegas Syeikh Fathi yakan ini yang telah meninggalkan kita pada tahun 2009 yang lepas... Al-fatihah...

Sahabat yang dirahmati Allah, satu benda wajib bagi Abnaul Harakah adalah sentiasa memuhasabah/koreksi diri sendiri bagi memastikan tidak terjerumus dalam kalangan mereka yang pernah tersilap langkah atau mungkin dihijabkan oleh kabus iblis yang sentiasa memerangi jalan ini. Kita doakan agar hati-hati kita ditautkan akan rasa kecintaan sesama kita seperti rasa cinta sesama sahabat-sahabat Rasulullah Radhiyallah Anhum.

Kita sedia maklum, gejala keciciran ini sudah berlaku sejak dahulu lagi. Di dalam sirah Rasulullah telah mencatatkan perihal orang-orang yang pernah tercicir dalam jalan dakwah. Antaranya seperti kisah sahabat yang tidak mengikut serta ke dalam perang Tabuk yang mana pernah saya ceritakan di dalam post sebelum ini. Kisah habib bin abil Balta'ah. Kisah Masjid dhirar. Kisah Hadhithul Ifk. Kisah peristiwa Abu Lubabah. Semua itu haruslah menjadi cerita-cerita yang segar dalam akal kita dengan harapan ia menjadi peringatan di sepanjang jalan dakwah kita.



Di dalam kitab ini menyenaraikan punca-punca berlakunya keciciran. Hal ini telah dibahagikan kepada tiga faktor utama iaitu dari sudut Gerakan, Individu dan Sebab-Sebab luar yang menekan.

Antara masalah yang berpunca daripada gerakan adalah kerana kelemahan dari sudut tarbiyah, tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai, tidak membahagi-bahagikan kerja kepada anggota, tidak mengambil berat hal ahli, tidak menyelesaikan persoalan dengan segera, wujud pertikaian dalaman dan pimpinan digalaskan kepada mereka yang tidak layak.

Seterusnya berkaitan masalah yang berpunca dari individu itu sendiri. Antaranya adalah Tabi'i yang tidak tetap, risau dan takut sesuatu menimpa diri dan pendapatannya, bersifat melampau, bermudah-mudahan dan longgar, tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjolkan diri, cemburukan orang lain dan yang terakhir fitnah senjata.

Pada bab yang terakhir, Syeikh Fathi Yakan menerangkan berkaitan masalah yang datang daripada pihak luar yang sentiasa menekan. Antara bentuk tekanannya adalah tekanan dari sudut ujian, tekanan keluarga, tekanan persekitaran, tekanan gerakan-gerakan bahaya dan tekanan yang bermuka-muka.

Saya memahami ada bait-bait yang tidak jelas pada penulisan saya di atas kerana saya menulisnya tanpa menjelaskan maksud sebenar. Seperti biasa, tulisan saya di sini hanya sekadar pencetus semangat/membuka pintu kepada entum untuk merujuk kembali kitabnya yang sebenar.

Saya menasihati diri saya dan kita semua agar sentiasa memperkemaskan pengetahuan kita berkaitan gerakan-gerakan islam agar kita tidak menjadi punca ke arah perpecahan. Cubalah dengan apa cara sekalipun untuk kita membunuh sifat malas membaca yang ada dalam diri kita. Kadang-kadang kita punya niat yang murni namun jika digerakkan atas dasar semangat semata tanpa merujuk kepada tulisan/idea pakar-pakar gerakan islam ataupun perbincangan, kita akan gagal membawa idea-idea kebaikan menjadi idea bersifat Rahmat bagi Sekalian Alam. 

Malah menjadi satu kebimbangan, idea yang ingin kita bawa itu menjadi sebab perpecahan gerakan islam yang sedia ada. Saya pernah terkena, dan saya harapkan itulah pengalaman kepada saya di atas jalan ini. Mohonlah petunjuk dalam setiap tindakan. Moga Allah sentiasa memimpin kita.

