Tuesday, May 5, 2015

Oh, Naqibku !

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat menulis artikel ini, berbaki kurang sebulan untuk saya menamatkan pengajian secara rasmi di bumi Shoubra, Mesir (semoga lulus dengan baik). Dalam masa yang sama, tempoh perkhidmatan saya dalam persatuan di sini semakin menghampiri ke penghujungnya. Biasalah, bermacam perkara yang sedang bermain di kepala dalam fatrah-fatrah sebegini.

Oktober 2013

Saya menyertai sebuah program orientasi pelajar baru anjuran persatuan di sini. Pada akhir program, kami pelajar baru telah diberikan seorang Naqib Usrah. Berkaitan usrah, saya mengenali ‘bulatan kecil’ ini ketika di sekolah menengah lagi. Namun, di sana saya sekadar tahu usrah itu adalah satu bulatan biasa tanpa menafikan sumbangan Naqib saya ketika itu. Tetap ada manisnya.

Ketika menyambung pengajian Diploma, Usrah di sana lebih terarah kepada proses meng’islah’ diri dan masyarakat. Sedikit demi sedikit Usrah di zaman Diploma telah menanam jiwa Islah dalam diri saya. Mula memupuk rasa minat pada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

Jadi, bila menyambung pengajian ke Mesir, antara yang bermain di minda adalah menanti siapakah bakal Naqib baru di sini. Rasa teruja. Dalam masa yang sama mengharapkan ia boleh menjadi individu yang mampu mebimbing diri ini dalam merentasi arus politik gerakan islam yang sangat mencabar ketika itu. Saat itu politik dan gerakan islam sarat dengan pelbagai isu.

Bilamana diumumkan, saya terkedu.. Naqib saya adalah daripada lepasan pengajian yang sama di Darul Quran JAKIM, senior setahun. Beliau bukanlah orang yang aktif ketika mana di Darul Quran. Seingatnya, saya tak pernah bersembang dengannya di sana. Hal ini menyebabkan saya sedikit kecewa disebabkan keinginan yang dipasang awal tadi dilihat mula kabur. Perangai nakal ingin menguji Naqib baru mula timbul. Moga Allah mengampunkan salah silap saya terhadap beliau.

Tersenyum seketika saat menceritakan kembali kisah ini.

Dalam diam, kehadiran beliau dalam episod saya di Mesir banyak membantu kehidupan saya sebagai penuntut ilmu di sini. Wataknya yang terlalu merendah diri pada awalnya membuatkan niat nakal saya terpadam secara perlahan-lahan. Banyak kata-katanya yang menikam hati ini seperti,

“ Orang yang suka memerli orang ni biasanya merasakan dirinya hebat dan sempurna”

“Sabar dengan percaturan pimpinan, ada benda yang akan kita dapat hikmahnya selepas ini”

“Usaha untuk jangan tidur lepas subuh”

Banyak lagi kata-katanya yang dah luput dari ingatan tetapi telah menikam hati ini secara diam. Sifat yang saya sangat tertarik adalah sifat humble yang ada dalam diri beliau. Sengaja saya menulis sebegini dalam fatrah imtihan yang menghampiri. Jika sempat, akan saya kongsikan lagi beberapa perkara menarik bersifat santai yang saya lalui sepanjang tiga tahun di sini. 

Secara akhirnya, jutaan terima kasih kepada Naqib saya di atas kesabaran melayani kerenah diri ini. Bagi saya, seolah-olah Allah datangkan individu itu bagi membuka jalan untuk saya meneroka dengan lebih dalam nilai ilmu yang ada di Mesir. Doakanlah semoga Allah mempermudahkan lagi urusan pengajian saya selepas daripada saat ini. insyaAllah..


*kepada Naqib, moga enta tak ujub bila baca.. ^ ^

Monday, April 13, 2015

FITNAH ALAM TERBUKA

Bismillahirrahmanirrahim..

Dewasa ini, kita melihat begitu banyak pertelagahan yang berlaku dalam dunia semasa. Baik dari sudut politik, agama dan ideologi. Semuanya saling mencari ruang untuk menguasai pemikiran-pemikiran generasi Y yang mendada berani masuk ke medan dunia terbuka. Kemudahan media yang sepatutnya memberikan banyak kebaikan telah bertukar kepada memberi malapetaka dalam menjaga kesatuan.

Saya pernah terbaca satu buku yang membicarakan berkenaan pengurusan manusia. Antara kata-kata yang dikongsikan oleh Malcolm S. Forbes, Jr., ketua pengarang bagi sebuah majalah bisnes :

“Masihkah kamu ingat kali pertama komputer muncul? Kemunculannya DITAKUTI. TV dikhuatiri dijadikan alat propaganda. Tetapi disebabkan teknologi tinggi, bukan itu yang berlaku. Sebaliknya, komputer menjadi semakin kecil dan kuasa menjadi terlalu besar. Jadi, kita tidak lagi terikat.”

Mikrocip telah memanjangkan jangkauan pemikiran manusia sebagaimana mesin memanjangkan jangkauan otot manusia pada abad yang lalu. Software pada hari ini bagaikan kepingan besi, gentian optic dan skrin digital bagaikan landasan keretapi dan lebuh raya pengangkutan. Maklumat pula adalah bahan mentah yang dicari. Itulah analogi kita hari ini.

Namun sebenarnya, teknologi sahaja tidak cukup ketika kesukaran berlaku. Jangan hanya kerana alat komunikasi mudah didapati tidak bermakna manusia tahu berkomunikasi dengan baik! Ini adalah satu ironi zaman moden. Walaupun alat perhubungan semakin canggih, tidak bermakna akan menghasilkan hasil yang sentiasa positif seandainya gagal menguruskan medan-medan yang ada.

Semuanya berpaksikan kepada iman dalam keasyikan memanfaatkan medium yang ada. Saya yakin perjalanan zaman dari semasa ke semasa akan mematangkan pemuda hari ini. Cuba kita putar kembali diri kita, bermula dari era kelesuan kemudian berdiri dengan semangat islah, anak muda mula menyebarkan idea-idea yang muncul. Semangat yang ada telah melahirkan rasa suka berkongsi sehinggakan kadang-kadang tersilap fakta dan tersilap sumber. Lalu terbit pula istilah tabayun dalam berkongsi dan seterusnya melahirkan pemuda yang dibina dengan sifat tajarud dan berprinsip. Perkara ini meneguhkan lagi keyakinan saya, semua peristiwa yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Teman yang disayangi,

Apa yang ingin saya bawakan adalah isunya mirip dengan kita hari ini, kita banyak menjadikan sumber ‘kola wa kola / telah berkata dia dan dia’ iaitu menjadikan sumber sekunder tanpa merujuk kepada sumber asal/primer. Perkara seperti ini tidak ubah sebuah radio buruk yang telah membuatkan persepsi terbina dan kebanyakannya akan menghasilkan maklumat yang menyimpang daripada hal sebenar. Budaya bersemuka perlu disuburkan bagi mengelakkan perkara ini menjadi tabiat dalam diri generasi muda.

Dalam kita melewati arus kemodenan dan perbalahan sesama sendiri, janganlah kita jemu untuk mentadabbur Mukjizat Agung Nabi melalui Al-Quran dan Hadith. Rapatkanlah kembali barisan dan perkukuhkan ikatan kebersamaan kita. Ayat ini mempunyai makna yang cukup mendalam bagi seorang pendukung agama Allah.

Allah S.W.T berfirman,

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu bangunan yang tersusun kukuh.  (As-Saff : 4)

Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda,

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam hal berkasih-sayang dan kecenderungan jiwa (simpati) seperti perumpamaan jasad/tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit maka seluruh tubuh akan merasakannya, iaitu tidak mampu tidur dan (sakit) demam. (HR Ahmad, Baihaqi, Muslim, Thabrani dan Qudha‘i)

Ayuhlah, kita buktikan iman kita dengan membenihkan sifat-sifat di atas. Leraikan kekusutan yang ada demi mengukuhkan kesatuan kita. Kekurangan yang ada diterima dengan lapang dada dan usah diperbesarkan. Kelebihan yang ada harus digunakan semaksima mungkin bagi meneguhkan sebuah kepimpinan. Suburkan budaya berbincang kerana kalam yang keluar daripada sahabat di luar tampuk kepimpinan tidak wajar diiktibar sebagai pendirian sesebuah kesatuan. Sama-samalah kita menjadi batu-bata kepada gerakan dakwah dan tarbiyah ini.

Wallahualam.



KEBERSAMAAN DALAM SETIAP PERKARA

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam meneroka alam Tarbiyah, Dr Ali Abdul Halim Mahmud ada berkongsi beberapa jalan/wasilah yang harus dilalui oleh Abanaul Harakah.