Buanglah persepsi, dekatilah pertanyaan dan perbincangan jika ada sebarang syak.

Monday, April 14, 2014

TERPESONA DENGAN DIRI SENDIRI

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Allah memberi keizinan kepada saya untuk berkongsi salah satu bab penting di dalam kitab AFAT ALA THARIQ. Artikel kali ini saya tuju khas kepada diri saya dan para pencinta dakwah sekalian, tak kiralah yang aktif bekerja, yang ketagih mengkritik ataupun apa-apa sahaja.

Sesiapa yang melibatkan dirinya di dalam dunia dakwah, pasti akan berdepan dengan pelbagai mehnah ujian. Kadang-kadang ianya datang daripada luar. Tidak mustahil juga ia datang pada diri sendiri dan itulah yang paling dirisaukan. Hal inilah yang membuatkan kita harus meneliti kembali punca-punca terbantutnya pergerakan dakwah yang sepatutnya menjanjikan hasil kemanisan.

Bilamana saja saya melepasi helaian demi helaian kitab kecil yang bertajuk AFAT ALA THARIQ / Wabak Sepanjang Jalan, hati rasa terkoyak-koyak dihiris susunan tajam ayat-ayat di dalam kitab ini. Saya yakin, ia juga menyentuh hati rakan-rakan yang lain dan ia telah dibuktikan oleh beberapa teman saya yang pernah meluahkan rasa hati kerana terpukul dengan bait-bait itu. Ia memainkan hati sehingga terhirup-hirup, mata dipejam-pejam, dalam menikmati kenikmatannya.

Lalu semua itu memaksa jari saya untuk menulis kembali isi-isi penting yang ada di dalam kitab ini bagi perkongsian bersama.

Banyak tajuk yang wujud di dalam kitab WABAK SEPANJANG JALAN. Kitab ini menyenaraikan segala macam penyakit yang menghinggapi para pendokong dakwah. Namun, tajuk yang ingin saya petik pada ruang waktu ini adalah AL-I’JAB BIL NAFSI iaitu Terpesona Dengan Diri Sendiri.




AL-I’JAB BIL NAFSI
  •  Gembira dan Berharapan Baik
  •  Rasa Besar dan Membesarkan


Dari sudut huraiannya,
  • Suatu kegembiraan dengan diri sendiri hasil dari apa yang dilakukannya sama ada perkataan atau perbuatan tanpa menyinggung orang lain, tanpa mengambil kira perkataan dan perbuatan tadi baik atau buruk, terpuji atau terkeji.
  • Sekiranya perasaan terpesona tadi menyentuh dan menyinggung perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan  ke atas peribadi mereka di samping mengecilkan apa yang mereka lakukan itu, ia dikira AL-GHURUR yakni terlalu mengkagumi diri sendiri. Sekiranya telah menyentuh perasaan orang lain dalam bentuk penghinaan peribadi mereka, juga meninggikan dirinya ke atas mereka, ianya pula dinamakan AL-TAKABBUR atau begitu begitu mengkagumi dirinya.


Di sini saya mengharapkan kita semua jelas dan mampu membezakan di antara Al-I'jab Bil Nafsi, Al-Ghurur dan Al-Takabbur. Saya cuba meringkaskan.


FENOMENA AL-I’JAB BIL NAFSI BOLEH DIKENAL PASTI MELALUI PERLAKUAN BERIKUT 
  • Menonjol Kebaikan Diri
  • Enggan menerima Nasihat
  • Rasa gembira bila mendengar kelemahan orang lain terutama yang berlaku di kalangan rakan-rakannya.