1- Usrah
2- Nadwah 
3- Katibah 
4- Daurah
5- Rehlah
6- Mukhayyam (Muaskar)
7- Muktamar

Wasilah ini ada kecenderungan yang tersendiri. Melalui wasilah ini, ia akan menghasilkan وضوح الأهداف والغاية (kejelasan hadaf dan ghayah), kesatuan dalam gerak kerja, keakraban tenaga penggerak, hilang syak wasangka antara rakan-rakan sekerja dan sebagainya.

Harus diingat, benda yang utama yang kita inginkan melalui setiap pertemuan yang diaturkan bukan sahaja proses input/ilmu bahkan ada perkara lain yang turut berkongsi kepentingan seperti menautkan rasa kebersamaan dalam berorganisasi. Adalah menjadi satu kesilapan jika dalam mindset/kepala kita hanya mengharapkan nilai input/imu semata daripada setiap pertemuan yang dianjurkan.

Maka dengan asbab itulah kita harus memahami setiap aturan atau agenda yang diatur mempunyai objektif tersendiri. Janganlah kita melihat NADWAH itu penting manakala REHLAH itu tidak penting sehingga wujud kata-kata, “saya dah pernah pergi ke tempat tersebut, saya mahu pergi lain hari dan seumpamanya”. Harus faham, setiap wasilah tersebut sebenarnya akan mengimbangkan pergerakan abna’ al-harakah dalam setiap komuniti yang ada. 

Mana mungkin kita dapat berjalan baik kalau tiada matlamat yang jelas. Begitu juga ukhuwah, mana mungkin kita akan berjalan dengan tenang sedangkan wujud prasangka yang bukan-bukan antara penggerak. Kita mungkin akrab dengan sahabat di sebelah tapi belum tentu sahabat di belakang akrab dengan kita. Itu adalah contoh mudah yang saya berikan.



Oleh kerana itu, memenuhi setiap wasilah ini menjadi kepentingan yang harus diutamakan. Alasan minta uzurkan/tidak hadirkan diri daripada aktiviti bersifat KATIBAH ataupun REHLAH tanpa asbab yang Dharuri adalah satu sifat yang harus dilenyapkan dalam diri abnaul harakah. Setiap wasilah ada agenda yang disusun, bukan sekadar menghabiskan waktu. Bukanlah MUKTAMAR itu besar REHLAH itu kecil yang menjadi persoalan, tetapi kecenderungan bagi menstabilkan pergerakan itu yang sebenarnya harus diteliti.

Begitu juga dengan wasilah-wasilah yang lain. Keperluan bagi kita untuk memenuhi setiap hal tersebut adalah perkara yang harus difahami dengan baik oleh para pendukung gerakan islam. Pesanan buat diri dan kita semua.

Wallahualam.

Monday, October 13, 2014

MENGGAPAI ISTIQAMAH


APA ITU ISTIQAMAH??

Secara asas maknanya berdiri,lurus tegak. Secara huraiannya,bermaksud tetap,konsisten dan teguh dalam melakukan amal soleh dan ketaatan. Inilah yang disebutkan oleh para ulama’ contohnya Imam Nawawi dalam Riyadhus Solehin sebagai beriltizam dalam ketaatan kepada Allah.

KENAPA KITA DITEKANKAN UNTUK BERISTIQAMAH??

Nabi pernah bersabda : “Sebaik amalan di sisi Allah ialah apa yang dilakukan secara berterusan/istiqamah walaupun sedikit”[Riwayat Bukhari]

CARA UNTUK KEKAL ISTIQAMAH

1.       Bertaubat daripada segala dosa dan maksiat kepada Allah

2.       Sentiasa berdoa kepada-Nya memohon diberikan kekuatan dalam beramal soleh.

Kata Imam al-Ghaali : “Itulah sebenarnya Allah yang mengajar kita untuk sentiasa memohon hidayah daripadaNya sekurang-kurangnya tujuh belas kali dalam surah al-fatihah yang kita baca dalam solat fardhu seharian.

3.       Mendampingi orang yang soleh dan menjadikannya sebagai teman.

Dinyatakan dalam hadis sahih kisah pembunuh yang telah membunuh seratus orang. Lalu dia ingin bertaubat. Maka orang alim yang mengajarnya bertaubat menyuruhnya agar berpindah ke tempat lain yang dihuni oleh puak yg soleh. Ini menunjukkan kepada kita kepentingan memilih teman,jiran dan pendamping yang soleh yang akan memudahkan kita istiqamah untuk melakukan taat dan meninggalkan maksiat.