  
SEBAB BERLAKUNYA AL-I’JAB BIL NAFSI

  • Suasana awal dibesarkan (terikut-ikut dengan cara orang tuanya)
  • Sering dipuji secara berdepan tanpa mengira peraturan hukum syara’
  • Sentiasa mendampingi golongan yang bersifat kagum dengan diri mereka sendiri
  • Berada dalam nikmat dengan melupai penganugerahan nikmat Allah
  • Telah memikul tugas sebelum matang dan tarbiyah secukupnya
  • Lalai atau gagal mengenal hakikat diri
  • Keturunan yang baik dan mulia
  • Keterlaluan dan berlebihan dalam menerima penghargaan dan penghormatan
  • Ketaatan yang melampaui batas
  • Tidak menyedari kesan yang akan timbul dari perlakuan Al-I’jab Bil Nafsi

  
KESAN-KESAN AL-I’JAB BIL NAFSI

Kesan Ke Atas Para Amilin
  • Terjebak ke dalam perangkap al-Ghurur bahkan juga al-Takabbur
  • Terhalang dari mendapat Taufik Allah
  • Kecundang apabila menghadapi suasana gawat dan genting
  • Orang ramai menjauhkan diri dan membencinya
  • Balasan dari Allah sama ada cepat atau lambat
Kesan Ke Atas Gerakan Islam
  • Mudah ditembusi
  • Terhenti atau sekurang-kurangnya agak lambat untuk memperolehi sahabat dan para penyokong


CARA MENGUBATI  PENYAKIT AL-I’JAB BIL NAFSI
  • Sentiasa mengingati hakikat kejadian diri manusia
  • Sentiasa mengingati tentang nikmat Allah dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya
  • Sentiasa memikirkan tengtang mati, kedudukan selepas mati yang penuh derita dan kengerian
  • Sentiasa mendengar dan mengamati kitab Allah dan sunnah Nabi
  • Sentiasa menghadiri majlis ilmu terutama yang membicarakan tentang penyakit hati dan cara merawatnya
  • Sentiasa memerhati keadaan orang yang sakit, cacat anggota, bahkan juga orang yang mati terutama ketika mereka dimandi, dikafan dan ditanam
  • Jauhkan dari bergaul dengan golongan yang kagum dengan diri sendiri
  • Hendaklah sentiasa diingatkan betapa perlunya adab dan tatatertib syara’ dalam menyampaikan sesuatu penghargaan, pujian dan penghormatan juga dalam memberi kestiaan dan ketaatan.
  • Jangan terlalu gopoh memegang teraju kepimpinan
  • Mendedah dan membiarkan diri kepada suatu sikap yang boleh menghapuskan rasa sombong seperti memberi khidmat kepada individu yang tarafnya lebih rendah
  • Muhasabah diri sepanjang masa sehingga ia berjaya mengenal pasti keaiban yang ada pada dirinya
  • Memohon pertolongan dari Allah melalui perantaraan doa, pertolongan dan penyerahan diri kepadanya.
  • Perlu menekankan tentang tanggungjawab individu,tanpa mengambil kira keturunan dan asal usul.

Semua ini saya kutip satu persatu dari kitab Wabak Sepanjang Jalan dan terjemahkan kembali ke dalam penulisan blog bagi sama-sama kita merenung diri. Masih banyak tajuk yang belum dikongsikan di sini seperti penyakit Al-Futur, Al-Israf, Al-Isti’jal, Al-Uzlah dan pelbagai lagi yang mana kebiasaanya menimpa para aktivis dakwah. Tanpa rawatan, ia akan menyebabkan kita terjunam dan terus terdampar di dalam lembah yang sangat dalam.



Moga apa yang tercatat di dalam lakaran ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua. Lakaran ini saya tidak sertakan bersama dalil-dalil quran atau hadis kerana tidak ingin memberatkan ruang yang ringkas ini. Saya menggesa pembaca di luar sana agar berusaha untuk mendapatkan kitab ini bagi memandu hati kita dalam melalui lorong dakwah. Begitu banyak dalil yang disertakan di dalam naskhah ini bagi memberi keselesaan kepada para pembaca.

Selamat meneruskan kembara.. moga kita dijauhkan dari penyakit-penyakit songsang dan sentiasa dipandu oleh kebenaran.


Saturday, March 8, 2014

Bidang Bukan Asbab

Bismillahirrahmairrahim..