4.       Mujahadah untuk melakukan amal solehwalaupun bercanggah dengan kehendak nafsu. Meyakini bahawa Allah pasti akan memberi banyakkelebihan bagimereka yg istiqamah.

Firman Allah : “Dan kalaulah mereka (manusia dan jin) istiqamah di atas jalan (islam), sudah tentu Kami akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan terutamamenurunkan hujanlebat kepada mereka. – Surah al Jin:16 –


# ISTIQAMAH ITU LEBIH BAIK DARIPADA SERIBU KARAMAH #


Rujukan:
Majalah Al-Ustaz
Dr Hj Zahazan Mohamed


Friday, July 4, 2014

Kasihanilah Dirimu

Bismillah..

Pemuda. Jiwanya selalu meronta-ronta. Seringkali terhumban ke dalam dosa. Bangun kembali. Ke hulu ke hilir melarikan diri dari dosa. Datang kembali merosakkan jiwa sehingga pemuda itu tertunduk lesu. Melihat alam sekeliling, pendosakah aku? Hinanya aku padaMu ya Tuhan. Getus hati pemuda itu.

Dalam diam, saya katakan padamu, engkau adalah pemuda beriman. Pemuda yang tak rela dengan dosa. Pemuda yang sering berusaha untuk mencari nafas ketika lemas dalam dosa. Bukannya menikmatinya sehingga hati mati dan membiuskan segala rasa yang hadir.

Begitu juga saya.
Dan sesiapa sahaja yang berada dalam fasa pemuda. Nafsu mengerang. Guruh jiwanya terlalu kuat. Keadaan sekeliling sungguh menekan. Itu lumrahmu, barah jiwa pemuda di akhir zaman.

Wahai pemuda,

Kasihanilah dirimu yang sering tenggelam dengan dosa tetapi Allah melindungmu dengan Rahmatnya. Kamu dikenali sebagai hamba yang taat walhal dibelakang mereka kamu sering berbuat maksiat. Kamu dipuji sebagai ahli ibadat namun kamu mengerti dirimu dalam kerosakan. Kasihanilah dirimu itu.

Allah berfirman menerusi surah Fussilat, ayat 36,

“Dan sekiranya syaitan menggangu kamu dengan sesuatu gangguan, mohonlah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Seorang ulama tasauf berkata, “Yang sufi, binatang buas akan tunduk kepadanya. Yang maksiat, lalat pun akan mempermainkannya”.

Dan ketahuilah pemuda, dosa itu mengeruhkan wajah. Maka dengan sebab itulah manusia akan menjauhi mereka yang sering tenggelam dengan dosa. Perhatikan dan amatilah kisah Anas bin Malik ra ketika beliau melihat seorang perempuan lalu ditegur oleh Uthman bin Affan ra yang melihat kesan dosa itu melekat pada kedua matanya.


Menangislah kerana ia akan melembutkan jiwamu. Menangis itu bukan milik wanita sahaja tetapi ia juga milik kaum lelaki. Menangislah kerana ia mampu melembutkan hati. Jika tak mampu, berpura-puralah menangis kerana ia adalah pesan Nabi kepada kita. Lama-kelamaan mata akan mudah untuk mengalirkan air mata bagi melembutkan hati.


Sabarlah. Sabarlah dari membuat dosa. Sabar dan sentiasalah menangguh-nangguhkannya. Dua faktor yang perlu dilazimi. Bersabarlah kerana di hujungnya ada kemanisan.

Pesan untuk diri kerana saya juga pemuda.
_____________________________________________________________________

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai
Dengan rahmatMu ampunkan daku oh Tuhanku

Wahai Tuhan selamatkan kami ini
Dari segala kejahatan dan kecelakaan
Kami takut, kami harap kepadaMu
Suburkanlah cinta kami kepadaMu

Kamilah hamba yang mengharap belas dariMu


(I'tiraf-Raihan)

Sunday, June 29, 2014

ORANG LAMA DAN ORANG BARU DALAM KELOMPOK MAHASISWA

Bismillah..

Cuba menulis sesantai mungkin.

Kita Hari Ini

Sengaja membuka cerita ini disebabkan situasi ini sering mengasak emosi saya selaku penuntut ilmu, sahabat, anak, mahasiswa, aktivis dan lain-lain.



Pernah satu ketika saya terbaca satu tulisan atau mungkin kenyataan (lupa di mana),, “Sampai bila gerakan mahasiswa islam ingin terkehadapan jika setiap kali hadaf/target/VMO dibuat pada satu sesi kepimpinan sebuah legasi, dan bilamana sampai pada sesi selepasnya ia dibubar kembali. Kisah ini seterusnya berlaku pada generasi-generasi seterusnya. Berulang dan terus berulang”. Mungkin berbeza matannya tapi maksudnya begitulah..

Saya akan cuba menjelaskan dan memohon Allah jauhkan dari segala kekhilafan.

Contoh yang boleh saya berikan. Pada zaman kepimpinan Amin, mereka bersepakat membawa agenda pemantapan Nuqaba’. Tiba zaman Ali, Ali nekad membawa agenda pemantapan biah solehah. Dalam masa yang sama agenda Abu masih terkapai-kapai. Tak sempat nak bina tiang, baru je bina tapak, dah bina tapak lain. Terus terbengkalai dan tak cukup masa kerana kebiasaanya setiap sesi hanya setahun. Seterusnya tiba pula zaman Dolah, diubahnya pula agenda sebelumnya tanpa melihat kepada kelangsungan agenda-agenda sebelum ini.

Saya bukan menafikan bahawasanya setiap matlamat digubal berdasarkan keadaan semasa. Saya cuma mengkritik segelintir aktivis yang membina matlamat tanpa dikaji pembawakan sesi-sesi sebelumnya. Tiada kaitan dengan anda? Tutup blog ini, teruskan kerja anda yang masih banyak tergalas.

Merenung.

Saya terfikir, kenapa sebenarnya hal ini terjadi.

Hari ini, gerakan islam mahasiswa atau dengan nama formalnya Persatuan Mahasiswa Islam(PMI) setiap kampus seringkali kehilangan tenaga-tenaga tua dalam menggerakkan agenda dakwah sesebuah organisasi. Padahal bila diperhatikan secara tulus, wujud pelbagai potensi dalam diri ahli kampus. Namun gagal dimanfaatkan sebaiknya. Adakah tenaga tua itu disekat?.. atau ada kesilapan teknikal dalam menguruskan kedua-kedua golongan mahasiswa ini? Golongan Tua dan Muda.

Siapa itu Golongan tua dan siapa pula golongan muda?

Apa yang saya maksudkan dengan golongan muda adalah mereka yang baru berkecimpung dalam aktiviti berpersatuan. Individu yang Allah campakkan kesedaran DAKWAH dan ISLAH dalam jiwanya walhal mungkin sahaja dahulu kala ketika zaman persekolahan dialah yang paling otai dan nakal, pelajar pasif atau seumpamanya.

Dan golongan tua adalah golongan yang sudah lama (yang dimaksudkan dalam artikel ini adalah 3-5 tahun) bergiat dalam dunia gerakan mahasiswa. Skop mahasiswa, bukannya umum. Mereka yang telah berkecimpung dari alam persekolahan dan melanjutkan ke alam universiti samada peringkat diploma, ijazah dan seterusnya. Saya lebih berminat untuk menjurus kepada peringkat persekolahan , diploma dan ijazah kerana peringkat MA dan PHD kebiasannya punya komitmen lain seperti berumah tangga dan seumpamanya. Dan saya cuba jenamakan mereka dengan golongan TUA dalam gerakan dakwah kampus ini.

Kedua-dua kelompok ini punya perbezaan yang ketara. Biasanya dalam berpandangan. Dan saya memerhatikan di sinilah puncanya.

Bagi saya, di sinilah puncanya yang menyebabkan gerakan dakwah secara berorganisasi dalam kelompok mahasiswa terus lesu. Mungkin terdapat banyak faktor lain, namun faktor utama yang saya ingin ketengahkan adalah gagalnya kita mengurus dan menyusun cara fikir mereka ke arah satu jalur/matlamat Ya, memang susah. Saya sendiri belum mempunyai cara khusus.

Namun hari ini saya cuba untuk menulis, membuka mata saya sendiri yang masih tertutup, atau mungkin juga satu keluhan yang bersifat picisan. Masing-masing boleh berfikir dan satu sahaja pesanan saya, jangan mudah membina persepsi kekal kerana di sanalah TEMBOK BESAR terbina.

Kelompok Tua.