Kenapa sambung bidang Qiraat? Apa manfaatnya untuk kelangsungan Islam pada zaman sekarang? Masih relevankah ilmu ini untuk zaman sekarang? Begitulah antara soalan yang pernah diutarakan. Mungkin berbeza dari segi matan tetapi seerti dari segi maksud. Itu adalah terjahan soalan-soalan lama. Baru sekejap tadi, saya menerima inbox dari seorang junior menanyakan kepentingan Qiraat dalam agama dan terus merangsang semangat saya untuk menulis sedikit artikel walaupun soalan yang baru sekejap tadi tiada kaitan dengan lakaran ini.

Artikel saya kali ini bukan ingin mengetengahkan hujah bagi memberi jawapan akan kepentingan ilmu Qiraat. Cukuplah merujuk individu-individu mahupun mana-mana artikel-artikel lain bagi mencari kepentingan ilmu Qiraat dan kaitannya dalam Agama.

Asakan soalan itu kadang-kadang merimaskan jiwa. Membuatkan saya melihat suasana sekeliling. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya sahabat yang mempunyai pelbagai bidang kerana saya telah melalui dua madrasah yang berbeza sebelum tiba ke bumi Mesir ini. Madrasah Sains dan Madrasah Agama. Alhamdulillah.. walaupun saya tak sehebat mereka semua dalam pentas pengajian.




Bidang Bukan Asbab

Teman-teman yang dihormati. Bidang yang kita ambil bukanlah penentu untuk kita membantu Islam. Tetapi kesedaran yang terbina itulah adalah pemangkin kepada kekuatan tenaga membina Daulah. Cubalah lihat di sekeliling kita. Berapa ramai yang mengambil bidang-bidang agama seperti Syariah, Dakwah dan sebagainya namun hasil yang diaplikasikan agak menghampakan. Cuba jenguk kawan-kawan kita yang menjurus kepada bidang engineer, doktor atau seumpamanya. Kadang-kadang mereka lebih terkehadapan dalam membawa risalah Islam. Mereka lebih bersungguh-sungguh mendalami bidang agama berbanding individu yang telah menceburkan diri dalam bidang agama.

Saya pernah menziarahi rumah teman aliran sains yang mana paginya sebelum subuh diisi dengan menghafal hadis. Petangnya penuh dengan jadual talaqi bersama syeikh. Soalnya, apakah faktor sebenar yang mendorong kepada terbuminya Islam menyuburi alam? Adakah bidang yang mereka libatkan? Bidang pengajian sebenarnya adalah wasilah untuk melahirkan PAKAR-PAKAR bagi menjadi benteng agama dan kuncinya adalah KESEDARAN. Belajarlah ilmu apa sekalipun selagimana ia dinamakan sebagai Ilmu, ia tetap bermanfaat.  

                                              

Membentuk 'Program Windows'

Fikrah Islam. Itu adalah item sebenar yang perlu ada pada setiap jiwa pemuda. Ia ibarat ibu dalam akal seiras program (c) /intel inside di dalam komputer. Sekiranya bidang atau kerjayanya sebagai tukang cuci tandas sekalipun, ia tetap bermanfaat. “Sahaja aku cuci tandas ni kerana agama aku menekankan aspek kebersihan. Aku akan pastikan semua tandas yang aku ditugaskan bersih sebersih-bersihnya”. Cuba bayangkan? Andai dia belajar ilmu berkaitan dadah sekalipun, sekiranya dihubungkan kepada kesedaran bagi membantu Islam, ia adalah satu kebanggan. Contoh ini mungkin agak lucu tapi itulah hakikatnya apabila pembinaan kesedaran dan fikrah Islam dalam diri individu diterapkan. Maka, bidang bukanlah kayu ukur tapi ia adalah wasilah bagi melahirkan tenaga pakar.


الوعي قبل السعي

“Kesedaran perlu dititik beratkan sebelum bertindak”. Demikianlah lantunan dari bibir Syeikh Ali Jumaah yang sering kali disebut dalam ucapannya yang mana saya petik dari bicara Ust Nazrul (seorang pengisi yang tidak asing lagi di bumi Mesir ini).

Situasi muram melanda golongan mahasiswa apabila tenggelam dalam zon yang selesa/comfort zone walaupun ia selalu diulang-ulang oleh mana-mana pengisi ataupun penulis. Suasana ini perlu segera dicantas dan dibasmi. Cuba lihat dunia Malaysia kita. Malaysia menagih individu yang pakar dalam bidang ekonomi, politik dan pelbagai lagi satu hari kelak.  Kepakaran dalam bahasa Mat Salleh amat memaksa diri kita seharus mungkin menguasainya. Dalam masa yang sama mengukuhkan lagi bahasa arab yang sedia ada. Bagi saya, bahasa arab adalah menjadi bahasa input manakala bahasa melayu dan inggeris menjadi bahasa output dalam dunia dakwah. Antara Sumber dan Medan. Kita perlu sedar kita adalah Negara Majmu’. Bukan terhad kepada orang melayu atau islam sahaja. Jadi, usah membenci bahasa barat kerana ia juga adalah elemen penting. 

                                         

Apa Tugas Kita?

Setiap benda yang diatur pasti ada hikmahnya. Allah mencampakkan kita ke dalam bidang sedemikian mungkin kerana kita masih ada kelompangan terhadap ilmu-ilmu itu. Jika dicari hikmah, pasti banyak yang akan terserlah. Pasti.

Jadi, kemaskanlah bidang kita dan jenguklah sahabat-sahabat di sebelah kita ataupun di luar sana. Perhatikanlah sahabat kita di Jordan, Madinah, US, Malaysia dan Mesir itu sendiri. Bandingkanlah dengan kehidupan kita. Dengan itu, pasti kesedaran akan terbina lalu kita akan terbebas dari kepompong zon yang selesa.


Banyakkanlah membaca kerana ia akan membina akal kita. Di samping itu, rujukan kepada syeikh ataupun orang yang faqih amatlah penting dalam membina kefahaman.. Moga Allah kurniakan kita ilmu yang bermanfaat kepada diri, masyarakat dan Islam. Moga dijauhkan dari perpecahan..

Wednesday, October 16, 2013

Berkorbanlah untuk Ummat Sejagat

Bismillah..

Jauh saya merantau, mencari satu perkara yang amat berharga dalam hidup sesiapa saja..

Sehinggalah hari ini, Hari Raya Korban kedua saya di bumi Mesir.. dan mungkin ke-22 di sejak bergelar manusia yang dipinjamkan nyawa.

Sirah Nabi Ibrahim cukup mengajar erti pengorbanan bagi saya pada hari ini. Baginda yang dikurniakan nikmat seorang anak di waktu senja hidupnya diminta meninggalkan anak dan isterinya di bumi yang tandus tiada jasad walau seorang. Sudahlah dikurniakan nikmat putera di pengakhir usia, lalu diarah pula meninggalkan kedua permata hati itu di tanah tandus tanpa air dan makanan. Namun, lembaran cerita pengorbanan itu cukup besar dalam sejarah manusia. Cerita itu telah menghidupkan bumi yang tandus itu menjadi bumi berpusat ibadah agung. Cerita-cerita pengorbanan itu telah membukukan pelbagai perkara penting sehingga tercatat satu rukun di dalam ibadah Haji.

Secara mudahnya, Nabi Ibrahim berkorban demi umat sejagat. Dek hentakan halus kaki kecil insan bernama Ismail, tanah itu telah menjadi tanah tumpuan manusia sehingga kini.

Ada banyak contoh yang wujud bila kita menulis berkaitan pengorbanan, saya cuba pilih situasi yang teramat dekat dengan keadaan sekeliling saya. Situasi ini situasi pengorbanan dalam sedar tak sedar. 