Saya agak tidak berpuas hati dengan golongan ini. Satu soalan saya lontarkan, kenapa begitu sukar kalian ingin bersama dengan gerak kerja organisasi/ persatuan?? Saya melihat kebanyakan golongan ini lebih suka mengambil part/posisi dalam melontarkan idea semata. Namun dalam menggerakkan idea agak sukar. Komitmen yang sememangnya menghampakan. Masakan tidak, bila dilantik sebagai AJK program sekian-sekian, kalian menolak dalam kelembutan. Walhal organisasi memerlukan tenaga-tenaga lama di samping tenaga-tenaga baru yang biasanya mempunyai komitmen tinggi. Dan disebabklan faktor inilah kalian semakin diketepikan dari jawatan-jawatan penting sesebuah organisasi.

Lalu bila kelompok tua berterusan dengan sifat sebegini, tidak peliklah mereka akan diketepikan dari tenaga-tenaga penggerak program buat kesekian kalinya kerana komitmen yang menghampakan. Bila diajak meeting, tak hadir. Bila dilantik Ajk, tolak. Kadang-kadang sehingga menggagalkan perancangan sesebuah organisasi. Sehingga terpaksa digubal kembali struktur jawatan sedia ada, ke hulu ke hilir mencari tenaga. Sehinggakan picisan tenaga tua berbaki(yang masih punya komitmen tinggi) mula muak untuk memberi peluang pada mereka.

Lalu tinggalah mereka bersama dengan hal-hal mereka sendiri. Yang paling memedihkan bilamana keluar ura-ura organisasi mengenepikan mereka dan seumpamanya. Kemudian terbinalah jurang persepsi di antara kedua-dua pihak. Begitulah seterusnya dari tahun ke tahun. Lemas dalam kabus yang dibina sendiri.

Namun, saya tidak menafikan wujudnya sebab-sebab yang lain.

Kelompok Muda.

Tinggalah cebisan tenaga tua ini bersama tenaga-tenaga baru yang ramai. Lalu dalam perjumpaan wujudlah perbincangan yang biasa dibincang. Buat poster, edar. Buat iklan, siar. (Ini tidak termasuk poster dan iklan yang tak berjalan). Daya dakwah yang digerakkan tiada peningkatan, bergerak dalam kadar yang sama. Gerak kerja DAKWAH tidak sepadu gerak kerja DAKYAH kaum kuffar dan sekufunya. Mungkin dengan istilah lain, mengikut adat. Bila cuba membuat teknik brainstorm dalam meeting, 2/3 berdiam diri. Biasalah kerana masih baru dan cuba menyesuaikan diri. Bukan hendak salahkan mereka kerana kelompok tua pun terbina dengan situasi sebegitu juga pada mulanya.

Perhatikan, kelompok muda inilah yang menjadi tulang belakang organisasi. Komitmennya ditagih organisasi dalam menggerakkan program-program dakwah. Walaupun kadang-kadang bentuk programnya mengikut adat, namun di sana banyak jasa-jasa yang mereka tabur demi kesinambungan dakwah. Dakwah terus hidup. Kebajikan terus dijamin walaupun wujud sedikit kelompangan.

Muhasabah Bersama.

Di sekeliling saya penuh dengan suara-suara/kritikan daripada teman-teman yang kadang-kadang sungguh membina untuk sesebuah organisasi. Tetapi saya kebuntuan jalan kerana kurang tenaga untuk menggerakkan idea-idea itu. Bila diajak bersama membawanya, kendur urat lehernya. Mujur ada tenaga-tenaga baru yang komitmennya tak mampu dihitung.

Kembalikanlah nafsu aktivismu itu. Carilah titik persamaan. Bunuhlah perbezaan-perbezaan kecil yang melemahkan gerak kerja dakwah kita. Bangunlah dari sofa empuk kita dan jenguklah ke luar sana, dan tanyalah pada diri bagaimana kehidupan anak muda hari ini.

Sebenarnya kita saling memerlukan. Kita sentiasa gagal mempertingkatkan momentum dakwah. Dakwah digerakkan seperti biasa tapi masalah sosial terus merebak secara luar biasa. Letih untuk memujuk orang lama, kerana pada mereka sudah ada kefahaman. Cuma terkadang tersilap teknik dalam pengurusan sehingga melarikan diri dari berorganisasi. Andai ingin membuat perubahan, sahutlah seruan ini, ayuhlah bersama-sama menggerakkan organisasi utama di kampus masing-masing.


Dakwah itu tiada hak milik mutlak.
Ia milik sesiapa sahaja yang dirasakan layak.
Sebarkanlah ia ke seluruh pelusuk.
Tiada syarat tiada had.
Yang sebaiknya adalah katanya diiring dengan jasad.

Dan,
Tarbiyah itu bekal pendakwah.
Sebagai Tajarud menempuh mehnah.