Satu gambaran ringkas. Banyak perkara yang terpaksa ditempuh oleh sebahagian sahabat sepengajian saya sepanjang mereka terlibat dengan kegiatan berpersatuan.  Banyak masa yang mereka korbankan demi kebaikan ahli sepengajian yang lain. Banyak wang yang mereka laburkan demi memastikan kemesraan terjalin di antara kelompok-kelompok yang wujud. Juga, banyak air mata yang mengalir dan keluhan terzahir  kerana setiap kali nilai murni yang mereka terjemahkan dicemuh oleh mereka yang tersilap tafsir. Banyak perkara yang mereka tempuh untuk mencapai kematangan berkaitan ilmu dan persatuan.

Tidak terkecuali, wujud juga golongan yang saya jumpa suka MENGAMBIL KESEMPATAN DI ATAS PENGORBANAN / KELETIHAN ORANG LAIN. Ada golongan yang saya jumpa suka mengkritik hasil kerja orang lain berdasarkan pemerhatian kaku mereka. Ada golongan yang saya jumpa mereka yang gemar hidup dalam dunia mereka sahaja. Ada yang ketawa sentiasa. Ada yang bergaya dengan nikmat yang Allah hadirkan pada mereka. Ada juga yang menangis kerana tersentuh dengan ‘lakonan sahabat-sahabat yang hampir sebaya dari korea’. Ahh, bermacam-macam ragam yang membuatkan saya memaksa untuk melihat kembali diri saya..

Mereka semua terlibat dengan aktiviti MENERIMA dan MEMBERI. Apapun, mereka tetap punya nilai korban, samada berkorban atau mungkin terkorban. Cuma, ada sebahagian cara mereka berkorban tidak selesa di mata sahabat-sahabat yang lain. Lalu, mereka dikritik kerana tidak mengimbangi sebaiknya gaya pengorbanan mereka. Ya! Ada segelintir dari mereka yang gagal mengimbangi sebaiknya gaya PENGORBANAN mereka Contohnya sibuk merancang program pengislahan ummat sehingga kadang-kadang lupa membelek kitab pengajian. Tapi amatlah jelek jika mereka dihentam teruk dari mereka yang TERKORBAN masa dan air mata demi sebuah cerita korea.. ataupun terkorban harta demi menggayakan fesyen mengikut zaman.. juga terkorban masa demi kepentingan diri.. malah kitab berdebu hilang tak tahu ke mana pergi.

Hidup di dunia kita TIDAK BOLEH BERDIRI DI ATAS KESUSAHAN ORANG LAIN SAHAJA. Kita selesa belajar sekarang di atas penat lelah orang lain.. kita kenal suasana sekarang juga di atas penat lelah orang lain.. Percayalah! Pasti ada secubit penat lelah orang lain yang pernah kita kecap.. Tapi, penat lelah apakah yang pernah kita terjemahkan kembali untuk sahabat yang hidup SEBUMBUNG dengan kita..

Bagi sahabat yang sentiasa berkorban untuk kemaslahatan teman sepengajian, imbangilah sebaiknya nilai murni itu. Jangan sampai kalian mengenepikan tujuan asal kalian yakni menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu sebaiknya dan berkorbanlah tenaga dan masa untuk kita sama-sama terjemahkan ISLAM dalam diri kita melalui BUMBUNG PERSATUAN yang ada. Saya tetap memahami dan sentiasa menghargai setiap pengorbanan yang kalian curahkan. Imbanglah sebaiknya kerana ilmu itu adalah keutamaan untuk kita mengawal kesatuan ummat..

Buat sahabat yang terbiasa dengan MENERIMA. Latihlah diri untuk mula bersifat dengan MEMBERI. Imbanglah sebaiknya agar hidup kita sentiasa berbakti di antara satu sama lain. Sesungguhnya, dalam nilai MEMBERI itu tersirat PENGORBANAN yang suci. Dalam kita menuntut, pekalah dengan keadaan sekeliling kita. Kita dilahirkan dengan acuan ISLAM. Kita diajar menyuruh kebaikan mencegah keburukan. 


BERKORBANLAH selagi mana hayat ada di dalam jasad. Usah hidup dengan diri sendiri.

Salam Eid Adha 1434 Hijrah.